Kisah Kematian Aneh Rina Yasutake

     Kes pelik ini berlaku di Helmsley, North Yorkshire, England. Kejadian ini berpusat kepada Rina Yasutake iaitu seorang wanita genius yang pernah menuntut di Universiti Cambridge. Rina bukan sahaja mahir dalam pelbagai bahasa purba seperti Greek dan Latin malah dia juga seorang pelukis berbakat yang karyanya sering menjadi rebutan. Namun di sebalik kebijaksanaan itu, Rina mula menunjukkan tanda-tanda ganggual mental yang serius hingga menyebabkan dia mengurungkan diri sepenuhnya di dalam bilik selama bertahun-tahun sehingga jiran tetangga tidak menyedari kewujudannya.

     Keadaan menjadi semakin ekstrem apabila Rina mula mengawal ketat kehidupan ahli keluarganya yang lain iaitu ibunya yang sudah berusia serta dua adik-beradiknya, Yoshika dan Takahiro. Atas arahan Rina, rumah tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan sunyi dan bersih secara obsesif agar dia dapat menumpukan perhatian kepada apa yang dipanggilnya sebagai Masterwork atau karya agung. Keluarganya sangat mempercayai bakat Rina sehingga mereka sanggup mengikut segala permintaannya termasuklah membuang semua peralatan teknologi seperti televisyen dan telefon. Selain itu, mereka juga belajar dialek bahasa Jepun rekaan Rina sendiri bagi memencilkan diri daripada dunia luar.

     Menjelang April 2018, Rina dilaporkan berhenti mengambil sebarang makanan. Dia mendakwa bahawa jiwanya yang suci tidak lagi memerlukan nutrisi fizikal untuk bertahan hidup. Walaupun tubuhnya yang kecil semakin menyusut sehingga beratnya tidak sampai 40 kilogram, ahli keluarga Rina tidak membawanya mendapatkan rawatan perubatan. Mereka sebaliknya terus memberikan sokongan moral melalui pintu bilik yang tertutup. Takahiro dan Yoshika sering berbual dengan Rina melalui pintu walaupun pada hakikatnya Rina semakin lemah dan akhirnya meninggal dunia akibat kebuluran pada sekitar 18 Ogos 2018.

     Apa yang menjadikan kes ini sangat ngeri adalah tindakan keluarga tersebut selepas kematian Rina. Disebabkan ketaksuban dan keadaan mental yang tidak stabil, mereka enggan mempercayai bahawa Rina telah tiada. Takahiro menyangka Rina hanya berada dalam keadaan separa sedar untuk menyiapkan karya agungnya. Selama enam minggu berikutnya, mereka membeli berbotol-botol alkohol perubatan untuk disapukan pada tubuh Rina setiap hari. Tanpa mereka sedari, proses ini sebenarnya telah mengawet mayat Rina, mengekalkan bentuk fizikalnya dalam keadaan kering dan pucat seperti rangka sementara bau reputan mula menyelubungi kediaman tersebut.

     Rahsia ini akhirnya terbongkar apabila seorang ahli farmasi di bandar itu berasa curiga dengan kekerapan Yoshika dan Takahiro membeli alkohol perubatan dalam kuantiti yang luar biasa. Selain itu, bau busuk yang melekat pada pakaian mereka sangat menyengat sehingga laporan polis dibuat. Apabila pihak berkuasa menyerbu rumah tersebut pada 25 September 2018, mereka menemui mayat Rina di atas katil sementara ahli keluarganya masih berkelakuan seolah-olah dia masih hidup. Walaupun asalnya didakwa di mahkamah, pertuduhan terhadap mereka akhirnya digugurkan kerana pakar psikiatri mengesahkan mereka mengalami gangguan mental kongsi (shared delusional disorder) yang menyebabkan mereka benar-benar percaya Rina masih bernyawa.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Aneh Rina Yasutake"