Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PAMELA SMART: Wanita yang Bunuh Suami Demi Cinta Terlarang


     Kes Pamela Smart merupakan antara kes jenayah paling kontroversi dalam sejarah Amerika Syarikat pada penghujung abad ke-20. Kes ini adalah pembunuhan terancang akibat tekanan psikologi dan penyalahgunaan kuasa oleh orang dewasa boleh mempengaruhi remaja sehingga sanggup melakukan pembunuhan. Kejadian ini berlaku di New Hampshire pada tahun 1990.

     Pamela Ann Smart yang berusia 22 tahun ketika kejadian bekerja sebagai penyelaras perkhidmatan media di Winnacunnet High School. Tugasnya melibatkan pengurusan peralatan audio visual dan sokongan kepada guru serta pelajar. Pada masa yang sama, Pamela telah berkahwin dengan Gregory Gregg Smart, seorang ejen insurans berusia 24 tahun. Pasangan yang tinggal di Derry, New Hampshire ini dilihat menjalani kehidupan rumah tangga normal seperti kebanyakan pasangan lain.

     Namun siasatan kemudian mendedahkan bahawa perkahwinan mereka tidak seharmoni. Pamela didakwa sering meluahkan rasa tidak puas hati terhadap rumah tangganya termasuk kepada beberapa pelajar lelaki yang rapat dengannya. Salah seorang daripada mereka ialah William Billy Flynn, seorang pelajar berusia 15 tahun. Hubungan antara Pamela dan Billy akhirnya berkembang menjadi hubungan sulit yang melanggar undang-undang memandangkan Billy masih di bawah umur dan Pamela pula berada dalam kedudukan berautoriti sebagai kakitangan sekolah.

     Pada 1 Mei 1990, Gregg Smart ditemui mati ditembak di rumahnya. Pamela memaklumkan kepada polis bahawa kejadian tersebut adalah rompakan yang tidak menjadi. Siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada tanda rompakan sebenar dan tiada barangan berharga yang hilang. Keterangan Pamela juga didapati tidak konsisten sekali gus menyebabkan pihak polis mula mengesyaki bahawa pembunuhan tersebut dirancang.

     Siasatan lanjut membawa kepada penahanan Billy bersama tiga lagi remaja lelaki yang juga rakan sebayanya. Billy akhirnya mengaku bahawa dialah individu yang menembak Gregg Smart menggunakan pistol .38 kaliber. Pengakuan ini membuka satu dimensi baharu dalam siasatan apabila Billy mendedahkan bahawa pembunuhan tersebut dilakukan atas dorongan dan pengaruh Pamela Smart.

     Menurut keterangan di mahkamah, Pamela didakwa memanipulasi Billy secara emosi dengan berkongsi masalah rumah tangganya dan menyatakan hasrat untuk mengakhiri perkahwinan. Pendakwaan berhujah bahawa Pamela meyakinkan Billy bahawa pembunuhan Gregg adalah satu-satunya jalan untuk mereka bersama. Selain itu, Pamela juga dikatakan menyebut tentang insurans nyawa suaminya yang dianggarkan bernilai sekitar USD140 000 sebagai sebahagian daripada perbincangan yang mendorong perancangan jenayah tersebut.

     Rancangan pembunuhan itu melibatkan Billy dan tiga rakan remajanya. Pada hari kejadian, mereka memasuki rumah Gregg Smart. Mangsa disuruh berlutut sebelum Billy melepaskan tembakan ke kepala Gregg hingga menyebabkan kematian serta-merta. Selepas kejadian, Pamela didakwa cuba menutup penglibatannya dengan memberikan keterangan palsu kepada pihak berkuasa dan cuba mempengaruhi saksi supaya tidak mendedahkan kebenaran.

     Perbicaraan Pamela Smart pada tahun 1991 menjadi tumpuan media. Pendakwaan mengemukakan keterangan terperinci daripada Billy Flynn dan tiga rakan remajanya yang masing-masing mencapai perjanjian pengakuan bersalah dengan pihak pendakwa raya. Mereka bersetuju memberi keterangan terhadap Pamela sebagai balasan kepada hukuman yang lebih ringan. Keterangan mereka menggambarkan Pamela sebagai individu yang merancang, mengarah dan mengawal keseluruhan rancangan pembunuhan.

     Pamela Smart pula menafikan bahawa dia merancang atau mengarahkan pembunuhan tersebut namun mengakui hubungan sulitnya dengan Billy. Pihak pembela berhujah bahawa keterangan remaja-remaja tersebut tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana mereka mempunyai kepentingan untuk mengurangkan hukuman masing-masing. Walau bagaimanapun, pihak juri menerima hujah pendakwaan berdasarkan bukti dan konsistensi keterangan saksi.

     Mahkamah akhirnya mendapati Pamela Smart bersalah atas semua pertuduhan termasuk bersekongkol untuk membunuh, menjadi sekutu dalam pembunuhan tahap pertama dan mengganggu proses keadilan. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol walaupun dia tidak menarik picu senjata. Mahkamah menegaskan bahawa peranannya sebagai dalang dan individu dewasa yang memanipulasi remaja adalah faktor utama hukuman berat tersebut.

    Billy Flynn pula mengaku bersalah atas pertuduhan pembunuhan tahap kedua. Disebabkan usianya yang masih di bawah umur ketika kejadian dan kerjasamanya dengan pihak pendakwaan, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan kemungkinan parol. Selepas menjalani hukuman selama kira-kira 25 tahun, Billy dibebaskan pada tahun 2015. Tiga rakan Billy yang terlibat pula masing-masing menerima hukuman penjara jangka panjang yakni antara 20 hingga 40 tahun bergantung kepada tahap penglibatan mereka. Kesemua mereka layak memohon parol dan akhirnya dibebaskan lebih awal selepas menjalani hukuman sekitar 10 hingga 15 tahun. Identiti dan kehidupan mereka selepas pembebasan tidak banyak didedahkan kepada umum.

     Hingga pada hari ini, Pamela masih menjalani hukuman penjara. Beberapa permohonannya untuk pengurangan hukuman telah ditolak. Walaupun dia mengakui bahawa tindakannya menyumbang kepada kematian suaminya, dia masih menafikan bahawa dia secara langsung mengarahkan pembunuhan tersebut.

Catat Ulasan for "KISAH PAMELA SMART: Wanita yang Bunuh Suami Demi Cinta Terlarang"