Kisah Antonio Riano: Penjenayah Paling Dikehendaki yang Menjadi Anggota Polis

Antonio Riano ialah seorang warga Mexico yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung satu kes pembunuhan yang berlaku di Hamilton, Ohio pada tahun 2004. Kes ini mendapat perhatian kerana Riano berjaya melarikan diri selama hampir dua dekad sebelum ditangkap di Mexico di mana beliau menjalani kehidupan sebagai seorang anggota polis tempatan.
Kejadian pembunuhan tersebut berlaku pada 19 Disember 2004 di luar sebuah pusat hiburan malam dikenali sebagai Round House Bar di Hamilton, Ohio. Pada malam itu, Antonio Riano terlibat dalam satu pertengkaran dengan seorang lelaki bernama Benjamin Becarra yang ketika itu berusia 25 tahun. Pertelingkahan tersebut berlaku di kawasan luar premis berkenaan dan disaksikan oleh beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

Menurut siasatan pihak polis, pertengkaran tersebut berakhir apabila Antonio Riano mengeluarkan sepucuk senjata api dan melepaskan satu das tembakan ke arah kepala Benjamin Becarra. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis kemudiannya menemui senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut serta beberapa bukti lain yang mengaitkan Riano dengan pembunuhan itu.
Antonio Riano dikenal pasti sebagai suspek utama dan sepatutnya hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan pembunuhan darjah pertama. Namun dia gagal hadir ke perbicaraan dan dipercayai telah melarikan diri keluar dari Amerika Syarikat tidak lama selepas kejadian tersebut. Kehilangannya menyebabkan satu waran tangkap dikeluarkan dan dia secara rasmi diklasifikasikan sebagai buruan.
Dalam usaha mengesan keberadaannya, pihak berkuasa Butler County memasukkan nama Antonio Riano ke dalam senarai orang paling dikehendaki. Kes ini turut dipaparkan dalam rancangan televisyen America’s Most Wanted pada tahun 2005 bagi mendapatkan bantuan orang awam. Walau bagaimanapun, tiada maklumat konkrit yang diperoleh dengan Riano kekal bebas selama bertahun-tahun.

Siasatan lanjut mendapati bahawa sepanjang tempoh pelariannya, Riano telah kembali ke Mexico dan menetap di Zapotitlan Palmas, sebuah kawasan di negeri Oaxaca. Di sana, dia hidup menggunakan identiti sebenar dan berjaya menyertai pasukan polis tempatan. Rekod menunjukkan Riano berkhidmat sebagai pegawai polis selama beberapa tahun tanpa disedari bahawa dirinya merupakan buruan yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Kes ini kembali dibuka selepas pihak penyiasat Amerika Syarikat menerima maklumat baharu dan menjalankan semakan lanjut melalui kerjasama dengan pihak berkuasa Mexico. Pengesahan identiti Riano dibuat melalui perbandingan maklumat peribadi dan bahan visual yang diperoleh daripada sumber awam. Hasil kerjasama dua negara tersebut membawa kepada penangkapan Riano di Mexico pada tahun 2024.
Selepas ditangkap, proses undang-undang dijalankan untuk membawa Riano kembali ke Amerika Syarikat. Dia kemudiannya dieksradisi ke Ohio untuk menghadapi pertuduhan berkaitan pembunuhan Benjamin Becarra. Mahkamah menolak permohonan jaminan memandangkan keseriusan pertuduhan dan sejarah pelariannya sebelum ini.

Selepas permohonan jaminan ditolak, Riano ditahan sementara menunggu perbicaraan di Ohio. Dalam perbicaraan yang berlangsung pada tahun 2025, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan saksi dan bukti forensik yang mengaitkan Riano dengan kematian Benjamin Becarra. Juri kemudiannya mendapatinya bersalah atas pertuduhan pembunuhan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 18 tahun hingga seumur hidup yang menetapkan Riano perlu menjalani sekurang-kurangnya 18 tahun sebelum layak dipertimbangkan untuk pembebasan bersyarat. Faktor pelariannya selama hampir dua dekad diambil kira sebagai unsur pemberat manakala tempoh tahanan sebelum perbicaraan diberikan kredit dalam pengiraan hukuman.
Catat Ulasan for "Kisah Antonio Riano: Penjenayah Paling Dikehendaki yang Menjadi Anggota Polis"