Kisah Misteri dan Wasiat Terakhir Suzzanna

Kematian legenda seram Indonesia, Suzzanna Martha Frederika van Osch atau lebih dikenali sebagai Suzzanna sentiasa diselubungi misteri sejak pemergiannya pada tahun 2008. Dalam satu pertemuan khas di kediaman mendiang di Magelang, Jawa Tengah, suaminya Cliff Sangra iaitu telah ditemu bual oleh Jamal dari saluran YouTube Lentera Malam. Temu bual ini mendedahkan sisi gelap konflik keluarga, wasiat yang sangat terperinci, serta rentetan kejadian mistik yang menyelubungi kematian Suzanna.
Episod luar biasa ini bermula kira-kira dua tahun sebelum kematiannya yang sebenar. Pada tahun 2006, Suzzanna pernah jatuh sakit sehingga koma dan disahkan bakal meninggal dunia oleh doktor peribadinya. Cliff menceritakan detik menyayat hati apabila doktor meminta dia reda dengan pemergian isterinya dalam hitungan minit. Namun berlaku satu keajaiban apabila Suzzanna memberikan tanda melalui genggaman tangan yang kuat setelah Cliff membisikkan kata-kata keikhlasan. Suzzanna akhirnya tersedar dan secara ajaib terus bertahan untuk hidup selama dua tahun lagi.

Sepanjang baki hayatnya, Suzzanna seolah-olah sudah "berkomunikasi" dengan takdirnya sendiri. Dia telah menyediakan segala persiapan kematian dengan sangat teliti termasuk melukis sendiri reka bentuk makamnya di atas dua helai kertas. Dia ingin makam tersebut dibina secara knockdown (boleh dibuka pasang) dan menetapkan agar mayat anak lelakinya, Ari dan kakaknya dipindahkan ke bawah liang lahad yang sama. Segala butiran ini bukan sekadar pesanan lisan malah telah didokumentasikan dalam wasiat rasmi yang didaftarkan di pejabat notaris di Jakarta dan Semarang bagi memastikan tiada pihak yang dapat mencabar kehendak terakhirnya.
Di sebalik persiapan rapi itu, wujud ketegangan yang amat dalam antara Suzzanna dan ahli keluarganya yang lain. Cliff mendedahkan bahawa isterinya berasa sangat kecewa dengan anak kandung dan saudara-maranya yang didakwa hanya mendekatinya kerana harta. Cliff sendiri pernah menjadi sasaran fitnah dan serangan fizikal. Cliff menceritakan bagaimana dia pernah diserang oleh menantu dan anak Suzzanna menggunakan topi keledar sehingga pecah. Malah berlaku insiden tembakan mempertahankan diri untuk melindungi nyawa mereka. Ketegangan ini membawa kepada syarat yang sangat ketat dalam wasiatnya di mana mayatnya tidak boleh dipertontonkan kepada sesiapa termasuk anak kandungnya sendiri dan tiada sesiapa dibenarkan mengambil gambar atau membuat liputan media semasa pengkebumiannya.

Menjelang saat kematiannya pada Oktober 2008, suasana di rumah mereka menjadi semakin aneh. Cliff mendakwa kediaman mereka didatangi oleh 106 ekor ular pelbagai saiz secara misteri dalam tempoh beberapa hari. Selain itu, Suzzanna kerap melihat entiti terbang di dalam biliknya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat meminta Cliff menunaikan dua permintaan iaitu memastikan anak angkat mereka menjadi anggota tentera dan meminta Cliff berkahwin semula agar ada yang menjaganya kelak. Sebagai penghormatan terakhir, Suzzanna juga mahu mayatnya dimandikan dengan air teh dan dihias dengan cantik termasuk pemakaian maskara dan gincu agar dia dalam keadaan yang paling sempurna.

Misteri ini berterusan walaupun setelah mayatnya disemadikan. Cliff mendedahkan kepada Jamal bahawa selama dua tahun selepas kematiannya, dia masih mendengar bunyi ketukan misteri pada dinding bilik yakni isyarat yang sering digunakan Suzzanna semasa hidup untuk memanggil suaminya. Dia juga mendakwa pernah melihat kelibat Suzzanna berdiri di depan pintu bilik sambil tersenyum bahagia dan berkata bahawa dia merindui Cliff. Semasa sesi penggambaran bersama Lentera Malam dijalankan, beberapa kejadian aneh turut berlaku seperti jatuhnya CCTV secara tiba-tiba seolah-olah memberikan isyarat bahawa kehadiran penghuni asal rumah itu masih dirasai sehingga ke hari ini. Video audio siar Lentera Malam tentang kisah Suzanna ini boleh ditonton di sini: https://youtu.be/gidcNbzixVQ?si=SPoJxVzMSkEHk53k
Catat Ulasan for "Kisah Misteri dan Wasiat Terakhir Suzzanna"