Wanita Bunuh Anak OKU Akibat Stres

UNITED KINGDOM — Prosiding inkues di Mahkamah Koroner Bolton telah merungkai butiran menyayat hati di sebalik kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan ibunya di Salford, Greater Manchester. Mahkamah tersebut memutuskan bahawa si ibu, Martina Karos telah membunuh anak perempuannya yang berkeperluan khas sebelum mengambil nyawanya sendiri pada September 2024.
Inkues yang berlangsung pada Januari 2026 itu memutuskan bahawa kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, Eleni Edwards, telah dibunuh oleh ibunya sendiri. Martina Karos pula disahkan meninggal dunia akibat bunuh diri dengan kedua-dua kematian berpunca daripada keracunan karbon monoksida .
Menurut keterangan yang dibentangkan di mahkamah, kebimbangan bermula apabila Eleni gagal hadir ke sekolah pada pagi kejadian. Pihak sekolah yang menyedari ketiadaan luar biasa itu cuba menghubungi Martina tetapi tidak menerima sebarang maklum balas. Susulan itu, polis dan perkhidmatan kecemasan dipanggil untuk melakukan pemeriksaan kebajikan di rumah mereka. Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa ditemui tidak bernyawa di dalam kediaman tersebut .
Hasil siasatan forensik mengesahkan bahawa Eleni meninggal dunia terlebih dahulu sebelum Martina mengakhiri hidupnya sendiri. Koroner memutuskan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh Martina sekali gus membawa kepada keputusan pembunuhan terhadap kematian kanak-kanak itu manakala kematian Martina direkodkan sebagai bunuh diri .
Inkues turut meneliti latar belakang kehidupan Martina Karos, seorang wanita berusia awal 40-an yang berasal dari Poland dan pernah menetap di Itali sebelum berpindah ke United Kingdom. Dia merupakan penjaga sepenuh masa kepada Eleni yang mengalami kecacatan fizikal dan perkembangan yang sangat serius termasuk tidak boleh bercakap, tidak boleh melihat serta memerlukan bantuan penuh untuk pergerakan dan keperluan harian.

Mahkamah diberitahu bahawa sepanjang tempoh beberapa tahun sebelum kejadian, Martina menerima sokongan yang meluas daripada pelbagai agensi kerajaan dan perkhidmatan kebajikan seperti perkhidmatan kesihatan mental, pekerja sosial, penjagaan harian khas serta bantuan rehat penjagaan. Wakil pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa tiada bukti kegagalan sistemik atau kecuaian serius dalam pemberian sokongan kepada keluarga tersebut .
Walau bagaimanapun, keterangan saksi profesional dan rekod perubatan menunjukkan bahawa Martina sering meluahkan perasaan kesunyian melampau, keterasingan sosial dan tekanan emosi yang mendalam. Walaupun bantuan praktikal disediakan, dia dilaporkan bergelut dengan beban psikologi sebagai penjaga tunggal kepada anak yang memerlukan perhatian sepenuh masa selain kekurangan rangkaian sokongan sosial yang kukuh.
Koroner dalam keputusannya menyatakan bahawa walaupun keadaan emosi Martina amat membimbangkan, tiada petunjuk jelas atau amaran khusus yang boleh membolehkan pihak berkuasa meramalkan kejadian ini secara munasabah. Disebabkan itu, mahkamah memutuskan bahawa kematian tersebut tidak berpunca daripada kegagalan profesional sebaliknya berkait rapat dengan tekanan peribadi dan psikologi yang dialami oleh Martina sendiri.
Inkues tersebut ditangguhkan selepas keputusan diumumkan dengan pihak mahkamah merakamkan simpati kepada ahli keluarga dan komuniti yang terkesan oleh kejadian ini yang disifatkan sebagai satu kehilangan nyawa yang amat menyayat hati dan sukar diterima.
Catat Ulasan for "Wanita Bunuh Anak OKU Akibat Stres"