Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Los Chapitos: Kekejaman Kartel Sinaloa


     Kartel dadah Sinaloa merupakan salah satu organisasi jenayah terancang yang paling berkuasa dan paling ditakuti di Mexico. Asalnya dipimpin oleh Joaquin “El Chapo” Guzman, kartel ini terkenal kerana kekejamannya dan pengaruhnya yang luas dalam aktiviti pengedaran dadah, pemerasan, penculikan serta pelbagai jenayah lain di seluruh Mexico dan di sempadan Mexico-Amerika.

     Setelah El Chapo dipenjarakan pada tahun 2019, anak-anak lelakinya yang dikenali sebagai Los Chapitos dipercayai mengambil alih sebahagian besar operasi kartel tersebut. Anak-anaknya termasuk Ovidio Guzman Lopez, Jesus Alfredo Guzmn Salazar serta Ivan Archivaldo Guzman Salazar didakwa bukan sahaja mengurus perdagangan dadah berskala besar tetapi juga menggunakan kekerasan ekstrem dan penyeksaan terhadap musuh, pesaing dan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai ancaman kepada pengaruh mereka.

     Menurut dokumen pertuduhan rasmi yang dibuka oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, modus operandi Los Chapitos amat kejam dan mengerikan. Salah satu kaedah yang dilaporkan ialah penggunaan alat seperti pemutar gabus untuk dicucuk ke dalam otot mangsa sebelum dicabut secara paksa. Luka-luka ini kemudian dicurahi cili pedas sehingga menimbulkan kesakitan yang luar biasa. Dalam beberapa kes, mangsa juga diseksa menggunakan elektrik dan teknik seperti menenggelamkan muka dalam air sehingga hampir lemas yakni satu bentuk penyeksaan yang sengaja direka untuk menyebabkan ketakutan dan penderitaan fizikal yang maksimum.

     Selain daripada penyeksaan fizikal, beberapa mangsa dilaporkan telah diberi makan kepada harimau yang dipelihara oleh kartel di ladang milik mereka. Ada mangsa yang diserahkan dalam keadaan hidup dan ada juga  telah dibunuh terlebih dahulu sebelum dijadikan makanan. Dakwaan ini menggambarkan tahap kekejaman yang melampau di mana manusia dijadikan alat untuk menunjukkan kuasa dan menakut-nakutkan pesaing atau sesiapa sahaja yang menentang kartel. Perbuatan ini juga dianggap sebagai strategi psikologi kerana ia memberi amaran yang sangat menakutkan kepada orang lain bahawa menentang kartel boleh mengakibatkan kematian yang mengerikan.

     Dalam dokumen pertuduhan, pihak pendakwa juga menyatakan bahawa kartel ini menjalankan aktiviti haram yang melibatkan percubaan dadah sintetik terhadap tahanan khususnya fentanyl. Tahanan menjadi objek eksperimen untuk menguji kesan dadah tersebut dan ada yang meninggal dunia akibat overdosis. Tindakan ini menegaskan bahawa kartel tidak hanya bergantung kepada kekerasan untuk mengawal musuh tetapi juga menggunakan manusia sebagai alat untuk tujuan jenayah lain sekali gus menunjukkan kekejaman dan ketidakpedulian mereka terhadap nyawa manusia.


     Kekejaman Los Chapitos bukan sahaja berlaku di kawasan pengedaran dadah mereka tetapi turut memberi kesan mendalam terhadap penduduk setempat. Penduduk di kawasan yang dikuasai kartel hidup dalam keadaan ketakutan berterusan kerana penculikan, penyeksaan dan pembunuhan boleh berlaku pada bila-bila masa. Sekolah, pasar dan kawasan awam lain sering menjadi saksi kepada tindakan ganas kartel. Ramai penduduk terpaksa berpindah atau menjalani kehidupan yang penuh dengan rasa cemas dan tidak selamat. Kartel juga sering menggunakan intimidasi, meninggalkan mayat atau tanda amaran sebagai peringatan kepada sesiapa yang cuba menentang mereka.

     Tindakan penguatkuasaan terhadap Los Chapitos dan kartel Sinaloa telah dijalankan oleh pihak berkuasa Mexico dan Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika menawarkan ganjaran jutaan dolar untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dan sabitan mereka. Selain itu, pihak perbendaharaan Amerika telah mengenakan sekatan kewangan untuk memutuskan aliran wang, harta dan sumber sokongan logistik kartel yang bertujuan melemahkan operasi haram mereka. 

Catat Ulasan for " Los Chapitos: Kekejaman Kartel Sinaloa"