KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HAYONG

Gambar sekadar hiasan - Janaan AI

     Pada bulan Mac 2024, satu kes pembunuhan telah berlaku di Gangseo, Seoul, Korea Selatan. Apa yang bermula sebagai sebuah kisah cinta yang kelihatan sempurna di media sosial, berakhir denga kejadian ngeri hanya dalam tempoh tiga bulan selepas pasangan itu mendirikan rumah tangga. Mangsa iaitu seorang wanita muda bernama Hayong ditemui mati di kediamannya dalam keadaan yang pada mulanya disangka sebagai kematian mengejut.

     Hayong dan suaminya yang dikenali sebagai SJ (atau Seo dalam laporan media) berkahwin pada Disember 2023 selepas tempoh perkenalan yang singkat. Di mata rakan-rakan, SJ kelihatan seperti seorang suami yang penyayang dan prihatin. Namun di sebalik pintu tertutup, keadaan adalah sebaliknya. Tidak lama selepas berkahwin, Hayong mengalami masalah kesihatan yang serius termasuk keguguran dan kehamilan ektopik (luar rahim). Pembedahan yang dijalani untuk membuang tiub fallopian menyebabkannya berada dalam keadaan fizikal yang sangat lemah dan mengalami gangguan emosi.

     Siasatan kemudian mendedahkan bahawa SJ mempunyai obsesi seksual yang melampau. Walaupun mengetahui isterinya sedang sakit, SJ dilaporkan terus-menerus mmemaksa mangsa untuk melakukan hubungan intim semasa dalam tempoh pemulihan pasca-pembedahan dan haid berat. Rekod mesej menunjukkan Hayong sering merayu agar diberikan ruang untuk berehat. Walau bagaimanapun, rayuan tersebut sering dibalas dengan kemarahan oleh SJ.

Gambar sekadar hiasan - Janaan AI

      Pada malam 13 Mac 2024, ketegangan memuncak apabila Hayong sekali lagi menolak permintaan seksual suaminya kerana keletihan melampau. Berang dengan penolakan tersebut, SJ bertindak luar kawalan. Dia mengambil kesempatan ke atas keadaan Hayong yang ketika itu juga berada di bawah pengaruh ubat tidur yang dibekalkan hospital. SJ telah bertindak mencekik isterinya itu sehingga mati. Bagi menutup jenayahnya, SJ merangka alibi yang licin. Dia memadam rakaman CCTV di dalam rumah mereka lalu menukar kata laluan telefon bimbit mangsa untuk menghalang akses kepada mesej-mesej terakhir mereka. Pada pagi keesokannya, dia pergi bekerja seperti biasa dan hanya menemui mayat isterinya apabila pulang pada waktu petang. Dia kononnya terkejut melihat isterinya sudah tidak bernyawa.

     Pihak polis pada mulanya meragui dakwaan SJ. Hasil bedah siasat menemui kesan jerutan halus yang konsisten dengan serangan fizikal, bukannya kematian semula jadi. Selain itu, ubat tidur dikesan dalam dos yang mencurigakan dalam badan mangsa. Bukti paling kukuh datang daripada jiran yang tinggal di tingkat bawah. Jiran tersebut memberikan keterangan bahawa pada malam kejadian, dia mendengar bunyi pergelutan dan suara seseorang yang seolah-olah sedang bergelut untuk bernafas selama kira-kira 30 saat.


Gambar sekadar hiasan - Janaan AI

     SJ ditangkap di hadapan tetamu dan ahli keluarga semasa upacara pengebumian isterinya sedang berlangsung. Bukti digital dan forensik menunjukkan bahawa dia adalah suspek utama yang merancang untuk melarikan diri selepas pengebumian selesai.

     Di mahkamah, pendedahan mengenai diari digital Hayong menyayat hati ramai orang. Mangsa ada menulis bahawa dia merasa seperti alat pemuas nafsu dan meluahkan keinginan untuk bercerai kerana ketakutan terhadap perangai suaminya. Walaupun peguam bela cuba berhujah bahawa SJ bertindak dalam keadaan hilang pertimbangan seketika, hakim menolak hujah tersebut berdasarkan bukti pembersihan bahan bukti yang dilakukan oleh tertuduh. Pada September 2025, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap SJ. 


Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HAYONG "