Kisah Kematian Darren Rainey yang Benar-Benar Menyedihkan

 
     Kes kematian Darren Rainey ini berlaku di Institusi Koreksional Dade, Florida. Darren Rainey, seorang lelaki berusia 50 tahun sedang menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan dadah yang tidak melibatkan keganasan. Namun apa yang menjadikan kes ini sangat menyayat hati adalah keadaan kesihatan mental Rainey yang menderita penyakit skizofrenia kronik yang sepatutnya memerlukan pemantauan perubatan rapi dan bukannya layanan kejam.

​     Pada malam 23 Jun 2012, Rainey yang ditempatkan di unit penjagaan inap (Inpatient Care Unit) dilaporkan mengalami episod gangguan mental hingga dia melumurkan najis pada dirinya dan di dalam sel. Sebagai tindak balas, seorang pegawai penjara iaitu Ronald Clark telah diarahkan oleh Sarjan John Fanfan untuk membawa Rainey ke bilik mandi bagi membersihkan diri. Walau bagaimanapun, Rainey tidak dibawa ke bilik mandi biasa. Dia sebaliknya dibawa ke sebuah bilik mandi khas di tingkat dua yang telah diubah suai secara haram di mana punca kawalan air dan suhunya terletak di luar bilik mandi tersebut membolehkan pengawal mengawal haba tanpa pengetahuan banduan di dalam.

     ​Siasatan kemudian mendedahkan bahawa Rainey telah dikunci di dalam ruang sempit berukuran 3 kaki x 9 kaki itu selama dua jam tanpa henti. Menurut keterangan banduan lain yang berada di sel berdekatan, mereka mendengar Rainey menjerit kesakitan dan merayu-rayu agar dibebaskan sambil menjerit, "Saya minta maaf, saya tidak tahan lagi, tolong lepaskan saya!" Rayuan tersebut bagaimanapun diabaikan oleh para pengawal yang bertugas. Apabila pintu bilik mandi akhirnya dibuka pada jam 9:30 malam, Rainey ditemui dalam keadaan tertelungkup dan sudah tidak bernyawa.

​     Keadaan fizikal mayat Rainey selepas kejadian tersebut sangat mengerikan. Apabila pengawal cuba mengangkat mayatnya ke atas pengusung, kulit Rainey dilaporkan mula mengelupas dan luruh dalam kelompok besar  yang menampakkan isi merah yang melecur di bawahnya. Suhu air di bilik mandi tersebut diuji kemudian dan didapati boleh mencecah sehingga 71°C (160°F) yakni suhu yang cukup panas untuk menyebabkan lecuran tahap ketiga dalam masa yang singkat.

     Kontroversi besar timbul apabila Pemeriksa Perubatan, Dr. Emma Lew mengeluarkan laporan autopsi yang menyatakan bahawa kematian Rainey adalah kemalangan. Dr. Lew mendakwa bahawa kecederaan pada kulit Rainey bukanlah disebabkan oleh lecuran air panas tetapi sebaliknya adalah kesan pereputan selepas kematian yang dipercepatkan oleh keadaan jantung Rainey yang lemah dan kesan ubat-ubatan skizofrenia. Penemuan ini dibantah keras oleh ramai pakar forensik bebas yang menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak masuk akal memandangkan gambar-gambar mayat menunjukkan bukti lecuran yang jelas.


     Kes ini seolah-olah cuba ditutup oleh pihak berkuasa selama bertahun-tahun hinggalah wartawan daripada Miami Herald mula membongkar keterangan saksi-saksi penting yang tidak pernah disoal siasat sebelum ini. Bekas banduan dan kakitangan perubatan penjara tampil mendakwa bahawa penggunaan bilik mandi air panas itu merupakan kaedah pendisiplinan yang sering digunakan oleh pengawal untuk menyeksa banduan yang dianggap bermasalah atau menghidap gangguan mental. Meskipun terdapat bukti visual dan keterangan saksi yang kukuh, pada tahun 2017, Peguam Negara Florida memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang tuduhan jenayah terhadap empat pegawai penjara yang terlibat. Keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dianggap melindungi penjawat awam yang melakukan kekejaman. Sebagai jalan penyelesaian, pada tahun 2018, keluarga Rainey menerima pampasan sivil sebanyak $4.5 juta daripada kerajaan. Cuma secara rasmi, tiada siapa yang pernah dijatuhi hukuman penjara atas kematiannya.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Darren Rainey yang Benar-Benar Menyedihkan "