Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KATE, MARK DAN JOHNNY, KISAH INSPIRASI YANG BERTUKAR MENJADI PENIPUAN

     Pada bulan November 2017, seorang wanita bernama Kate McClure mendakwa bahawa keretanya telah kehabisan petrol ketika melalui Lebuhraya I-95 berhampiran Philadelphia, Amerika Syarikat. Dalam ceritanya, seorang lelaki gelandangan bernama Johnny Bobbitt kemudian dikatakan datang membantu dengan membelikan petrol menggunakan wang terakhirnya bernilai AS$20. Kisah ini menceritakan kebaikan seorang bekas tentera yang sanggup mengorbankan keperluan sendiri demi menyelamatkan seorang wanita yang tidak dikenali. Kisah tersebut menarik perhatian ramai dan media mula menyiarkan kisah tersebut sebagai contoh sifat kemanusiaan yang mulia.

     Tidak lama selepas itu, Kate dan teman lelakinya, Mark D’Amico, melancarkan satu kutipan derma melalui platform GoFundMe dengan tujuan membalas budi Bobbitt. Mereka menetapkan sasaran awal sebanyak AS$10 000 (sekitar RM40 000) untuk membantu Bobbitt mendapatkan tempat tinggal, makanan, pakaian baharu dan sokongan asas. Walau bagaimanapun, kempen tersebut menjadi tular. Ribuan individu terharu dengan kisah itu lalu mula menyumbang sehingga jumlah kutipan meningkat secara mendadak kepada hampir AS$400 000 (sekitar RM1.2 juta). Kejayaan kutipan derma itu menjadikan ketiga-tiga individu terlibat muncul dalam pelbagai liputan berita dan rancangan televisyen.


    Keraguan bagaimanapun mula timbul apabila Bobbitt kemudian mendakwa bahawa dia hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah kutipan tersebut. Berdasarkan siasatan awal, Bobbitt hanya menerima kira-kira AS$75 000 (sekitar RM300 000) manakala selebihnya dibelanjakan oleh pasangan itu untuk kepentingan peribadi seperti percutian mewah, pembelian kereta BMW, barangan berjenama serta perbelanjaan besar di kasino. Ketidaktelusan dalam pengurusan dana itu menyebabkan hubungan antara Bobbitt dan pasangan berkenaan mula retak. Bobbitt bertindak memfailkan saman pada tahun 2018 kerana berasa ditipu.

     Saman tersebut telah mengundang perhatian pihak berkuasa yang kemudian membuka siasatan menyeluruh terhadap latar belakang kempen GoFundMe itu. Hasil siasatan mendapati bahawa keseluruhan kisah kehabisan petrol sebenarnya adalah rekaan semata-mata. Penyiasat menemui mesej teks daripada telefon Kate yang menunjukkan bahawa cerita tersebut telah direka untuk meraih simpati penderma. Selain itu, ketiga-tiga mereka didapati sudah saling mengenali sebelum kempen dimulakan, bertentangan dengan dakwaan bahawa pertemuan mereka berlaku secara kebetulan di lebuh raya. Pihak pendakwa menyimpulkan bahawa kempen tersebut dirancang secara bersama sebagai satu bentuk penipuan untuk memperdaya orang ramai supaya menderma.

     Ekoran pendedahan itu, Kate McClure, Mark D’Amico dan Johnny Bobbitt ditahan dan didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk penipuan, konspirasi serta kecurian melalui helah. GoFundMe turut mengambil langkah bertanggungjawab dengan memulangkan semula semua sumbangan kepada penderma yang terlibat. Seterusnya, kes ini dibawa ke mahkamah persekutuan dan mahkamah negeri dengan ketiga-tiganya akhirnya mengaku bersalah.


     Mark D’Amico yang dianggap sebagai perancang utama dijatuhi hukuman 27 bulan penjara oleh mahkamah persekutuan selain lima tahun hukuman penjara di mahkamah negeri New Jersey. Kate McClure pula dihukum penjara selama satu tahun dan satu hari di peringkat persekutuan serta tiga tahun penjara di mahkamah negeri. Sementara itu, Johnny Bobbitt dijatuhi hukuman tiga tahun probasi oleh mahkamah persekutuan dan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$25 000 (sekitar RM100 000). Hakim menyatakan bahawa walaupun Bobbitt juga bersalah, peranannya lebih kecil berbanding pasangan tersebut.

Catat Ulasan for "KISAH KATE, MARK DAN JOHNNY, KISAH INSPIRASI YANG BERTUKAR MENJADI PENIPUAN"