WILLIS GIBSON: Remaja 13 Tahun yang Kalahkan Tetris

Pada penghujung tahun 2023, dunia permainan video dikejutkan dengan satu pencapaian luar biasa yang selama lebih tiga dekad dianggap mustahil untuk dicapai oleh manusia. Seorang remaja berusia 13 tahun dari Oklahoma, Amerika Syarikat bernama Willis Gibson mencipta sejarah apabila dia berjaya mencapai tahap maksimum dalam permainan Tetris versi klasik Nintendo Entertainment System (NES) sehingga permainan tersebut terhenti sendiri akibat had teknikal sistem.
Permainan Tetris versi NES yang diperkenalkan pada akhir 1980-an tidak pernah direka untuk mempunyai pengakhiran rasmi. Permainan ini sebaliknya akan menjadi semakin laju sehingga ke satu tahap yang dikenali sebagai kill screen di mana sistem tidak lagi mampu memproses pergerakan kepingan Tetris dengan sempurna. Selama bertahun-tahun, tahap ini dianggap mustahil dicapai oleh pemain manusia kerana kelajuan permainan yang terlalu pantas dan tekanan fizikal serta mental yang tinggi. Sebelum ini, hanya simulasi komputer dan kecerdasan buatan (AI) yang pernah mencapai tahap tersebut. Namun Willis berjaya melakukannya menggunakan kemahiran tangan, refleks dan fokus manusia sepenuhnya.(Tonton video di bawah)
Kejayaan itu dicapai oleh Willis pada 21 Disember 2023 yakni selepas sesi permainan intensif yang mengambil masa kira-kira 38 minit tanpa henti. Video rakaman detik bersejarah itu kemudiannya dimuat naik ke saluran YouTube miliknya pada 2 Januari 2024 dan segera menjadi tular. Dalam rakaman tersebut, Willis kelihatan sangat fokus mengawal permainan sebelum tiba-tiba permainan berhenti sepenuhnya. Willis yang jelas terkejut dan keletihan dapat didengar berulang kali menyebut kata-kata keterujaan sambil menyedari bahawa dia baru sahaja mencapai sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh manusia sebelum ini. Video tersebut mendapat perhatian dan ditonton oleh jutaan pengguna dalam tempoh singkat.
Kejayaan luar biasa itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh komuniti permainan video, terutamanya peminat permainan retro dan pemain Tetris profesional. Ramai menyifatkan pencapaian Willis sebagai bukti bahawa had manusia dalam permainan video masih boleh ditembusi dengan latihan, kesabaran dan dedikasi tinggi. Namun di sebalik pujian dan sokongan yang meluas, muncul juga reaksi negatif yang mencetuskan kontroversi.
Semasa liputan berita mengenai kejayaan Willis, seorang pembaca berita dari Sky News, Jayne Secker mengeluarkan kenyataan spontan yang mencetuskan kecaman orang ramai. Dalam siaran tersebut, Jayne menyatakan bahawa sebagai seorang ibu, dia akan menasihati remaja seperti Willis untuk menutup skrin, keluar mendapatkan udara segar sambil menyatakan bahawa menamatkan permainan Tetris bukanlah satu matlamat hidup. Kenyataan ini dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak sensitif dan meremehkan pencapaian luar biasa seorang remaja yang telah mencipta sejarah dunia. (Tonton video di di bawah).
Komen tersebut mencetuskan gelombang reaksi balas di media sosial. Ramai netizen tampil mempertahankan Willis dan mengkritik kenyataan wartawan itu yang dilihat mencerminkan pandangan lapuk terhadap dunia permainan video. Mereka berpendapat bahawa sekiranya pencapaian itu berlaku dalam bidang sukan atau akademik, ia pasti diraikan tanpa persoalan. Bagi komuniti permainan video, apa yang dicapai oleh Willis adalah hasil usaha bertahun-tahun, disiplin tinggi dan kemahiran luar biasa yang wajar dihormati.

Pada masa yang sama, beberapa individu berpengaruh dalam dunia Tetris tampil memberikan sokongan dan pujian terbuka kepada Willis Gibson. Maya Rogers, Ketua Pegawai Eksekutif The Tetris Companybmenyifatkan pencapaian Willis sebagai satu kejayaan luar biasa yang telah mendefinisikan semula had permainan Tetris.
Pencipta asal Tetris, Alexey Pajitnovbturut memberikan pengiktirafan secara peribadi kepada Willis melalui panggilan video. Pajitnov menyatakan kekagumannya terhadap keupayaan Willis dan menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang menakjubkan.
Catat Ulasan for "WILLIS GIBSON: Remaja 13 Tahun yang Kalahkan Tetris "