KISAH PEMBUNUHAN ERIN CORWIN: Pengkhianatan Seorang Isteri

Kes pembunuhan Erin Corwin merupakan antara kes jenayah paling mengejutkan di Amerika Syarikat pada dekad 2010-an kerana ia melibatkan kehilangan seorang wanita muda yang sedang hamil, disusuli dengan pendedahan hubungan sulit, pembohongan berlapis dan pembunuhan yang dirancang secara kejam.
Erin Corwin, 19 tahun dilaporkan hilang pada Jun 2016 di kawasan Twentynine Palms, California. Pada ketika itu, Erin sedang hamil kira-kira tiga bulan dan tinggal bersama suaminya iaitu Jon Corwin yang juga merupakan anggota Marin Amerika Syarikat. Menurut laporan awal, Erin dikatakan keluar bersendirian untuk melakukan aktiviti mendaki berhampiran Taman Negara Joshua Tree. Namun selepas itu, dia langsung tidak pulang ke rumah.

Kehilangannya segera mencetuskan kebimbangan kerana Erin tidak pernah meninggalkan rumah tanpa memberitahu suaminya terlebih dahulu lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil. Pihak berkuasa bersama pasukan mencari dan menyelamat melancarkan operasi besar-besaran, termasuk penggunaan helikopter, anjing pengesan dan sukarelawan. Beberapa hari selepas operasi pencarian dijalankan tanpa hasil, penyiasatan mula tertumpu kepada kawasan lombong lama yang terbiar di sekitar padang pasir Mojave. Pada 22 Ogos 2016, mayat Erin ditemui di dasar sebuah lombong sedalam hampir 30 meter.
Keadaan mayat menunjukkan bahawa kematiannya bukan satu kemalangan.Hasil bedah siasat mengesahkan Erin mati akibat kecederaan parah di kepala selaras dengan perbuatan ditolak atau dijatuhkan secara sengaja. Penemuan ini menamatkan harapan bahawa Erin masih hidup dan menukar kes kehilangan orang kepada kes pembunuhan.

Siasatan lanjut membawa kepada satu pendedahan mengejutkan. Corwin sebenarnya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki bernama Christopher Lee Preston, 25 tahun, seorang jiran yang tinggal berhampiran kawasan perumahannya. Preston juga sudah berkahwin dan isterinya ketika itu sedang hamil.
Lebih mengejutkan, Erin dipercayai hamil hasil hubungan sulit tersebut dan telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan suaminya serta meminta Preston bertanggungjawab terhadap kandungannya. Tekanan ini dipercayai menjadi motif utama pembunuhan.
Pada peringkat awal siasatan, Preston tampil sebagai individu yang kelihatan prihatin. Dia turut menyertai operasi pencarian dan memberikan kenyataan kepada pihak berkuasa selain mengaku sebagai orang terakhir yang melihat Erin sebelum kehilangannya.

Namun percanggahan dalam ceritanya mula dikesan. Preston mendakwa dia membawa Erin mendaki ke kawasan lombong atas permintaannya sendiri, kononnya Erin mahu melihat kawasan tersebut. Siasatan teknikal termasuk rekod telefon dan analisis pergerakan telah membongkar bahawa Preston telah berbohong berulang kali. Rakaman telefon bimbit dan mesej peribadi turut mendedahkan hubungan sulit mereka serta perbualan tegang berkaitan kehamilan Erin. Bukti-bukti ini mengukuhkan teori bahawa pembunuhan itu dirancang untuk menutup skandal dan mengelakkan tanggungjawab.
Preston ditahan pada Ogos 2016. Semasa disoal siasat, dia akhirnya mengaku telah menolak Erin ke dalam lombong selepas berlaku pertengkaran. Walaupun dia cuba menggambarkan kejadian itu sebagai kemalangan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan unsur niat dan perancangan. Pada tahun 2018, Preston mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Erin Corwin. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol sekali gus menamatkan satu kes yang penuh manipulasi emosi dan pengkhianatan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ERIN CORWIN: Pengkhianatan Seorang Isteri"