Kisah Sajitha: Hilang 11 Tahun, Rupanya Tinggal Bersembunyi di Rumah Kekasih

     Pada suatu malam bulan Februari 2010, seorang gadis berusia sekitar 18 tahun bernama Sajitha keluar dari rumah keluarganya di Kampung Ayalur, sebuah kawasan perkampungan di daerah Palakkad, Kerala, India. Ahli keluarganya menyangka Sajitha keluar untuk bertemu saudara-mara namun dia tidak pernah pulang selepas itu. Kebimbangan mula timbul apabila kehilangan Sajitha berlarutan lalu keluarganya membuat laporan polis. Pihak berkuasa menjalankan pencarian namun siasatan tersebut tidak menemui sebarang petunjuk yang dapat membawa kepada penemuannya. Akhirnya, keluarga Sajitha putus asa dan lama-kelamaan mempercayai bahawa dia mungkin telah meninggal dunia atau meninggalkan rumah untuk menetap di tempat lain.

    BWalau bagaimanapun, hakikat sebenar di sebalik kehilangan Sajitha ternyata jauh lebih luar biasa dan sukar dipercayai. Sepanjang tempoh lebih sedekad itu, Sajitha sebenarnya tidak berada jauh dari rumah keluarganya. Dia sebaliknya tinggal secara tersembunyi di dalam sebuah bilik kecil di rumah kekasihnya iaitu Alinchuvattil Rahman yang terletak kira-kira 500 meter sahaja dari rumah keluarganya sendiri. Rahman yang ketika itu berusia dalam lingkungan 20-an, menyembunyikan hubungan mereka bukan sahaja daripada penduduk setempat  malah daripada ahli keluarganya sendiri. Akibatnya, tiada seorang pun yang menyedari bahawa Sajitha menetap di rumah tersebut untuk tempoh yang begitu lama.

     Rahman mengunci bilik berkenaan dan hampir tidak pernah membenarkan sesiapa masuk ke dalamnya. Bilik itu dibina dan diurus sedemikian rupa supaya boleh dikunci rapat dari dalam sekali gus membolehkan Sajitha tinggal di situ dalam keadaan tersembunyi selama hampir sepuluh hingga sebelas tahun. Sepanjang tempoh tersebut, Sajitha hanya keluar melalui tingkap pada waktu malam untuk menggunakan tandas atau memenuhi keperluan asas lain kerana bilik itu tidak dilengkapi kemudahan tandas. Aktiviti harian seperti makan, mandi serta berehat dilakukan secara senyap dan rahsia tanpa disedari oleh ibu bapa Rahman mahupun jiran-jiran sekeliling. Rahman pula akan membawa makanan ke dalam bilik setiap hari manakala Sajitha menonton televisyen dengan menggunakan fon telinga bagi mengelakkan sebarang bunyi yang boleh menimbulkan kecurigaan.

     Dalam tempoh itu juga, kebanyakan ahli keluarga Rahman percaya bahawa dia tinggal bersendirian dan ada kalanya menganggapnya mengalami masalah psikologi atau kemurungan. Rahman sengaja berlagak seolah-olah dia mengalami tekanan emosi atau masalah mental bagi mengelakkan keluarganya mencampuri urusan peribadinya atau melakukan pemeriksaan lanjut terhadap bilik tersebut. Jiran-jiran pula menganggap tingkah lakunya agak pelik dan sukar difahami. Cuma tiada siapa menyangka bahawa bilik yang sering berkunci itu sebenarnya menyembunyikan seorang wanita yang telah dilaporkan hilang oleh keluarganya sendiri sejak bertahun-tahun lamanya.

     Rahsia ini mula terbongkar pada tahun 2021 apabila Rahman sendiri dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah selama hampir tiga bulan. Dalam satu kejadian kebetulan, abang Rahman, Basheer terserempak dengannya di sebuah sekatan jalan raya polis yang dijalankan sempena penguatkuasaan sekatan COVID-19. Penemuan itu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ketika disoal siasat, Rahman mengaku bahawa dia sebenarnya telah tinggal bersama Sajitha di sebuah rumah sewa di kawasan Vithunassery sejak beberapa bulan sebelumnya. Polis kemudian membawa kedua-dua mereka ke balai polis. Semasa ditemu bual secara berasingan, Rahman dan Sajitha memberikan keterangan yang sepadan mengenai kehidupan rahsia mereka selama lebih sepuluh tahun. Mereka mendakwa tindakan tersebut dilakukan kerana takut hubungan percintaan mereka tidak direstui oleh keluarga masing-masing akibat perbezaan latar belakang agama. Walaupun tidak pernah dilihat oleh ahli keluarga Rahman, Sajitha dapat menceritakan secara terperinci keadaan di sekitar rumah itu termasuk kehadiran tetamu berdasarkan apa yang didengarnya sepanjang dia bersembunyi di dalam bilik tersebut.

     Susulan itu, polis membawa mereka kembali ke rumah Rahman di Ayilur untuk memeriksa bilik yang dimaksudkan. Pemeriksaan tersebut mengejutkan pegawai polis dan pihak berkuasa tempatan apabila mendapati bilik berkenaan benar-benar wujud seperti yang digambarkan yakni sebuah ruang kecil yang sentiasa berkunci dan hanya dibuka oleh Rahman apabila perlu. 


     Akhirnya selepas kisah ini terbongkar dan menjadi perhatian media tempatan, Rahman dan Sajitha dibawa ke mahkamah tempatan di Nenmara. Di hadapan hakim, Sajitha menyatakan bahawa dia memilih untuk tinggal bersama Rahman atas kehendaknya sendiri dan ingin meneruskan kehidupan bersamanya. Mahkamah kemudiannya membenarkan pasangan tersebut hidup bersama. Mereka berusaha membina kehidupan yang lebih normal selepas rahsia yang disimpan selama lebih sedekad itu terbongkar.

Catat Ulasan for "Kisah Sajitha: Hilang 11 Tahun, Rupanya Tinggal Bersembunyi di Rumah Kekasih"