KES PEMBUNUHAN KEJAM NANDA ISNAINI PUTRI

     Pada awal Februari 2026, satu kejadian pembunuhan melibatkan seorang wanita muda bernama Ananda Isnaini Putri, berusia sekitar 20 tahun telah berlaku di Kabupaten Asahan, Sumatera Utara. Kes ini pada mulanya dilaporkan sebagai kematian akibat kemalangan namun siasatan lanjut mendedahkan hakikat sebenar yang jauh lebih memilukan di mana ia merupakan kes keganasan rumah tangga yang berakhir dengan kematian.

     Pada malam 1 Februari 2026, Ananda yang lebih dikenali sebagai Nanda dalam kalangan keluarga dan jiran telah pulang ke rumahnya di Perumahan Arya Graha 5, Kelurahan Sidodadi, Kecamatan Kisaran Barat selepas mengunjungi keluarganya di Tanjungbalai. Dia dijemput oleh suaminya, seorang lelaki berinisial MA yang berusia 29 tahun untuk kembali ke rumah mereka bersama.

     Setibanya di rumah sekitar jam 6.30 petang, pasangan suami isteri tersebut terlibat dalam satu pertengkaran hebat. Menurut hasil siasatan polis, konflik tercetus apabila MA berang kerana Ananda pulang ke rumah orang tuanya tanpa keizinannya. Ketegangan emosi yang memuncak menyebabkan pertengkaran itu bertukar menjadi keganasan fizikal. Dalam keadaan marah, MA dilaporkan memukul perut Ananda berkali-kali serta menendang bahagian dadanya sehingga mangsa menjadi lemah.

     Kekerasan tersebut tidak terhenti di situ. Pertengkaran berlanjutan ke bilik mandi. Di situ, MA dipercayai membenamkan kepala dan tubuh Ananda ke dalam tab mandi berisi air. Tindakan itu menyebabkan mangsa tercungap-cungap dan mengalami kesukaran bernafas. Siasatan turut mendapati Ananda cuba bangun dan menyelamatkan diri namun keadaannya yang sudah terlalu lemah akibat serangan sebelumnya menghalangnya daripada berbuat demikian.

     Selepas kejadian itu, Ananda dilaporkan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan panik, MA cuba memberikan pertolongan termasuk bantuan pernafasan tetapi gagal. Dia kemudian membawa isterinya ke hospital menggunakan motosikal. Setibanya di hospital, Ananda disahkan telah meninggal dunia. Pada peringkat awal, MA memaklumkan kepada pihak berkuasa dan keluarga bahawa kematian isterinya berpunca daripada kemalangan jalan raya kononnya akibat terjatuh dari motosikal. Penjelasan tersebut bagaimanapun menimbulkan keraguan dalam kalangan pihak polis. Kecederaan yang dialami mangsa didapati terlalu parah dan tidak selari dengan dakwaan kemalangan seperti kesan lebam serta kecederaan serius pada tubuh badan yang menunjukkan tanda-tanda penderaan.

      Susulan itu, pihak polis dari Polres Asahan menahan MA di rumah duka untuk siasatan lanjut. Sepanjang proses penyiasatan, banyak percanggahan ditemui dalam keterangan awal yang diberikan oleh suspek. Menerusi persetujuan pihak keluarga, jenazah Ananda kemudian dibawa ke hospital rujukan untuk menjalani proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. Hasil pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa Ananda tidak meninggal dunia akibat kemalangan. Laporan autopsi menunjukkan terdapat patah tulang rusuk, kecederaan pada organ hati,serta kesan hentakan objek tumpul yang jelas membuktikan mangsa mengalami keganasan fizikal teruk sebelum meninggal dunia.


     Berdasarkan bukti kukuh dan hasil siasatan, MA akhirnya mengakui perbuatannya serta mengaku melakukan keganasan terhadap isterinya. Pihak berkuasa kemudiannya menetapkan MA sebagai suspek utama dalam kes penganiayaan yang mengakibatkan kematian dan memfailkan pertuduhan terhadapnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di Indonesia yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan sedemikian.

     Keluarga Ananda termasuk bapanya Zainal meluahkan rasa hancur dan amat terpukul dengan kejadian yang menimpa anak perempuan mereka itu. Mereka memaklumkan bahawa sebelum kejadian, rumah tangga pasangan tersebut sememangnya sudah menunjukkan tanda-tanda ketegangan dan Ananda pernah menyuarakan rasa tidak bahagia terhadap perkahwinannya. Walau bagaimanapun, mereka sama sekali tidak menyangka bahawa pertengkaran itu akan berakhir dengan kehilangan nyawa.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM NANDA ISNAINI PUTRI"