Kenali Suraj Chavan, Pempengaruh yang Digelar Sebagai Justin Bieber of India

     Suraj Chavan merupakan seorang pempengaruh dan pencipta kandungan digital dari India yang berjaya meraih perhatian ramai sehingga muncul sebagai bintang realiti televisyen terkenal. Dia berasal dari sebuah kampung kecil di Modhave, Baramati, Maharashtra dan membesar dalam keadaan hidup yang penuh cabaran. Sejak usia muda, Suraj diuji dengan kehilangan bapanya akibat penyakit kanser. Lebih memilukan, ibunya dan neneknya turut meninggal dunia pada hari yang sama. Perkara ini menyebabkan Suraj terpaksa memikul tanggungjawab besar membesarkan lima orang adik-beradiknya. Walaupun hanya berpendidikan sehingga darjah lapan, pengalaman pahit tersebut membentuk ketabahan dan kekuatan jiwanya untuk terus berusaha mencari rezeki demi keluarga.

     Bagi menyara kehidupan, Suraj pernah bekerja sebagai buruh ladang. Pada masa yang sama, dia mula menghasilkan video-video pendek berunsur komedi di platform media sosial seperti TikTok dan kemudiannya Instagram. Gaya penyampaian yang santai serta humor yang mudah difahami menjadikan kandungannya cepat mendapat perhatian terutama dalam kalangan penonton berbahasa Marathi. 

     Kerjaya Suraj mencapai kemuncak apabila dia terpilih sebagai peserta Bigg Boss Marathi Musim 5, sebuah rancangan realiti popular yang disiarkan di saluran Colors Marathi dan dihoskan oleh Riteish Deshmukh. Sepanjang berada di dalam rumah Bigg Boss, Suraj berdepan dengan pelbagai cabaran fizikal serta emosi selain perlu mengharungi dinamika sosial bersama peserta lain seperti Abhijeet Sawant dan Nikki Tamboli. Keperibadiannya yang jujur dan sederhana berjaya menambat hati penonton sehingga dia akhirnya dinobatkan sebagai juara musim tersebut. Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang trofi, wang tunai melebihi ₹14.6 lakh (sekitar RM67 000) baucar barang kemas bernilai ₹10 lakh (sekitar RM44 000) serta sebuah kenderaan sebagai hadiah.

     Selepas kemenangan tersebut, populariti Suraj Chavan terus melonjak. Dia bukan sahaja semakin dikenali sebagai personaliti televisyen malah turut melebarkan pengaruhnya ke dunia lakonan dengan kemunculan dalam beberapa filem Marathi. Antaranya Musandi (2023) dan Raja Rani (2024). 


     Pada tahun 2026, Suraj sekali lagi menarik perhatian apabila penampilannya menjadi bahan bualan pengguna media sosial. Ramai netizen membandingkan rupa dan gaya rambutnya dengan penyanyi antarabangsa Justin Bieber sehingga dia digelar sebagai Justin Bieber of India. Malah terdapat juga pengguna media sosial yang menobatkannya sebagai lelaki paling tampan di India. Perbandingan ini yang banyak tercetus melalui perkongsian di Instagram dan platform lain secara tidak langsung meningkatkan lagi populariti Suraj dan menjadikannya antara personaliti digital yang paling diperkatakan di India ketika ini.



Catat Ulasan for "Kenali Suraj Chavan, Pempengaruh yang Digelar Sebagai Justin Bieber of India"