LELAKI MENINGGAL DUNIA SELEPAS LEBIH 8 JAM MENUNGGU RAWATAN KECEMASAN DI HOSPITAL

KANADA — Seorang lelaki berketurunan India, Prashant Sreekumar, 44 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung selepas didakwa menunggu lebih lapan jam di bilik kecemasan hospital tanpa rawatan sewajarnya sekali gus mencetuskan kritikan terhadap sistem penjagaan kesihatan kecemasan di negara itu.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 22 Disember 2025 apabila Prashant yang juga merupakan seorang bapa kepada tiga orang anak berusia 3, 10 dan 14 tahun mula mengalami sakit dada yang amat teruk ketika berada di tempat kerja di Edmonton. Dia kemudian dibawa oleh seorang kenalan ke Grey Nuns Community Hospital, sebuah hospital yang terletak di tenggara bandar tersebut.
Menurut ahli keluarga, Prashant tiba di hospital sekitar tengah hari dan menjalani proses triagebiaitu penilaian awal pesakit. Namun dia kemudian dibiarkan menunggu di bilik kecemasan selama lebih lapan jam meskipun berulang kali mengadu kesakitan yang semakin teruk. Keluarga mendakwa Prashant menyifatkan tahap kesakitannya sebagai 15 daripada 10 selain memaklumkan bahawa tekanan darahnya terus meningkat sepanjang tempoh menunggu.
Bapa mangsa iaitu Kumar Sreekumar yang turut berada di hospital berkata anaknya berkali-kali meluahkan ketidakmampuan menahan kesakitan sambil memegang dada. Namun menurut keluarga, tindakan awal pihak hospital hanyalah melakukan ujian electrocardiogram (ECG) dan memberikan Tylenol yakni sejenis ubat penahan sakit ringan selepas diberitahu bahawa tiada masalah serius dikesan pada waktu itu.

Walaupun keadaan fizikal Prashant dilihat semakin merosot, dia tidak segera dibawa masuk untuk rawatan kecemasan lanjut. Keluarga mendakwa pemantauan dilakukan secara minimum dan aduan berulang mengenai sakit dada tidak diberi keutamaan sewajarnya.
Kejadian berlaku apabila Prashant akhirnya dipanggil masuk ke kawasan rawatan selepas lebih lapan jam menunggu. Menurut bapa mangsa, tidak sampai 10 saat selepas Prashant duduk, dia tiba-tiba memegang dada, cuba bangun lalu rebah dan tidak sedarkan diri. Usaha menyelamat termasuk bantuan kecemasan segera dilakukan tetapi gagal. Dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Kematian Prashant mencetuskan kemarahan dan kesedihan mendalam dalam kalangan ahli keluarga. Isterinya, Niharika Sreekumar turut meluahkan kekecewaan terhadap pengendalian kes tersebut, dengan mendakwa kelewatan rawatan dan kegagalan memberi perhatian sewajarnya menjadi faktor utama kematian suaminya. Rakaman videonya bersama mayat Prashant tular di media sosial.
Pihak Grey Nuns Community Hospital yang diuruskan oleh Covenant Health mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu kini dalam siasatan. Walau bagaimanapun, pihak hospital tidak memberikan butiran lanjut mengenai rawatan yang diberikan atas alasan privasi pesakit sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Catat Ulasan for "LELAKI MENINGGAL DUNIA SELEPAS LEBIH 8 JAM MENUNGGU RAWATAN KECEMASAN DI HOSPITAL"