Kenali Ghislaine Maxwell: Orang Kuat Jeffrey Epstein

Ghislaine Maxwell ialah seorang sosialit British dan ahli perniagaan yang terkenal kerana hubungannya dengan jutawan Jeffrey Epstein yang terlibat dalam skandal jenayah seksual dan penyalahgunaan kanak-kanak yang meluas. Dia yang dilahirkan pada 25 Disember 1961 di Maisons‑Laffitte, Perancis merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik kepada Robert Maxwell, ahli politik terkenal United Kingdom dan Elisabeth Maxwell, seorang penyelidik sejarah Holocaust. Keluarga Maxwell sangat kaya dan berpengaruh. Mereka tinggal di rumah agam besar di Oxford dan bergaul rapat dengan golongan elit politik serta selebriti.
Pendidikan Maxwell juga cemerlang. Dia bermula di sekolah-sekolah persendirian di United Kingdom dan akhirnya memperoleh ijazah dalam sejarah moden serta bahasa dari Balliol College, Universiti Oxford. Sejak awal, Maxwell terbiasa dengan kehidupan mewah dan rangkaian sosial elit yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam kehidupannya pada masa dewasa. Pada awal 1990-an, Maxwell berpindah ke New York setelah bapanya membeli New York Daily News sekali gus membuka peluang untuk berkenalan dengan jutawan kewangan Amerika, Jeffrey Epstein. Hubungan mereka bermula sebagai hubungan romantik tetapi tetap rapat walaupun hubungan peribadi itu berakhir. Selepas kematian misteri bapanyaa pada 1991 dan pendedahan penyelewengan jutaan dolar daripada dana pencen pekerja, reputasi keluarga Maxwell merosot. Walau bagaimanapun, Maxwell terus mengekalkan pengaruh sosialnya di New York.

Ghislaine Maxwell menjadi terkenal bukan sahaja atas faktor gaya hidup mewah dan hubungan sosialnya tetapi kerana peranannya dalam skandal jenayah seksual Jeffrey Epstein. Menurut keterangan mangsa dan bukti pendakwaan, Maxwell terlibat secara aktif dalam merekrut serta memujuk gadis bawah umur untuk dibawa kepada Epstein selain memainkan peranan sebagai pengatur logistik dan sosial bagi jaringan jenayah tersebut. Maxwell digambarkan sebagai pengurus dan penggoda utama dalam operasi jenayah Epstein.
Jeffrey Epstein ditangkap pada Julai 2019 atas pertuduhan pemerdagangan seksual sebelum meninggal dunia secara kontroversi dalam sel penjara Manhattan pada Ogos 2019. Pada Julai 2020, Maxwell ditangkap oleh FBI di New Hampshire kerana didakwa membantu Epstein dalam jenayah seksual dan pemerdagangan kanak-kanak. Perbicaraan Maxwell berlangsung di Manhattan, New York. Pada Disember 2021, wanita itu disabitkan bersalah atas lima pertuduhan jenayah persekutuan termasuk trafik seksual kanak-kanak dan konspirasi untuk mengatur eksploitasi seksual remaja. Pada Jun 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Maxwell sekali gus menjadikannya salah seorang individu utama yang menghadapi akibat undang-undang daripada rangkaian Epstein.

Walaupun sabitan telah dijatuhkan, Maxwell beberapa kali mengemukakan rayuan dan petisyen kepada mahkamah tinggi AS termasuk Mahkamah Agung Amerika Syarikat dengan mendakwa terdapat bukti baru yang boleh membatalkan sabitan atau menunjukkan ketidakadilan semasa perbicaraan. Sehingga kini, rayuan dia ditolak di mana hukuman penjara tetap dijalankan. Di penjara, Maxwell dilaporkan mendapat layanan tertentu dan terlibat dalam urusan perundangan bersama banduan lain tetapi tiada maklumat rasmi mengenai sebarang perjanjian pengampunan.
Perkembangan terbaru dalam kes ini melibatkan pendedahan fail Jeffrey Epstein oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang merangkumi lebih daripada 3 juta halaman dokumen, 180 000 imej dan 2000 video. Dokumen ini dibuka kepada umum di bawah Epstein Files Transparency Act bertujuan untuk meningkatkan ketelusan mengenai siasatan terhadap Epstein, Maxwell dan rangkaian jenayah mereka. Fail ini mengandungi rekod siasatan, e-mel, dokumen kewangan, catatan temu ramah mangsa serta bahan multimedia yang menunjukkan operasi Epstein yang meluas dan kemungkinan pemerdagangan remaja kepada pihak ketiga lain. Pendedahan ini juga mendedahkan maklumat sensitif yang kemudiannya ditarik balik untuk diproses semula bagi menjaga privasi mangsa.

Antara dokumen menarik ialah e-mel daripada Maxwell sendiri yang mengesahkan beberapa foto terkenal termasuk yang memaparkan Prince Andrew bersama salah seorang mangsa Epstein, Virginia Giuffre adalah sahih. Selain itu, e-mel antara Maxwell dan tokoh seperti Casey Wasserman, ketua jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028 turut menjadi tumpuan walaupun pihak Wasserman menegaskan hubungan mereka tidak berkaitan dengan Epstein.
Catat Ulasan for "Kenali Ghislaine Maxwell: Orang Kuat Jeffrey Epstein "