Kisah Pembunuhan Kejam Eloa Pimentel

Pada tahun 2008, satu krisis tebusan melibatkan remaja berusia 15 tahun, Eloa Pimentel telah berlaku di negara Brazil. Kejadian yang berakhir dengan kematian ini berkisarkan obsesi bekas kekasih, kesilapan strategi pihak polis dan gangguan media yang melampau. Disiarkan secara langsung selama empat hari, pengakhiran kes ini akhirnya menjadi pengajaran besar buat sistem keselamatan dan industri media di sana.
Semuanya bermula apabila Lindenberg Alves, seorang lelaki berusia 22 tahun tidak dapat menerima hakikat bahawa hubungannya dengan Eloa Pimentel yang baru berusia 15 tahun telah berakhir. Lindenberg digambarkan sebagai seorang yang sangat cemburu dan memiliki sifat ingin mengawal (possessive). Pada petang 13 Oktober 2008, Lindenberg telah menceroboh masuk ke pangsapuri keluarga Eloa di Santo Andre, Sao Paulo dengan bersenjatakan pistol. Pada waktu itu, Eloa sedang belajar bersama tiga rakan sekolahnya termasuk rakan baiknya iaitu Naiara Rodrigues. Lindenberg membebaskan dua rakan lelaki mereka namun menahan Eloa dan Naiara sebagai tebusan yang memulakan krisis tebusan paling lama dalam sejarah negeri Sao Paulo.

Apa yang menjadikan kes ini sangat luar biasa dan kontroversi adalah penglibatan media massa. Stesen televisyen Brazil pada waktu itu bersaing sengit untuk mendapatkan rating tertinggi hingga mereka mula bertindak melampaui batas. Beberapa pengacara televisyen terkenal seperti Sonia Abrao bertindak menghubungi telefon bimbit di dalam pangsapuri tersebut untuk menemu bual Lindenberg secara langsung di udara. Tindakan ini bukan sahaja mengganggu talian komunikasi yang sepatutnya digunakan oleh perunding polis malah memberikan pentas kepada Lindenberg untuk berasa seperti seorang hero atau watak utama dalam sebuah filem yang telah menyukarkan pihak polis untuk memujuknya supaya menyerah diri.

Pihak polis juga tidak terlepas daripada kritikan hebat. Selepas rundingan yang panjang, Lindenberg bersetuju membebaskan Naiara Rodrigues pada hari kedua. Namun dalam satu keputusan yang dianggap paling tidak logik dalam sejarah kepolisan, pihak berkuasa membenarkan Naiara kembali semula ke dalam pangsapuri tersebut dua hari kemudian atas alasan untuk membantu proses rundingan. Tindakan ini menyebabkan Naiara kembali menjadi tebusan buat kali kedua yakni satu situasi yang jarang sekali berlaku dalam protokol krisis tebusan di mana-mana sahaja di dunia.

Kemuncak kejadian berlaku pada petang 17 Oktober 2008. Pihak polis bertindak menyerbu pangsapuri tersebut selepas mendakwa mendengar bunyi tembakan dari dalam. Dalam keadaan huru-hara semasa serbuan dilakukan, Lindenberg sempat melepaskan tembakan ke arah kedua-dua gadis tersebut. Naiara terkena tembakan di bahagian muka namun terselamat manakala Eloa ditembak di kepala dan pangkal paha. Eloa segera dilarikan ke hospital. Doktor telah mengesahkannya mengalami mati otak sehari kemudian. Kematian Eloa mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap cara polis mengendalikan serbuan dan bagaimana media merayakan penderitaan mangsa demi rating.
Lindenberg Alves akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 98 tahun pada Februari 2012 atas 12 pertuduhan jenayah seperti pembunuhan terancang, cubaan membunuh dan kurungan secara haram. Namun mengikut undang-undang Brazil pada waktu itu, hukuman maksimum yang boleh dijalani hanyalah 30 tahun (kini 40 tahun) dan hukumannya kemudian dikurangkan secara rasmi kepada 39 tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Eloa Pimentel"