456 BEG MAYAT DITEMUI BERDEKATAN STADIUM PIALA DUNIA 2026


     MEXICO — Menjelang penganjuran Piala Dunia FIFA 2026, perhatian tertumpu ke Mexico susulan penemuan ratusan beg yang mengandungi sisa manusia di kawasan sekitar Estadio Akron, sebuah stadium yang telah disahkan sebagai salah satu gelanggang rasmi kejohanan tersebut. 

     Menurut laporan kumpulan pencari sukarela di negeri Jalisco, terdapat sekurang-kurangnya 456 beg yang mengandungi sisa manusia telah ditemui secara berperingkat sejak tahun 2022 hingga penghujung 2025. Beg-beg tersebut dijumpai di beberapa tapak kubur rahsia dalam lingkungan kira-kira 10 hingga 20 kilometer dari Estadio Akron terutama di kawasan metropolitan Guadalajara.

     Antara lokasi utama penemuan termasuk Las Agujas, Arroyo Hondo, Nextipac dan Lomas del Refugio yang selama ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berikutan aktiviti jenayah terancang. Penemuan ini tidak berlaku dalam satu operasi tunggal tetapi sebaliknya hasil kerja berterusan yang dijalankan oleh keluarga mangsa bersama kumpulan pencari bebas.

     Kumpulan seperti Guerreros Buscadores de Jalisco memainkan peranan penting dalam usaha mencari individu yang dilaporkan hilang. Mereka terdiri daripada ahli keluarga mangsa serta sukarelawan yang bertindak selepas mendakwa respons pihak berkuasa sering perlahan dan tidak menyeluruh. Dalam beberapa kenyataan kepada media tempatan, kumpulan ini memaklumkan bahawa sebahagian penemuan terbaru berlaku ketika kerja pembinaan dijalankan di kawasan tanah terbiar dan pinggir bandar berhampiran stadium.

     Laporan forensik awal mendapati beg-beg tersebut mengandungi pelbagai bentuk sisa manusia termasuk mayat lengkap, anggota badan yang terpisah serta rangka yakni dipercayai berasal daripada tempoh masa yang berbeza. Keadaan ini menguatkan dakwaan bahawa kawasan tersebut telah lama digunakan sebagai lokasi pelupusan mangsa keganasan yang berkemungkinan berkait dengan aktiviti jenayah terancang.

     Negeri Jalisco merupakan antara wilayah yang mencatatkan jumlah orang hilang tertinggi di Mexico dengan ratusan kubur rahsia dilaporkan ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Organisasi hak asasi manusia dan keluarga mangsa mendakwa krisis ini bersifat sistemik selain mengkritik kekurangan ketelusan serta kecekapan pihak berkuasa dalam menangani isu kehilangan secara menyeluruh.

     Menerusi maklum balas rasmi, kerajaan Mexico menegaskan bahawa lokasi penemuan beg-beg tersebut berada di luar kawasan operasi stadium dan tidak menjejaskan persiapan serta tahap keselamatan Piala Dunia 2026. Pihak berkuasa turut memberi jaminan bahawa langkah keselamatan tambahan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pemain, pegawai serta penyokong. Walau bagaimanapun, kumpulan pencari dan aktivis menegaskan bahawa isu ini tidak wajar diperkecilkan demi menjaga imej penganjuran acara sukan bertaraf dunia.

Catat Ulasan for "456 BEG MAYAT DITEMUI BERDEKATAN STADIUM PIALA DUNIA 2026"