Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DEBBIE STEVENS : Pengorbanan Besar yang Tidak Dihargai

     Kisah Debbie Stevens dari Long Island, New York, menjadi salah satu contoh paling menyayat hati tentang bagaimana kebaikan seorang pekerja boleh disalahgunakan sehingga membawa kepada tekanan emosi yang mendalam. Debbie iaitu seorang wanita berusia 47 tahun ketika kejadian berlaku pada 2011–2012 bekerja sebagai pembantu pentadbiran di Atlantic Automotive Group (AAG), salah satu rangkaian pengedar kereta terbesar di Amerika Syarikat. Dia dikenali sebagai seorang pekerja setia, rajin dan mudah simpati terhadap orang lain. Kehidupannya bagaimanapun berubah sepenuhnya apabila dia membuat keputusan ikhlas untuk membantu seseorang yang dianggapnya sebagai majikan yang dihormati.

     Segalanya bermula apabila Debbie mengetahui bahawa majikannya, Jackie Brucia yang juga merupakan seorang eksekutif kanan di AAG sedang menderita penyakit buah pinggang yang serius. Penyakit itu menyebabkan Brucia memerlukan pemindahan buah pinggang dengan segera. Persoalannya, tidak ramai yang tampil menawarkan diri sebagai penderma apatah lagi untuk seorang majikan yang mempunyai status tinggi dalam syarikat. Debbie yang bersimpati dengan keadaan tersebut telah menawarkan diri secara sukarela untuk menderma buah pinggang. Walaupun hasil ujian menunjukkan Debbie bukan padanan terus untuk Brucia, dia tetap sanggup menyertai sistem paired kidney donation. Sistem ini membolehkan seseorang menderma buah pinggang kepada penerima lain sementara penderma ketiga yang sesuai memberikan buah pinggang kepada individu asal yang memerlukan. Melalui cara ini, Debbie tetap boleh membantu menyelamatkan nyawa majikannya.


     Pembedahan dilakukan pada awal 2012 dan ia berjalan dengan baik buat kedua-dua pihak. Debbie menjalani prosedur besar yang memerlukan pemotongan organ, pemulihan intensif serta tempoh cuti sakit yang panjang. Walaupun risiko pembedahan itu besar, Debbie melakukannya tanpa meminta balasan. Dia percaya bahawa majikannya akan menghargai pengorbanan tersebut dan dia bersedia untuk kembali bekerja setelah pulih sepenuhnya.

     Walau bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak sebaik sahaja Debbie kembali bekerja selepas pembedahan. Menurut aduan yang difailkannya kemudian, Brucia mula memberi layanan yang jauh berbeza daripada sebelum pembedahan. Sikapnya menjadi dingin, tegang dan kadangkala mengarah tanpa belas kasihan. Debbie mendakwa dia ditekan untuk kembali bekerja lebih awal walaupun masih belum pulih sepenuhnya dengan Brucia menyatakan bahawa syarikat sangat memerlukan tenaganya.

     Setelah kembali bekerja, Debbie menghadapi kesukaran baharu. Dia mendakwa diberikan beban kerja yang tidak masuk akal, diarahkan melakukan tugasan berat selain dipaksa melakukan kerja yang tidak selaras dengan kondisi kesihatannya yang masih belum stabil. Debbie mula berasa bahawa pengorbanannya langsung tidak dihargai. Situasi menjadi lebih pelik apabila syarikat memindahkannya ke cawangan lain yang terletak jauh dari rumahnya. Tiada alasan kukuh diberikan untuk perpindahan itu. Menurut Debbie, tindakan tersebut dilakukan untuk mengasingkannya dan mendorongnya meletakkan jawatan secara sukarela.


     Puncak kepada penderitaan Debbie berlaku pada Ogos 2012 apabila dia diberhentikan kerja secara mengejut. Pemecatan itu berlaku tanpa amaran yang jelas dan tanpa sebab kukuh. Berita pemecatannya menimbulkan kemarahan orang ramai apabila kisah sebenar tentang pengorbanan buah pinggangnya mula tersebar di media. Ia dilihat sebagai tindakan amat tidak berperikemanusiaan terutama memandangkan Debbie sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan majikannya tetapi dibalas dengan layanan buruk dan akhirnya dibuang kerja.

     Debbie tidak berdiam diri. Dia memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia New York (New York State Division of Human Rights). Debbie mendakwa bahawa dia menjadi mangsa diskriminasi, pembalasan dan gangguan psikologi selepas pembedahan. Dalam aduan itu, Debbie menerangkan bagaimana dia dimanipulasi, dibebani kerja dan diperlakukan secara tidak adil selepas memberikan organ tubuhnya. Pihak AAG menafikan semua dakwaan tersebut dan mendakwa bahawa pemecatan Debbie tiada kaitan dengan pendermaan buah pinggang. 


     Kesan terhadap Debbie amat besar. Selain kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, dia berdepan tekanan emosi yang mendalam. Debbie berasa dikhianati, dipermainkan dan diperlakukan seperti objek apabila pengorbanannya sudah tidak diperlukan. Dari segi kesihatan pula, pemulihan selepas pembedahan pendermaan buah pinggang memerlukan penjagaan rapi namun proses itu menjadi lebih sukar kerana tekanan mental dan fizikal yang dialaminya di tempat kerja. 

     Walaupun kes ini tidak membawa kepada keputusan undang-undang yang besar, kisah Debbie ini memberi pengajaran tentang had kebaikan manusia apabila berdepan majikan yang tidak menghargai pengorbanan dan bagaimana sistem pekerjaan boleh disalahgunakan oleh individu yang mempunyai kuasa. 

Catat Ulasan for "KISAH DEBBIE STEVENS : Pengorbanan Besar yang Tidak Dihargai"