KISAH TIKAMAN MONICA SELES

Monica Seles merupakan antara pemain tenis paling berbakat pada awal tahun 1990-an. Lahir di Novi Sad (ketika itu Yugoslavia) dan mula dikenali sebagai pemain remaja yang luar biasa, Seles menjadi bintang dunia ketika usianya masih belasan tahun. Pada usia 17 tahun, dia muncul juara Grand Slam di Terbuka Perancis 1990, seterusnya mencipta nama sebagai atlet muda yang digeruni.
Menjelang tahun 1993, Seles telah merangkul lapan kejuaraan Grand Slam dan berjaya menyaingi serta menewaskan legenda tenis Jerman iaitu Steffi Graf. Dia terkenal dengan gaya permainan agresif, pukulan dua tangan pada kedua-dua belah serta semangat juang yang kuat. Ketika itu, Seles menduduki ranking nombor satu dunia sekali gus mengatasi Steffi Graf yang selama ini menguasai sukan tersebut.
Hinggalah pada 30 April 1993 yakni semasa di kejohanan Citizen Cup di Hamburg, Jerman, Seles sedang berehat di bangku pemain sewaktu perlawanan suku akhir menentang Magdalena Maleeva. Suasana padang ketika itu tenang di mana penonton memenuhi stadium. Tidak ada sesiapa menjangka bahaya yang bakal berlaku.

Ketika Seles menundukkan kepala untuk mengelap peluh, seorang lelaki tiba-tiba melompat keluar dari barisan penonton di belakangnya. Menerusi gerakan pantas, lelaki itu menikam belakang Seles menggunakan pisau dapur yang panjangnya kira-kira 22 sentimeter. Seles terjerit kesakitan dan rebah ke hadapan. Kejadian tersebut berlaku dalam beberapa saat,m namun cukup untuk mencetuskan kekecohan besar di stadium. Para pemain, pegawai kejohanan dan pasukan keselamatan segera meluru ke arahnya.
Penyerang itu dikenali sebagai Guenter Parche, seorang mekanik separuh masa dari Jerman Timur. Dia kemudian diketahui sebagai pemuda yang terlalu obses dengan Steffi Graf. Parche dilaporkan berasa terancam dengan kejayaan Seles yang mengatasi rekod Graf. Parche percaya satu-satunya cara untuk mengembalikan Graf ke kedudukan nombor satu ialah dengan menyingkirkan Seles.

Walaupun tindakannya sangat berbahaya, Parche berniat untuk mencederakan Seles, bukan membunuh. Walau bagaimanapun, perbuatannya tetap ditafsirkan sebagai serangan ganas yang hampir meragut nyawa. Selepas kejadian, Parche ditangkap di tempat kejadian tanpa melawan.
Luka fizikal yang dialami Seles memang serius tetapi tidak membawa maut kerana tikaman itu sedikit tersasar daripada organ penting. Dia menjalani rawatan segera dan berjaya pulih secara fizikal selepas beberapa minggu. Namun kesan psikologi dan trauma yang dialami jauh lebih berat. Monica Seles mengalami ketakutan mendalam terhadap persekitaran awam, panik apabila berada di tempat ramai dan berasa tidak selamat walaupun dengan kawalan keselamatan. Disebabkan trauma itu, dia berehat daripada tenis selama lebih dua tahun iaitu tempoh yang sangat panjang bagi seorang pemain nombor satu dunia.

Walaupun insiden itu jelas merupakan serangan serius, mahkamah Jerman memutuskan bahawa Guenter Parche tidak perlu dipenjarakan. Dia hanya dikenakan hukuman percubaan dan terapi psikiatri. Keputusan ringan ini menimbulkan kemarahan besar dalam dunia tenis lebih-lebih lagi kerana serangan itu berlaku di kejohanan rasmi dengan kawalan keselamatan yang lemah. Ramai peminat dan pihak tenis menganggap hukuman itu tidak setimpal dengan trauma dan kerosakan terhadap kerjaya Seles.
Seles kembali ke dunia tenis pada tahun 1995. Walaupun masih berbakat dan berjaya memenangi beberapa kejohanan selepas itu, aura dominannya sebelum serangan tidak pernah sepenuhnya kembali. Seles sendiri mengakui bahawa trauma psikologi lebih sukar dipulihkan berbanding luka fizikal. Dia bagaimanapun tetap dikenang sebagai salah seorang pemain tenis terhebat sepanjang zaman. Pada tahun 2009, Seles dimasukkan ke Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa (International Tennis Hall of Fame) sebagai penghormatan atas pencapaiannya.
Catat Ulasan for "KISAH TIKAMAN MONICA SELES"