Kisah Pembunuhan Kejam Liu Hong Mei

Pada bulan Jun 2005, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di negara Singapura. Kejadian ini bermula apabila seorang pekerja pembersihan taman menemui sebuah kotak yang mengandungi bahagian bawah tubuh wanita yang telah dikerat terdampar di tebing Sungai Kallang. Penemuan awal ini mencetuskan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak polis yang kemudian membawa kepada penemuan bahagian atas badan mangsa di lokasi berhampiran yang dibungkus dengan teliti menggunakan beg plastik lutsinar dan kotak pencetak.
Melalui analisis cap jari, pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identiti mangsa sebagai Liu Hong Mei iaitu seorang warga negara China berusia 22 tahun yang bekerja sebagai operator mesin di sebuah kilang elektronik. Hong Mei dikenali sebagai seorang pekerja yang rajin dan bercita-cita tinggi. Dia bahkan sedang merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pelancongan. Kehidupan mangsa yang penuh harapan itu bagaimanapun berakhir dengan di tangan penyelianya sendiri , Leong Sze Chor, seorang lelaki berusia 50 tahun yang sudah berkeluarga.

Siasatan mendedahkan bahawa wujud hubungan sulit antara mangsa dan pelaku yang telah berlangsung selama setahun. Motif utama pembunuhan ini bukanlah sekadar konflik percintaan tetapi sebaliknya didorong oleh sifat tamak dan ketakutan. Beberapa hari sebelum pembunuhan, Hong Mei telah membuat laporan polis mengenai kehilangan kad ATM miliknya dan pengeluaran wang haram melebihi $2000. Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki yang menyerupai Leong sedang mengeluarkan wang tersebut. Menyedari bahawa rahsianya bakal terbongkar dan kedudukannya sebagai seorang ketua serta bapa akan musnah, Leong merancang satu tindakan nekad untuk menghapuskan Hong Mei.
Pada pagi 15 Jun 2005, Leong telah menjemput Hong Mei ke rumahnya di Whampoa ketika ahli keluarganya yang lain tiada di rumah. Di sanalah dia mencekik mangsa sehingga mati menggunakan tuala. Dalam percubaan yang sangat sistematik untuk melupuskan bukti, Leong membawa mayat mangsa ke bilik air sebelum menggunakan parang daging serta tukul untuk mengerat badan mangsa kepada tujuh bahagian. Dia kemudian membuang bahagian-bahagian badan tersebut di lokasi berbeza termasuk ke dalam Sungai Singapura berhampiran kawasan pelancongan Boat Quay untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Walaupun Leong cuba berdalih dengan mendakwa bahawa mereka mempunyai perjanjian bunuh diri bersama (suicide pact), bukti forensik yang dikumpulkan oleh pasukan penyiasat berkata sebaliknya. Pakar forensik berjaya memadankan serpihan logam halus yang ditemui tertanam pada otot kaki mangsa dengan kesan calar pada parang daging milik Leong. Selain itu, cebisan tuala yang ditemui di rumahnya mengandungi kesan DNA yang mengaitkan dirinya secara langsung dengan tempat kejadian. Sikap Leong yang tenang malah sempat tersenyum ketika membuat demonstrasi cara dia mencekik mangsa di mahkamah benar-benar mengejutkan galeri awam dan pihak pendakwaan.
Akhirnya pada Mei 2006, Mahkamah Tinggi Singapura menolak pembelaan Leong dan menjatuhkan hukuman mati mandatori setelah mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat. Hakim memutuskan bahawa pembunuhan itu dilakukan secara sengaja demi menyelamatkan reputasi dan menutup jenayah pencurian wang yang dilakukannya. Leong Sze Chor telah menjalani hukuman gantung tersebut pada November 2007.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Liu Hong Mei"