ADA APA DENGAN VICTORIA BECKHAM DAN NICOLA PELTZ

Hubungan antara Victoria Beckham dan menantunya iaitu Nicola Peltz menjadi perhatian meluas media disebabkan spekulasi konflik keluarga yang berpanjangan sejak perkahwinan Brooklyn Beckham dan Nicola Peltz pada tahun 2022.
Victoria Beckham merupakan selebriti terkenal dunia di mana dia bukan sahaja sebagai bekas anggota kumpulan Spice Girls malah sebagai pereka fesyen berprofil tinggi yang membina empayar jenamanya sendiri. Nicola Peltz pula ialah seorang pelakon dan model dari Amerika Syarikat yang berasal daripada keluarga kaya dan berpengaruh. Perbezaan latar belakang ini sering dianggap sebagai faktor yang menyumbang kepada jurang hubungan antara kedua-duanya terutama selepas Nicola berkahwin dengan Brooklyn Beckham, anak sulung Victoria dan David Beckham.

Isu ini mula diperkatakan secara serius apabila Nicola Peltz tidak mengenakan gaun rekaan Victoria Beckham pada hari perkahwinannya. Sebelum majlis berlangsung, terdapat laporan bahawa Victoria akan mereka gaun perkahwinan tersebut sekali gus dilihat sebagai tanda penerimaan dan hubungan baik antara ibu mentua dan menantu. Namun pada hari perkahwinan, Nicola muncul mengenakan gaun daripada jenama Valentino. Keputusan ini mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan bahawa wujud konflik peribadi dan rasa tidak puas hati antara kedua-dua wanita tersebut.
Nicola Peltz kemudiannya menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak memakai gaun rekaan Victoria bukan dibuat atas dasar emosi atau konflik tetapi sebaliknya kerana pasukan Victoria tidak dapat menyiapkan gaun tersebut mengikut jadual yang diperlukan. Penjelasan ini bagaimanapun tidak sepenuhnya meredakan spekulasi kerana media dan peminat melihat insiden tersebut sebagai petanda awal keretakan hubungan. Dalam konteks keluarga selebriti, perkara kecil seperti pilihan pakaian mudah ditafsirkan sebagai petanda kepada isu yang lebih besar.

Spekulasi semakin memuncak apabila Nicola Peltz memberikan wawancara terbuka kepada media di mana dia menyentuh perasaan tertekan hidup sebagai menantu dalam keluarga yang sangat terkenal. Nicola menyatakan bahawa dia sering dibandingkan dengan Victoria Beckham dan perbandingan tersebut memberi tekanan emosi yang besar. Walaupun Nicola tidak menuduh Victoria secara langsung, kenyataan tersebut ditafsirkan oleh ramai pihak sebagai gambaran hubungan yang tidak sepenuhnya harmoni. Dalam wawancara yang sama, Nicola menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat untuk menjatuhkan atau menyakiti perasaan ibu mentuanya. Dia bagaimanapun mengakui bahawa hubungan mereka bukanlah hubungan yang mudah.
Peranan Brooklyn Beckham dalam situasi ini turut menjadi tumpuan. Brooklyn dilihat secara konsisten menunjukkan sokongan terbuka terhadap isterinya termasuk melalui hantaran media sosial yang menekankan bahawa Nicola adalah keutamaannya. Sokongan ini disambut baik oleh sebahagian pihak tetapi pada masa yang sama mencetuskan spekulasi bahawa hubungan Brooklyn dengan ibu bapanya menjadi semakin renggang.

Victoria Beckham pula mengambil pendekatan berbeza. Dia jarang memberikan kenyataan terbuka mengenai isu ini dan lebih memilih untuk mengekalkan imej profesional serta harmoni keluarga di ruang awam. Victoria beberapa kali memuat naik ucapan positif tentang Nicola di media sosial termasuk memuji perkahwinan anaknya dan menyatakan rasa bangga terhadap keluarga mereka. Walau bagaimanapun, pemerhati media tetap menilai hubungan tersebut sebagai dingin berdasarkan interaksi yang terhad dan bahasa badan ketika mereka muncul bersama di acara umum. Cuma dalam kes Victoria Beckham dan Nicola Peltz ini, ketiadaan penjelasan terperinci daripada kedua-dua pihak hanya membuka ruang kepada spekulasi berpanjangan.
Catat Ulasan for "ADA APA DENGAN VICTORIA BECKHAM DAN NICOLA PELTZ"