Kisah Anna Mae Blessing: Tua Bukan Sebarang Tua

Kes Anna Mae Blessing merupakan satu kes jenayah yang mengejutkan yang berlaku pada Julai 2018 di Fountain Hills, Arizona, Amerika Syarikat. Kejadian ini menarik perhatian bukan sahaja kerana kekejaman jenayah yang dilakukan tetapi juga disebabkan oleh faktor usia pelakunya yang mencecah 92 tahun.
Permulaan konflik ini berakar umbi daripada ketegangan mengenai urusan penjagaan warga emas. Thoma Blessing yang berusia 72 tahun telah menyatakan hasratnya untuk menghantar ibunya, Anna Mae ke pusat jagaan bantuan. Dia mendakwa bahawa perangai ibunya semakin sukar untuk diuruskan lagi dan mencabar kesabarannya. Namun bagi Anna Mae, cadangan tersebut dianggap sebagai satu pengkhianatan dan cubaan untuk menghalaunya keluar dari rumah sendiri. Perasaan marah, kecewa dan ketakutan akan kehilangan tempat tinggal telah mendorong warga emas ini untuk merancang satu tindakan yang drastik dan nekad.
Pada pagi 2 Julai 2018, Anna Mae telah melakukan persiapan awal sebelum melancarkan serangannya. Dia menyembunyikan dua pucuk pistol, sebuah revolver .357 Magnum dan sebuah pistol berkaliber .25 di dalam poket jubah mandinya. Senjata-senjata tersebut merupakan milik mendiang suaminya yang telah lama disimpan. Tanpa sebarang amaran, Anna Mae memasuki bilik tidur anaknya itu lalu melepaskan tembakan. Thomas yang tidak sempat mempertahankan diri terkena dua das tembakan di bahagian leher dan rahang mengakibatkanya maut serta-merta di tempat kejadian.
Keadaan menjadi semakin genting apabila Anna Mae kemudian mengacukan senjata ke arah teman wanita anaknya yang turut berada di rumah tersebut. Dia mengancam untuk membunuh wanita berkenaan namun satu pergelutan yang berani telah berlaku. Teman wanita Thomas berjaya merampas kedua-dua pucuk pistol daripada tangan Anna Mae sebelum melarikan diri keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan serta menghubungi pihak polis. Tindakan pantas ini dipercayai telah menyelamatkan nyawa kedua dalam insiden berdarah tersebut.

Apabila pihak polis Maricopa County tiba di lokasi, mereka menemui Anna Mae sedang duduk dengan tenang di atas kerusi malas di dalam bilik tidurnya. Dia tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan mengeluarkan kenyataan yang menyeramkan kepada pihak berkuasa bahawa nyawa harus dibayar dengan nyawa. Anna Mae merujuk kepada tindakannya yang membunuh anaknya sebagai tindak balas terhadap rancangan anaknya yang mahu menyingkirkan beliau daripada kehidupan harian.
Anna Mae Blessing kemudian didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama, serangan hendap dan penculikan. Walau bagaimanapun, proses keadilan tidak dapat berjalan seperti biasa memandangkan keadaan fizikal dan mentalnya yang sangat uzur. Semasa dalam tahanan, Anna Mae dilaporkan mengalami serangan strok yang memburukkan lagi tahap kesihatannya. Disebabkan ketidakupayaan Annae Mae untuk melalui perbicaraan mahkamah yang panjang, dia ditempatkan di bawah jagaan perubatan. Akhirnya pada awal tahun 2019, Anna Mae meninggal dunia sebelum sempat menerima hukuman rasmi.
Catat Ulasan for "Kisah Anna Mae Blessing: Tua Bukan Sebarang Tua"