Kisah Grigory Perelman: Genius Matematik yang Menolak Kemasyhuran

Grigory Yakovlevich Perelman ialah seorang ahli matematik Rusia yang namanya menjadi legenda bukan kerana kekayaan atau kemasyhuran tetapi kerana keputusannya yang luar biasa menolak pengiktirafan tertinggi dalam dunia sains.
Perelman dilahirkan pada 13 Jun 1966 di Leningrad, Kesatuan Soviet (kini Saint Petersburg, Rusia). Sejak kecil, bakatnya dalam matematik sudah terserlah. Ibunya, seorang guru matematik banyak mendorong minat Perelman terhadap subjek tersebut. Ketika berusia remaja, Perelman menyertai Olimpik Matematik peringkat antarabangsa dan pada tahun 1982 di mana dia memenangi pingat emas dengan markah penuh. Kejayaan itu mengesahkan statusnya sebagai salah seorang bakat matematik paling luar biasa pada zamannya.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Negeri Leningrad, Perelman melanjutkan kerjaya akademik sebagai penyelidik di Institut Steklov, sebuah institusi matematik terkemuka di Rusia. Pada awal 1990-an, dia juga pernah bekerja dan mengajar di beberapa universiti di Amerika Syarikat. Namun Perelman bukanlah seorang akademik tipikal. Dia kurang berminat terhadap penerbitan berprestij, persidangan besar atau rangkaian sosial dalam kalangan sarjana.

Nama Perelman melonjak ke peringkat antarabangsa pada tahun 2002 dan 2003 apabila dia memuat naik tiga kertas kerja di internet yang mendakwa telah menyelesaikan Konjektur Poincare, salah satu masalah matematik paling sukar dan terkenal di dunia. Konjektur ini telah menghantui ahli matematik selama lebih 100 tahun dan dianggap sebagai sebahagian daripada Masalah Milenium iaitu tujuh masalah matematik paling penting yang ditawarkan ganjaran satu juta dolar Amerika bagi setiap penyelesaian.
Apa yang luar biasa, Perelman tidak menerbitkan kertas tersebut dalam jurnal akademik rasmi. Dia sebaliknya hanya memuat naiknya secara terbuka tanpa melalui proses biasa. Pada mulanya, ramai pihak bersikap berhati-hati dan skeptikal. Bertahun-tahun diambil oleh pakar matematik lain untuk menyemak, mengesahkan dan memahami sepenuhnya bukti yang dikemukakan oleh Perelman. Akhirnya pada sekitar tahun 2006, dunia matematik bersetuju bahawa dia benar-benar telah menyelesaikan Konjektur Poincare.

Sebagai pengiktirafan, Perelman dianugerahkan Pingat Fields pada tahun 2006 yakni anugerah paling berprestij dalam matematik yang sering disamakan dengan Hadiah Nobel. Namun dalam satu tindakan yang mengejutkan dunia, Perelman menolak anugerah tersebut. Dia tidak hadir ke majlis penganugerahan dan menyatakan bahawa dirinya tidak berminat dengan kemasyhuran atau penghormatan awam.
Lebih mengejutkan lagi, pada tahun 2010, Institut Clay Matematik mengumumkan bahawa Perelman layak menerima ganjaran satu juta dolar Amerika kerana menyelesaikan Masalah Milenium tersebut. Sekali lagi, Perelman menolak wang tersebut. Dalam kenyataannya, dia menyebut bahawa sumbangannya tidak lebih penting daripada sumbangan ahli matematik lain. Perelman tidak bersetuju dengan cara komuniti saintifik mengagihkan kredit dan pengiktirafan.
Selepas itu, Perelman menarik diri sepenuhnya daripada dunia akademik. Dia meninggalkan Institut Steklov, tidak lagi menerbitkan kertas kerja dan hidup secara sederhana di Saint Petersburg bersama ibunya. Kehidupannya penuh privasi, jauh daripada media dan masyarakat umum. Meskipun elbagai spekulasi timbul, Perelman tetap memilih jalan hidup yang tenang, bebas daripada tekanan sistem akademik dan materialisme.
Catat Ulasan for "Kisah Grigory Perelman: Genius Matematik yang Menolak Kemasyhuran"