Mengapa Dragonball Evolution (2009) Dianggap Antara Filem Adaptasi Terburuk

Filem Dragonball Evolution (2009) sering dianggap sebagai antara adaptasi paling gagal dalam sejarah perfileman moden terutama bagi genre live action yang diadaptasi daripada anime atau manga. Filem ini bukan sahaja mengecewakan dari segi penceritaan dan lakonan tetapi turut menimbulkan kemarahan besar dalam kalangan peminat tegar Dragon Ball di seluruh dunia. Harapan tinggi terhadap sebuah karya yang sepatutnya meraikan warisan ciptaan Akira Toriyama akhirnya bertukar menjadi bahan ejekan. Ramai pengkritik dan peminat menggelarnya sebagai sampah sinematik kerana hampir setiap aspek yakni daripada jalan cerita, lakonan hingga ke kesan visual gagal menggambarkan semangat sebenar dunia Dragon Ball. Berikut penjelasan tentang punca-punca utama kegagalan filem ini:

1. Jalan cerita jauh menyimpang daripada sumber asal
Siri Dragon Ball karya Akira Toriyama terkenal dengan dunia yang unik iaitu gabungan aksi, komedi, semangat juang dan persahabatan. Namun versi live action ini hampir tidak mengekalkan mana-mana elemen tersebut.
Watak Goku yang sepatutnya lurus dan naif dijadikan remaja sekolah menengah biasa yang berdepan masalah cinta. Tiada semangat pengembaraan mencari Dragon Ball seperti dalam siri asal. Malah beberapa watak penting seperti Krillin langsung tidak muncul. Keseluruhan kisah terasa seperti filem remaja Amerika yang sekadar menggunakan nama Dragon Ball tanpa roh sebenar karya asalnya.
2. Pelakon tidak sesuai dengan watak
Pemilihan pelakon turut menjadi punca utama kegagalan. Justin Chatwin sebagai Goku dikritik kerana tidak membawa semangat atau karisma watak asal. Dia kelihatan seperti tiada tenaga, tiada ekspresi lugu dan tiada jiwa seorang pejuang. Watak lain seperti Bulma, Chi-Chi dan Master Roshi juga tidak menepati imej asal dari segi penampilan mahupun personaliti.

3. Kesan khas (CGI) murah dan tidak meyakinkan
Walaupun filem ini mempunyai bajet besar sekitar USD 30 juta, hasil kesan visualnya sangat mengecewakan. Serangan tenaga nampak seperti animasi murahan, pergerakan pertarungan perlahan dan tidak bertenaga.
Adegan transformasi serta rekaan dunia juga hambar yang langsung tidak memberikan suasana fantasi seperti yang sepatutnya. Ini menyebabkan keseluruhan filem kelihatan seperti produksi bajet rendah yang tidak sepadan dengan jenama besar seperti Dragon Ball.
4. Skrip lemah dan dialog hambar
Skrip filem ini dikritik kerana terlalu klise dan tidak berjiwa. Banyak dialog berbunyi seperti filem remaja biasa, bukan kisah epik tentang latihan dan kekuatan dalaman. Nada keseluruhan filem juga tidak konsisten dengan kadang serius, kadang jenaka dan kadang drama cinta. Hasilnya, ia gagal dalam semua aspek.
5. Pengarah dan penulis tidak memahami bahan asal
Pengarah James Wong dan penulis Ben Ramsey jelas tidak benar-benar memahami dunia Dragon Ball. Mereka cuba menjadikan Dragon Ball ini menjadi Dragon Ball versi Amerika Syarikat cerita untuk menarik penonton Barat tetapi akhirnya kehilangan identiti asal manga Jepun tersebut. Ben Ramsey kemudian memohon maaf secara terbuka kepada peminat pada tahun 2016 di mana dirinya mengakui bahawa dia menulis skrip tanpa memahami seberapa besar makna Dragon Ball kepada peminat di seluruh dunia.

6. Tidak menghormati semangat asal karya Akira Toriyama
Akira Toriyama sendiri tidak terlibat langsung dalam pembikinan filem ini dan pernah menyuarakan rasa kecewa terhadap hasilnya. Mendiang sebelum ini menggambarkan Dragonball Evolution sebagai versi lain yang tidak mempunyai kaitan dengan dunianya.
Bagi peminat tegar, perkara ini dianggap satu bentuk penghinaan terhadap karya asal yang sudah menjadi legenda dunia.
7. Aksi membosankan dan koreografi lemah
Kekuatan utama Dragon Ball terletak pada pertarungan pantas dan penuh tenaga. Namun dalam filem ini, aksi berlawan kelihatan perlahan, tidak menarik dan disunting dengan teruk. Pertarungan terakhir antara Goku dan Piccolo yang sepatutnya menjadi kemuncak epik berakhir dengan babak hambar dan mudah dilupakan.

8. Nada filem tidak seimbang
Filem ini cuba mencampurkan pelbagai unsur yakni fantasi, sains fiksyen dan drama remaja namun gagal menggabungkannya dengan baik. Penonton akhirnya keliru sama ada harus ketawa, kagumbatau kecewa dengan apa yang berlaku di layar.
9. Gagal di pasaran dan dikritik teruk
Dragonball Evolution menerima hanya 15% rating di Rotten Tomatoes dan 2.5 IMDb sekali gus gagal di pasaran pawagam dengan kutipan sekitar USD 58 juta sahaja di seluruh dunia. Jumlah ini sangat rendah berbanding populariti besar francais Dragon Ball.bKegagalan ini menyebabkan semua rancangan sekuel dibatalkan serta-merta dan menjadikan filem ini bahan ejekan dalam kalangan peminat hingga pada hari ini.
Catat Ulasan for "Mengapa Dragonball Evolution (2009) Dianggap Antara Filem Adaptasi Terburuk"