Kisah Kematian Keluarga Vance: Akibat Paranoia dan Teori Konspirasi


Pada bulan Ogos 2022, Rebecca bersama anak lelakinya iaitu Talon Vance (13 tahun) dan adiknya yang bernama Christine Vance (41 tahun) memulakan perjalanan mereka ke Pergunungan Rocky. Walaupun Christine pada mulanya ragu-ragu, dia akhirnya memilih untuk mengikut kakak dan anak saudaranya kerana tidak mahu mereka sendirian selain bimbang akan keselamatan mereka di hutan tanpa bantuan. Malangnya, keputusan ini dibuat tanpa sebarang persediaan ilmu kemandirian yang mencukupi. Rebecca sememangnya tidak mempunyai pengalaman asas dalam ilmu hutan atau kemandirian (survival). Dia sebaliknya hanya bergantung sepenuhnya kepada tontonan video di YouTube untuk mempelajari cara memasang khemah, mencari punca air dan cara hidup di dalam hutan.
Kehidupan mereka di kawasan Hutan Nasional Gunnison sangat mencabar. Mereka hanya bergantung kepada sebuah khemah murah yang dibeli dari pasar raya Walmart, beberapa beg tidur dan penapis air LifeStraw. Bekalan makanan mereka juga sangat terhad dan tidak berkhasiat yakni hanya terdiri daripada mi segera, sosej dalam tin dan gula-gula. Walaupun mereka membawa benih sayur-sayuran, mereka tidak sempat atau tidak tahu cara menanamnya di tanah pergunungan yang tinggi dan berbatu itu.

Menjelang musim sejuk di Colorado, suhu di pergunungan tersebut boleh jatuh sehingga di bawah paras beku secara ekstrem. Tanpa sistem pemanas yang betul atau pakaian perlindungan yang mencukupi, keluarga ini mula mengalami kesengsaraan akibat hipotermia. Kekurangan makanan yang berzat juga menyebabkan badan mereka menjadi lemah dan sistem imun merosot yang membawa kepada malnutrisi. Keadaan menjadi lebih tragis apabila Talon yang masih remaja terpaksa melalui penderitaan ini tanpa memahami sepenuhnya mengapa ibunya memilih jalan hidup sebegitu.
Mayat mereka hanya ditemui hampir setahun kemudian yakni pada Julai 2023 oleh seorang pendaki berhampiran kawasan Gold Creek. Pihak berkuasa menemui mayat Talon di luar khemah dalam keadaan mengering akibat suhu sejuk melampau yang mengawet mayatnya secara semula jadi. Sementara itu, nayat Rebecca dan Christine pula ditemui di dalam khemah yang tertutup rapat. Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah gabungan antara kebuluran dan kesejukan melampau.

Apa yang paling menyayat hati dalam kes ini adalah penemuan lokasi khemah mereka yang sebenarnya hanya terletak kira-kira 300 meter dari jalan raya dan kawasan perkhemahan awam yang sering dikunjungi. Namun disebabkan perasaan takut terhadap dunia luar yang telah menguasai minda Rebecca, mereka memilih untuk terus bersembunyi sehingga ke nafas terakhir.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Keluarga Vance: Akibat Paranoia dan Teori Konspirasi"