KES PEMBUNUHAN KEJAM SPENCER DAN MONIQUE TEPE

Pada pagi 30 Disember 2025 bertempat di kawasan Weinland Park, Columbus, Ohio, Amerika Syarikat, sepasang suami isteri iaitu Spencer Tepe (37 tahun) dan Monique Tepe (39 tahun) telah ditemui mati ditembak di dalam rumah mereka sendiri. Penemuan mayat pasangan ini dibuat hasil daripada permintaan pemeriksaan kebajikan selepas rakan sekerja Spencer mula berasa bimbang apabila dia tidak hadir ke tempat kerja dan gagal dihubungi melalui telefon. Keadaan ini dianggap luar biasa kerana Spencer dikenali sebagai seorang yang berdisiplin serta sentiasa menepati masa.
Pada pagi kejadian, panggilan pertama kepada pihak berkuasa dibuat oleh pemilik klinik tempat Spencer bekerja, Dr. Mark Valrose yang memaklumkan bahawa Spencer tidak muncul untuk bertugas di Athens Dental Depot sedangkan dia tidak pernah gagal hadir sebelum ini. Beberapa orang rakan sekerja kemudiannya pergi ke rumah pasangan tersebut di blok 1400, North 4th Street bagi memastikan keadaan sebenar. Setibanya di situ, mereka menyedari sesuatu yang mencurigakan apabila terdengar bunyi tangisan kanak-kanak dari dalam rumah namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Salah seorang rakan kemudian ternampak tubuh Spencer terbaring di dalam rumah berhampiran katil sebelum pihak polis dihubungi semula untuk tindakan lanjut.

Apabila pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mereka menemui Spencer dan Monique dengan kecederaan parah akibat tembakan. Jedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua orang anak pasangan tersebut yang masing-masing berusia sekitar satu dan empat tahun turut ditemui di dalam rumah dalam keadaan fizikal yang selamat namun dipercayai mengalami trauma akibat kejadian yang berlaku. Hasil siasatan awal mendapati tiada tanda pencerobohan secara paksa termasuk pintu atau tingkap yang dipecahkan dan tiada senjata api ditemui di dalam rumah.
Berdasarkan keadaan tersebut, pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai pembunuhan berganda dan menolak kemungkinan ia merupakan kes bunuh diri diikuti pembunuhan pasangan. Setakat ini, tiada suspek atau motif dikenal pasti. Siasatan masih dijalankan oleh Unit Pembunuhan Polis Columbus dengan bantuan penduduk setempat.

Menurut kenalan mangsa, pasangan Tepe dikenali sebagai individu yang mesra, penyayang dan sangat komited terhadap keluarga serta kerjaya masing-masing. Mereka menggambarkan Spencer sebagai seorang yang dermawan dan berdedikasi dalam kerjayanya sebagai doktor gigi, manakala Monique pula dikenali sebagai ibu yang penyabar serta penuh kasih sayang terhadap anak-anaknya. Kejadian ini menjadi lebih memilukan kerana pasangan tersebut hampir menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
Pihak polis kini menggesa orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan khususnya rakaman kamera litar tertutup, kamera pintu hadapan atau sebarang bukti visual yang dirakam di sekitar kawasan Weinland Park pada waktu kejadian. Sehingga kini, pencarian suspek masih diteruskan dan kes pembunuhan Spencer serta Monique Tepe kekal sebagai siasatan aktif. Pihak berkuasa berharap keadilan dapat ditegakkan demi pasangan itu serta memberikan kepastian serta pembelaan sewajarnya kepada keluarga dan anak-anak mereka yang masih terlalu kecil untuk memahami kehilangan besar yang menimpa.
Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM SPENCER DAN MONIQUE TEPE"