PEMAIN BOLA SEPAK ECUADOR MATI DITEMBAK

ECUADOR — Mario Alberto Pineida Martinez iaitu seorang pemain bola sepak profesional yang terkenal dari Ecuador terbunuh akibat ditembak dalam satu serangan bersenjata pada petang 17 Disember 2025 di bandar terbesar negara itu, Guayaquil.
Mario Pineida yang berusia 33 tahun merupakan bek kiri berpengalaman yang pernah mewakili Barcelona Sporting Club (Barcelona SC), salah satu kelab paling berprestij di Ecuador. Dia juga pernah bermain di peringkat antarabangsa mewakili pasukan kebangsaan Ecuador dalam beberapa kejohanan termasuk kelayakan Piala Dunia serta Copa America. Dalam kariernya, Pineida pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama seperti Independiente del Valle, Fluminense di Brazil dan El Nacional sebelum kembali kepada Barcelona SC.
Menurut laporan polis dan saksi kejadian, serangan itu berlaku di kawasan Samanes 4, utara Guayaquil yakni sebuah kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai zon yang sering dilanda oleh keganasan geng dan jenayah terancang. Pineida ketika itu dikatakan berada bersama dua wanita di mana seorang daripadanya adalah ibunya di sebuah kedai daging ketika beberapa lelaki yang tidak dikenali tiba dengan motosikal dan melepaskan tembakan secara tiba‑tiba ke arah mereka.

Akibat serangan tersebut, Mario Pineida meninggal dunia di tempat kejadian manakala salah seorang wanita yang bersamanya juga dilaporkan maut akibat kecederaan tembakan. Ibunya yang turut menjadi sasaran serangan disahkan mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Pihak Polis Negara Ecuador dan Kementerian Dalam Negeri telah melancarkan satu siasatan rasmi terhadap kes ini dengan mengklasifikasikan insiden itu sebagai satu serangan terancang dan disasarkan terhadap Pineida dan kumpulannya. Menurut siasatan awal, motif sebenar serangan masih belum jelas namun pihak berkuasa tidak mengecualikan kemungkinan ia berkaitan dengan jenayah terancang atau keganasan geng yang semakin serius di bandar tersebut.
Dalam usaha memburu mereka yang terlibat, pasukan polis telah berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam serangan itu selepas imej daripada kamera litar tertutup (CCTV) dianalisis dan menunjukkan kenderaan serta suspek yang dipercayai hadir semasa kejadian. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai status penahanan tersebut atau motif sebenar di sebalik pembunuhan itu. Video insiden tembakan tersebut boleh ditonton di bawah :
Catat Ulasan for "PEMAIN BOLA SEPAK ECUADOR MATI DITEMBAK"