Selepas 32 Tahun Terpisah, Lelaki ini Akhirnya Bertemu Semula Ibu Kandung
INDONESIA — Setelah lebih tiga dekad terpisah daripada keluarga, Mohamad Zainuddin, seorang lelaki berusia 39 tahun akhirnya berjaya kembali bertemu ibu kandungnya dalam satu pertemuan penuh emosi yang menyentuh hati ramai. Kejadian itu berlaku di Dusun Jakatawa, Desa Bulaksari, Kecamatan Banjarsari, Kabupaten Cilacap iaitu kampung halaman Zainuddin sebelum perpisahan panjang yang dialaminya.
Perpisahan antara Zainuddin dan keluarganya bermula sekitar tahun 1993 yakni ketika dia masih berusia tujuh tahun. Menurut pengakuannya dalam beberapa wawancara media, Zainuddin sering dimarahi kerana kelakuannya yang dianggap nakal. Keadaan tersebut mendorongnya mengambil keputusan untuk lari dari rumah tanpa membawa sebarang barang. Pada waktu maghrib, Zainuddin berjalan ke arah landasan kereta api berhampiran rumahnya dan menaiki sebuah kereta api yang berhenti di situ tanpa mengetahui arah tuju sebenar perjalanannya.
Apabila tiba di sebuah stesen yang tidak dikenalinya, Zainuddin berasa bingung dan berhasrat untuk pulang. Namun keadaan yang gelap serta ketiadaan arah menyebabkannya kembali menaiki kereta api tersebut sehingga akhirnya tiba di Stesen Jakarta Kota pada keesokan pagi. Berada jauh daripada keluarga dan dalam suasana yang asing, dia terpaksa meneruskan kehidupan di jalanan sebelum akhirnya mendapat perlindungan di sebuah yayasan di Jakarta. Di situ, Zainuddin diberi tempat tinggal serta peluang untuk bersekolah selama beberapa tahun sebelum meninggalkan yayasan tersebut dan menjalani kehidupan secara berdikari.
Sepanjang tempoh lebih 32 tahun terpisah, Zainuddin tidak pernah melupakan keluarganya terutama ibu kandungnya. Sekitar tahun 2018 atau 2019, dia pernah melukis peta kasar kawasan rumah zaman kanak-kanaknya sebagai usaha mencari jalan pulang. Cubaan tersebut bagaimanapun tidak membuahkan hasil menerusi carian peta digital. Walau bagaimanapun, keinginan untuk bertemu semula dengan ibunya terus mendorong Zainuddin mengingati dan mencatat kronologi hidupnya secara terperinci.

Usaha tersebut mencapai kemuncaknya pada 19 Disember 2025 apabila Zainuddin menulis dan memuat naik kisah hidupnya ke media sosial sebagai usaha terakhir untuk mencari ibu kandungnya. Penulisan yang dibuat dengan penuh emosi itu merangkumi detik-detik terakhir perpisahan mereka puluhan tahun lalu dan mendapat perhatian luar biasa daripada netizen. Hasil bantuan serta kerjasama pengguna media sosial, maklumat yang dikumpulkan berjaya disusun berdasarkan petunjuk yang diberikan Zainuddin.
Beberapa hari kemudian, lokasi yang dikenal pasti didapati sepadan dengan peta yang pernah dia lukis sekali gus membawa kepada pengesanan kediaman ibu kandungnya di Desa Bulaksari. Pada malam 24 Disember 2025, Zainuddin pulang ke kampung halaman bersama isteri dan anaknya. Ketibaannya di rumah ibu kandungnya pada 25 Disember 2025 mencetuskan suasana penuh emosi. Rakaman video yang kemudiannya tular memperlihatkan Zainuddin sujud di halaman rumah sambil menangis sebelum memeluk ibunya dengan erat selepas lebih tiga dekad terpisah.
Dalam kenyataannya kepada media, Zainuddin menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan terima kasih kepada para netizen yang membantu menjayakan pencarian tersebut. Dia turut melahirkan kesyukuran kepada Allah atas pertemuan yang dianggap sebagai anugerah terbesar dalam hidupnya.

Catat Ulasan for "Selepas 32 Tahun Terpisah, Lelaki ini Akhirnya Bertemu Semula Ibu Kandung "