Penderaan Kejam Akhirnya Terbongkar Selepas 25 Tahun

UNITED KINGDOM – Satu kes penderaan dan eksploitasi manusia di Britain akhirnya terbongkar selepas lebih 25 tahun apabila seorang wanita ditemui hidup dalam keadaan seperti banduan di sebuah rumah keluarga di Gloucestershire. Pada 21 Januari 2026, Mahkamah Gloucester Crown Court mensabitkan Amanda Wixon, 56 tahun atas beberapa pertuduhan serius termasuk penahanan palsu, kerja paksa dan serangan fizikal selepas didapati menahan seorang wanita sejak mangsa masih remaja.
Mangsa yang kini berusia lingkungan 40-an mula tinggal di rumah Wixon sekitar tahun 1995 ketika berusia kira-kira 16 tahun. Menurut keterangan di mahkamah, mangsa mempunyai kesukaran pembelajaran sekali gus menjadikannya mudah dimanipulasi dan dikawal. Sejak itu, wanita tersebut tidak pernah dibenarkan hidup bebas, tidak bersekolah, tidak bekerja dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dunia luar selama lebih dua dekad.
Mahkamah diberitahu bahawa sepanjang tempoh tersebut, mangsa dipaksa melakukan kerja rumah setiap hari tanpa upah termasuk membersihkan rumah dan menjaga anak-anak Wixon. Dia tinggal di sebuah bilik kecil yang disifatkan oleh pihak polis sebagai sempit, kotor dan terasing dengan keadaan menyerupai sel penjara. Tingkap sering ditutup dan mangsa tidak dibenarkan keluar rumah atau berinteraksi dengan sesiapa di luar keluarga itu.
Selain eksploitasi tenaga, mangsa turut mengalami penderaan fizikal yang berpanjangan. Pendakwaan mendedahkan bahawa mangsa sering dipukul dengan penyapu hingga menyebabkan beberapa batang giginya tercabut. Dalam beberapa kejadian, cecair pencuci pinggan serta peluntur disembur ke dalam mulut dan ke wajahnya sebagai hukuman. Rambut mangsa juga dicukur berulang kali tanpa kerelaannya yakni satu perbuatan yang dianggap sebagai penghinaan dan penderaan emosi yang serius.

Kes ini hanya terbongkar pada Mac 2021 apabila salah seorang anak dewasa Amanda Wixon tampil membuat laporan kepada polis selepas menyedari kejanggalan yang berlaku sejak bertahun-tahun. Laporan itu membawa kepada lawatan polis ke rumah keluarga tersebut di Tewkesbury di mana mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan fizikal dan emosi yang sangat membimbangkan. Siasatan lanjut mendapati mangsa seolah-olah hilang daripada sistem sejak pertengahan 1990-an di mana tiada rekod sekolah, rawatan perubatan, pekerjaan atau kebajikan sepanjang tempoh tersebut.
Amanda Wixon bagaimanapun menafikan semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya. Pihak pembelaan berhujah bahawa keadaan rumah yang kotor dan sempit adalah akibat kehidupan keluarga yang serba kekurangan dan bukan kerana mangsa dijadikan hamba. Namun, juri mendapati keterangan mangsa, bukti fizikal serta testimoni saksi termasuk ahli keluarga sendiri sebagai kukuh dan konsisten lalu mensabitkan Wixon atas kebanyakan pertuduhan yang dibacakan.
Hakim dalam penghakimannya menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai eksploitasi kejam dan tidak berperikemanusiaan yang telah merampas kebebasan mangsa sepanjang sebahagian besar hidupnya. Mahkamah menegaskan bahawa mangsa bukan sahaja kehilangan masa muda malah dinafikan hak asas sebagai seorang manusia.
Selepas sabitan, Amanda Wixon diberikan jaminan bersyarat sementara menunggu hukuman yang dijadualkan pada 12 Mac 2026. Mangsa pula kini berada di bawah jagaan serta sokongan pihak kebajikan selain sedang menjalani proses pemulihan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan bebas selepas lebih 25 tahun hidup dalam ketakutan dan pengasingan.
Catat Ulasan for "Penderaan Kejam Akhirnya Terbongkar Selepas 25 Tahun"