Bekas Guru Disabit Kesalahan Seksual, Suami Pilih Kekal Bersama

AMERIKA SYARIKAT — Sebuah kes salah laku melibatkan seorang bekas guru sekolah menengah wanita di Amerika Syarikat kembali menjadi perhatian apabila dilaporkan bahawa suaminya memilih untuk kekal berkahwin dan meneruskan kehidupan bersama meskipun isterinya mengaku bersalah melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Guru berkenaan iaitu McKenna Kindred sebelum ini didakwa menjalinkan hubungan tidak wajar dengan pelajar terbabit ketika masih berkhidmat sebagai pendidik. Menurut keterangan dalam prosiding mahkamah, hubungan tersebut bermula melalui komunikasi di media sosial sebelum berkembang kepada pertemuan fizikal di kediaman McKenna sendiri termasuk di bilik tidur.
Kes itu terbongkar selepas mesej serta bukti komunikasi yang tidak sesuai dilaporkan kepada pihak sekolah sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. Siasatan mendapati tindakan McKenna merupakan pelanggaran serius terhadap etika profesion perguruan serta undang-undang yang bertujuan melindungi kanak-kanak bawah umur.

Pada perbicaraan yang berlangsung tahun lalu, McKenna mengaku bersalah terhadap pertuduhan kesalahan seksual darjah kedua melibatkan kanak-kanak serta komunikasi tidak bermoral dengan individu bawah umur. Mahkamah menjatuhkan hukuman berupa tempoh percubaan selama dua tahun, denda kewangan dan mewajibkanya mendaftar sebagai pesalah seks selama sepuluh tahun.
Berikutan pengakuan dan sabitan tersebut, McKenna tidak lagi dibenarkan mengajar dan telah melepaskan lesen perguruannya. Kes ini secara rasmi menamatkan kerjayanya dalam bidang pendidikan. Walau bagaimanapun, tumpuan masyarakat turut terarah kepada tindakan suaminya, Kyle Kindrednyang dilaporkan memilih untuk tidak memfailkan perceraian. Pasangan itu masih tinggal bersama dan telah berpindah ke kediaman baharu selepas prosiding mahkamah selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, keluarga pelajar yang terlibat dilaporkan melahirkan rasa kecewa dan menegaskan bahawa perbuatan tersebut memberi kesan emosi serta psikologi yang mendalam terhadap mangsa. Mereka turut menggesa agar kes seumpama ini dijadikan pengajaran dan ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa serta institusi pendidikan.
Catat Ulasan for "Bekas Guru Disabit Kesalahan Seksual, Suami Pilih Kekal Bersama"