Bekas Bintang Nickelodeon, Tylor Chase Kini Hidup Gelandangan

Tylor Chase dikenali ramai menerusi wataknya sebagai Martin Qwerly dalam siri popular Ned’s Declassified School Survival Guide yang disiarkan di Nickelodeon dari tahun 2004 hingga 2007. Waktu itu, dia merupakan antara wajah yang kerap muncul dalam sitkom remaja berkenaan dan pernah menikmati kehidupan sebagai pelakon muda yang dikenali ramai. Namun selepas siri tersebut berakhir, Chase semakin jarang kelihatan dalam dunia lakonan dan akhirnya menghilang daripada perhatian umum.
Perkara sebenar mengenai kehidupannya mula terbongkar apabila satu video menunjukkan Chase ditemui di Riverside, California dipercayai dirakam beberapa bulan lalu tetapi kembali tular pada Disember ini. Dalam rakaman tersebut, Chase mengakui dirinya pernah menjadi pelakon Nickelodeon dan kini hidup di jalanan tanpa tempat tinggal tetap. Video berkenaan mengundang reaksi bercampur daripada orang ramai.

Susulan penularan video itu, beberapa pihak cuba menghulurkan bantuan dengan melancarkan kempen GoFundMe bagi mengumpul dana untuk membantu keperluan asas Chase seperti makanan dan pakaian. Namun empen tersebut kemudiannya ditamatkan atas permintaan ibu Chase sendiri yang menegaskan bahawa bantuan kewangan semata-mata bukan penyelesaian jangka panjang kepada masalah anaknya.
Menurut kenyataan keluarga, Chase dilaporkan menghadapi masalah kesihatan mental termasuk gangguan bipolar yang menyukarkan dirinya untuk mengurus kehidupan harian secara stabil. Keluarganya menegaskan bahawa Chase memerlukan rawatan perubatan berterusan, sokongan profesional dan pemulihan jangka panjang.
Rakan-rakan pelakon dari siri Ned’s Declassified School Survival Guide seperti Devon Werkheiser, Daniel Curtis Lee dan Lindsey Shaw turut menyuarakan rasa sedih dan kebimbangan terhadap keadaan Chase. Mereka menyatakan harapan agar dia dapat menerima bantuan sewajarnya dan kembali menjalani kehidupan yang lebih stabil sambil menyeru orang ramai supaya lebih berempati terhadap isu kesihatan mental bekas pelakon kanak-kanak.
Sehingga kini, belum ada pengesahan rasmi sama ada Chase telah ditempatkan di pusat rawatan atau menerima bantuan perubatan secara konsisten. Walau bagaimanapun, orang ramai terus berharap agar bekas bintang Nickelodeon itu mendapat sokongan yang sewajarnya dan peluang untuk membina semula kehidupannya.
Catat Ulasan for "Bekas Bintang Nickelodeon, Tylor Chase Kini Hidup Gelandangan "