KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIKI CAMARENA

Enrique Kiki Camarena Salazar ialah seorang ejen Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (Drug Enforcement Administration, DEA) yang terkenal dengan dedikasi dan keberaniannya dalam memerangi sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Dilahirkan pada 26 Julai 1947 di Mexicali, Baja California, Mexico, Camarena membesar dengan semangat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Dia pernah menyertai Kor Marin A.S., menjadi anggota polis serta bertugas sebagai anggota bomba sebelum menyertai DEA pada tahun 1974 di mana dia dikenali sebagai seorang ejen yang komited dan cemerlang dalam menjalankan tugasnya.
Pada awal 1980‑an, Camarena bertugas di pejabat DEA di Guadalajara, Mexico, sebuah pusat operasi penting bagi memerangi kartel narkotik yang ketika itu semakin berkuasa. Tugas utamanya melibatkan penyamaran serta pengumpulan maklumat mengenai rangkaian pengedaran marijuana dan kokain yang beroperasi antara Mexico dan Amerika Syarikat. Dia dilaporkan memainkan peranan penting dalam menggagalkan sebuah ladang marijuana seluas ribuan hektar yang dikenali sebagai Rancho Byfalo di Chihuahua yang dianggarkan menghasilkan dadah bernilai berbilion dolar setahun. Aktiviti ini memberikan tekanan besar terhadap kepentingan kartel yang beroperasi di kawasan itu.

Kejadian berlaku pada 7 Februari 1985 ketika Camarena sedang berjalan keluar dari Konsulat Amerika Syarikat di Guadalajara untuk bertemu isterinya, Geneva “Mika” Camarena untuk makan tengah hari seperti yang telah dirancang. Dalam kejadian yang berlaku secara terbuka, Camarena telah diculik oleh sekumpulan anggota polis Mexico korup yang dipercayai bekerja atas arahan dan imbuhan daripada pemimpin kartel dadah terutama Miguel Angel Felix Gallardo dan rakan‑rakannya. Beberapa jam selepas penculikan Camarena, Alfredo Zavala Avelar iaitu seorang juruterbang yang sering membantu operasi DEA turut diculik.
Camarena dan Zavala kemudian dibawa ke sebuah rumah di 881 Lope de Vega, Jardines del Bosque, Guadalajara yang didakwa dimiliki oleh salah seorang pengasas Guadalajara Cartel, Rafael Caro Quintero. Di situ, kedua‑dua lelaki itu telah diseksa secara kejam selama lebih 30 jam dalam usaha untuk memaksa mereka mendedahkan maklumat tentang operasi DEA dan rangkaian pengedaran dadah serta sebarang hubungan mereka dengan pegawai politik. Menurut laporan autopsi dan saksi, Camarena mengalami kecederaan yang sangat teruk termasuk tulang rusuk yang patah, patah tulang muka serta tengkoraknya ditembusi dengan objek tajam ketika dia masih didera. Camarena juga diberi suntikan ubat supaya tetap sedar sepanjang sesi penyeksaan tersebut.

Selepas tempoh penyeksaan itu, pada 9 Februari 1985, Camarena dan Zavala dibunuh dengan mayat mereka dibungkus dengan plastik sebelum disembunyikan dalam sebuah kubur cetek di sebuah ladang di luar bandar Michoacan, kira‑kira 60 batu dari Guadalajara. Mayat mereka hanya ditemui pada 5 Mac 1985 yakni lebih tiga minggu selepas penculikan mereka. Penemuan ini menggoncang bukan sahaja keluarga dan rakan‑rakan Camarena tetapi juga kerajaan A.S. dan masyarakat antarabangsa atas keganasan ekstrem yang dialami kedua‑dua lelaki itu.
Kematian Camarena menjadi satu titik sejarah yang besar dalam usaha A.S. memerangi pengedaran dadah. Ia mencetuskan operasi penyiasatan terbesar yang pernah dijalankan oleh DEA, sebuah operasi dinamakan Operation Leyenda yang bertujuan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap penculikan dan pembunuhan itu ke muka pengadilan. Di bawah tekanan diplomatik serta kerjasama antara kerajaan A.S. bersama pihak berkuasa Mexico, beberapa tokoh utama kartel seperti Caro Quintero dan Ernesto Don Neto Fonseca Carrillo ditangkap. Caro Quintero dijatuhi hukuman penjara 40 tahun di Mexico tetapi dilepaskan secara kontroversi pada tahun 2013 oleh mahkamah Mexico atas alasan teknikal. Dia kemudian ditangkap semula pada tahun 2022 sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat pada tahun 2025 untuk menghadapi pertuduhan lanjutan berkaitan pembunuhan dan perdagangan dadah. Fonseca pula telah dibebaskan selepas menjalani sebahagian besar hukumannya pada tahun 2025.
Selepas kematian Camarena, dia dianugerahkan Administrator’s Award of Honor, penghormatan tertinggi dari DEA sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan hidupnya dalam menegakkan undang‑undang dan melindungi masyarakat daripada bahaya dadah. Kematian Camarena juga menjadi inspirasi kepada kempen anti‑dadah yang dikenali sebagai Red Ribbon Week di mana orang ramai memakai reben merah setiap tahun sebagai simbol komitmen menentang penyalahgunaan dadah dan menghormati waris mereka yang terkorban dalam perjuangan ini.
Bagi keluarga Camarena, perjuangan mencari keadilan berterusan hingga ke hari ini. Pada tahun 2025, waris‑waris termasuk isterinya, Mika serta anaknya telah memfailkan tuntutan sivil di mahkamah persekutuan di San Diego terhadap pemimpin kartel yang terlibat dengan menggunakan status undang‑undang yang melabelkan kartel sebagai organisasi pengganas asing. Ini merupakan salah satu usaha terbaru untuk memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian Camarena akan terus dipertanggungjawabkan di bawah sistem undang‑undang A.S. selain daripada hukuman jenayah yang sedang menunggu proses perbicaraan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIKI CAMARENA "