ANAK MENYAMAR SEBAGAI IBUNYA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA UNTUK KAUT PENCEN

ITALI — Satu kes penipuan dan penyembunyian mayat yang luar biasa terbongkar apabila seorang lelaki berusia 56 tahun dituduh memalsukan identiti ibunya yang telah meninggal dunia untuk terus menuntut pencennya. Mayat wanita itu ditemui disorok di dalam rumah dalam keadaan kering dan terbiar selama bertahun-tahun.
Difahamkan lelaki berkenaan adalah bekas jururawat dan sudah tidak bekerja. Sekitar tiga tahun lalu, ibunya iaitu Graziella Dall’Oglio telah meninggal dunia pada usia 82 tahun. Kematiannya bagaimanapun tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Lelaki itu kononnya mengambil alih identiti ibunya untuk tujuan tuntutan pencen daripada institusi keselamatan sosial di Itali.
Bagi menutup skema ini, suspek dikatakan melakukan transformasi denyan memotong rambut menyerupai gaya ibunya, berpakaian seperti wanita, bersolek serta memakai anting-anting dan rantai mutiara. Dia menggunakan penyamaran ini untuk datang ke pejabat pendaftaran di Borgo Virgilio, sebuah pekan kecil di luar Mantua dengan tujuan memperbaharui kad pengenalan ibunya yang telah tamat tempoh.
Penipuan itu akhirnya terbongkar selepas seorang kakitangan pejabat pendaftaran mula curiga terhadap penampilan lelaki tersebut. Menurut Datuk Bandar Borgo Virgilio, Francesco Aporti, suspek hadir dengan skirt panjang, kuku berwarna, gincu serta barang perhiasan lama tetapi ada ciri fizikal yang tidak konsisten. Antaranya, lehernya didapati terlalu tebal jika dibandingkan dengan wanita tua selain kedutan wajahnya agak pelik dan kulit tangannya tidak menampakkan usia 80-an. Lebih menimbukan syak wasangka, suara suspek berubah-berubah dengan kadang-kadang bernada garau atau halus.

Selepas menerima laporan, pihak berkuasa membandingkan gambar rasmi Graziella dengan rupa suspek ketika menyamar. Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut dilakukan. Apabila dipanggil semula ke pejabat pendaftaran, suspek datang semula berpakaian seperti ibunya tetapi kali ini dia terus diiringi polis dan pegawai tempatan, dan akhirnya dibawa ke balai.
Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan yang lebih mengejutkan di mana mayat Graziella Dall’Oglio yang sudah dalam keadaan kering disorok di bilik dobi. Mayat itu dibalut dengan cadar dan diletakkan di dalam beg tidur. Mayat telah dihantar ke hospital tempatan untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian sebenar dan sama ada kematian berlaku secara semula jadi.
Pihak penyiasat percaya bahawa motif suspek adalah kewangan. Sepanjang tempoh penipuan, dia dipercayai memperolehi pendapatan tahunan kira-kira €53 000 (sekitar RM250 000) melalui pencen ibunya dan pemilikan hartanah. Laporan juga menyebut dia mempunyai tiga buah rumah atas nama ibu atau dirinya sekali gus memberikan aliran pendapatan tetap selain pencen. Suspek kini disiasat atas beberapa pertuduhan serius termasuk menyembunyikan mayat secara haram, penipuan pencen, pemalsuan dokumen awam dan identiti.
Catat Ulasan for "ANAK MENYAMAR SEBAGAI IBUNYA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA UNTUK KAUT PENCEN"