Kisah Fu Wengui: Remaja dengan Leher Terpanjang di China


     Kisah Fu Wengui mula mendapat perhatian dunia pada sekitar tahun 2014 apabila media China melaporkan tentang seorang remaja lelaki yang memiliki keadaan fizikal amat luar biasa. Fu Wengui yang berusia sekitar 15 tahun ketika itu berasal dari Beijing, China. Dia hidup dengan masalah tulang belakang yang jarang berlaku sehingga menyebabkan lehernya kelihatan sangat panjang berbanding manusia normal. 

     Menurut laporan perubatan, Fu Wengui dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada tulang belakang khususnya di bahagian servikal atau tulang leher. Manusia normal hanya mempunyai tujuh tulang servikal namun Fu dilaporkan mempunyai lebih banyak vertebra akibat pertumbuhan tulang yang tidak normal. Keadaan ini menyebabkan lehernya memanjang secara ketara dan tulang belakang atasnya melengkung. Akibatnya, Fu sering mengalami kesakitan berpanjangan, kebas pada anggota badan, kesukaran bergerak dan ketidakselesaan ketika tidur atau menundukkan kepala.


     Sejak kecil, Fu Wengui hidup dalam keadaan serba terbatas. Aktiviti harian yang dianggap biasa oleh remaja lain menjadi cabaran besar baginya. Berat kepala yang tidak seimbang dengan struktur leher memberi tekanan kepada saraf dan otot menjadikan pergerakan mudah seperti berjalan atau duduk dalam tempoh lama sebagai sesuatu yang menyakitkan. Keadaannya juga menjejaskan keyakinan diri kerana pandangan dan reaksi orang sekeliling terhadap rupa fizikalnya.

      Kisah Fu mula tular selepas beberapa media tempatan China melaporkan keadaannya sebelum ia menarik perhatian media antarabangsa. Ramai yang terkejut melihat gambarnya dan menyifatkan keadaannya sebagai antara kes tulang belakang paling jarang pernah dilaporkan. Gelaran seperti budak berleher panjang atau budak zirafah digunakan oleh netizen kepada Fu.


     Susulan perhatian awam yang meluas, sebuah hospital di Beijing tampil menawarkan rawatan pakar kepada Fu Wengui. Doktor mengesahkan bahawa satu-satunya pilihan untuk mengurangkan penderitaan Fu ialah melalui pembedahan tulang belakang yang kompleks dan berisiko tinggi. Pembedahan ini bertujuan membuang atau membetulkan pertumbuhan tulang yang tidak normal, mengurangkan tekanan pada saraf serta menstabilkan struktur leher dan tulang belakang atas. Namun pembedahan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Risiko lumpuh, komplikasi saraf dan kegagalan rawatan adalah antara kebimbangan utama yang dibincangkan oleh pasukan perubatan. Walau bagaimanapun, harapan untuk memberi Fu peluang menjalani kehidupan yang lebih baik mendorong keputusan untuk meneruskan rawatan tersebut. Pada peringkat ini, laporan media banyak menekankan harapan dan jangkaan doktor terhadap kemungkinan kejayaan pembedahan.

     Cuma selepas itu, kisah Fu Wengui mula hilang daripada liputan media. Tiada laporan susulan rasmi yang jelas dikeluarkan mengenai keadaan beliau selepas pembedahan dijalankan. Tiada kenyataan hospital yang terperinci, tiada temu bual selepas rawatan dan tiada perkembangan lanjut yang disahkan oleh sumber sahih. Kebanyakan artikel yang muncul sesudah itu hanyalah pengulangan cerita asal tanpa maklumat baharu.
Sehingga hari ini, nasib sebenar Fu Wengui selepas rawatan kekal tidak diketahui umum. Sama ada pembedahan tersebut berjaya sepenuhnya, berjaya sebahagian atau tidak mencapai hasil yang diharapkan, semuanya tidak pernah disahkan secara rasmi

Catat Ulasan for "Kisah Fu Wengui: Remaja dengan Leher Terpanjang di China"