Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PRAMUGARI WANITA DITIKAM 15 KALI DENGAN GUNTING DI HOTEL MEWAH DUBAI, BEKAS SUAMI DITAHAN

     EMIRIAH ARAB BERSATU - Seorang pramugari berusia 25 tahun ditemui mati dalam keadaan tragis selepas dipercayai ditikam sebanyak 15 kali di bahagian leher dan tubuh menggunakan sebilah gunting di sebuah hotel lima bintang di Dubai. 

     Mangsa yang dikenal pasti sebagai Anastasia merupakan seorang pramugari kepada sebuah syarikat penerbangan Rusia. Mayatnya ditemui di dalam bilik hotel Voco Bonnington Hotel, sebuah hotel mewah yang terletak di kawasan Jumeirah Lakes Towers. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat tikaman berulang kali dengan kesan luka tertumpu di leher, dada dan bahagian atas badan.

     Menurut pihak berkuasa, siasatan mendapati mangsa berada di Dubai atas urusan kerja. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel menunjukkan seorang lelaki memasuki hotel dengan menyamar sebagai tetamu sebelum menuju ke bilik mangsa. Lelaki tersebut kemudiannya dikenal pasti sebagai bekas suami mangsa, seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga warganegara Rusia. Sumber siasatan mendedahkan bahawa suspek dipercayai telah mengekori mangsa ke Dubai sebelum memecah masuk ke bilik hotel dan menyerang mangsa secara brutal. Senjata yang digunakan iaitu gunting, dipercayai diambil dari dalam bilik hotel itu sendiri menunjukkan serangan dilakukan secara impulsif tetapi ganas. 

     Lebih mengejutkan, suspek dilaporkan meninggalkan Emiriah Arab Bersatu hanya beberapa jam selepas kejadian dengan menaiki penerbangan pulang ke Rusia. Namun hasil kerjasama antara pihak berkuasa UAE dan Rusia, suspek berjaya dikesan dan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang St. Petersburg. Mahkamah Rusia kemudiannya memerintahkan suspek direman sementara siasatan lanjut dijalankan. Pihak pendakwaan Rusia mengesahkan bahawa penahanan dibuat berdasarkan bukti kukuh termasuk rakaman CCTV, rekod perjalanan penerbangan serta maklumat digital yang mengaitkan suspek secara langsung dengan kejadian pembunuhan tersebut.

     Dari sudut motif, beberapa laporan media memetik sumber penyiasatan yang menyatakan suspek didorong oleh perasaan cemburu melampau dan syak wasangka terhadap mangsa. Suspek dipercayai menuduh mangsa menjalani kehidupan berganda dan bekerja sebagai pengiring elit yakni dakwaan yang belum dibuktikan dan tidak disahkan oleh pihak berkuasa secara rasmi.

     Kes ini turut menarik perhatian apabila timbul laporan bahawa suspek didakwa cuba mengelak hukuman penjara dengan menawarkan diri menyertai pasukan tentera Rusia, satu tindakan yang pernah dilaporkan berlaku dalam beberapa kes jenayah berprofil tinggi sebelum ini. Namun hingga setakat ini, pihak berkuasa Rusia tidak mengesahkan sama ada permintaan tersebut akan dipertimbangkan.

     Pihak berkuasa UAE mengesahkan siasatan di peringkat tempatan telah selesai sebelum fail kes diserahkan kepada pihak Rusia berikutan status kewarganegaraan suspek dan mangsa. Sementara itu, keluarga mangsa menuntut keadilan penuh dan berharap pelaku dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan tersebut.

Catat Ulasan for "PRAMUGARI WANITA DITIKAM 15 KALI DENGAN GUNTING DI HOTEL MEWAH DUBAI, BEKAS SUAMI DITAHAN"