Diabai Ibu Bapa, Kanak-Kanak 3 tahun Ini Akhirnya Maut Akibat Kutu

     AMERIKA SYARIKAT – Satu tragedi kemanusiaan yang menyayat hati terbongkar di Corinth, New York apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Joycelynn Dylewski disahkan meninggal dunia akibat pengabaian kronik dan kejam oleh ibu bapanya sendiri. Kejadian yang berlaku pada 19 Februari 2025 itu menyaksikan mangsa ditemui dalam keadaan sukar bernafas di kediaman keluarganya yang berada dalam keadaan sangat kotor dan tidak terurus.

      Siasatan perubatan mendedahkan punca kematian Joycelynn adalah akibat anemia teruk yang berpunca daripada infestasi kutu yang terlalu ekstrem pada kulit kepalanya. Paras kutu yang tidak terkawal itu telah menghisap darah mangsa secara berterusan sehingga merosakkan fungsi jantung dan organ dalaman kanak-kanak itu. Lebih menyedihkan, pemeriksaan fizikal mendapati gigi mangsa telah reput dan bertukar menjadi hitam selain terdapat bangkai lipas pada tubuhnya membuktikan mangsa hidup dalam persekitaran yang sangat menjijikkan.


      Rumah keluarga tersebut didapati dipenuhi d engan sisa makanan busuk, sampah sarap yang bertaburan, perabot yang kotor serta singki dapur yang tersumbat dengan sisa kotoran. Gambar-gambar yang dirakam oleh pihak syarikat pembersihan selepas kejadian menunjukkan keadaan rumah yang melampau termasuk makanan luput tarikh yang bersepah di dalam bilik tidur kanak-kanak. Hakim Daerah Saratoga, James R. Davis, yang mengendalikan kes tersebut menyifatkan laporan pra-hukuman ibu bapa mangsa sebagai yang paling mengerikan pernah dibacanya sambil menyatakan bahawa Joycelynn telah menderita dalam tempoh yang sangat lama sebelum meninggal dunia.

      Dalam perbicaraan, ibu mangsa, Samantha Dylewski, 33 tahun cuba melontarkan kesalahan kepada mangsa dengan mendakwa kanak-kanak itu melawan ketika mahu dirawat bagi masalah kutu. Dia juga mendakwa Joycelynn secara tidak sengaja menelan ubat tekanan darah jenis clonidine yang ditinggalkan oleh abangnya. Walau bagaimanapun bukti mesej teks antara Samantha dan suaminya iaitu Matthew Dylewski mendedahkan sebaliknya. Mereka didapati berbincang tentang pemberian ubat tersebut kepada mangsa dan carian internet pada telefon mereka sejurus selepas kematian kanak-kanak itu menunjukkan mereka cuba menyemak tempoh ubat tersebut bertahan dalam sistem badan sebagai langkah untuk menyembunyikan bukti.




      Samantha yang mengakui kegagalannya sebagai ibu semasa prosiding hukuman meluahkan rasa menyesal walaupun menegaskan dia menyayangi anak-anaknya. Matthew pula menyatakan kekesalan mendalam dan berharap dia yang menggantikan tempat anaknya dalam kematian. Hakim Davis bagaimanapun tetap menjatuhkan hukuman penjara maksimum empat tahun ke atas kedua-dua tertuduh bagi kesalahan homisid akibat kecuaian jenayah. Pasangan itu juga dilarang sama sekali daripada menghubungi atau menemui empat lagi anak mereka yang terselamat sehingga tahun 2038.

     Susulan daripada kes yang menggemparkan masyarakat ini, ahli politik tempatan, Senator James Tedisco dan Ahli Dewan Undangan Matt Simpson telah mengusulkan satu perundangan baharu yang dikenali sebagai Undang-Undang Joycelynn (Joycelynn’s Law). Jika diluluskan, ia akan meningkatkan hukuman maksimum bagi kesalahan homisid akibat kecuaian jenayah daripada empat tahun kepada 20 tahun penjarasebagai mesej tegas bahawa pengabaian terhadap golongan kanak-kanak yang tidak berdaya merupakan jenayah berat yang tidak boleh dimaafkan.

Catat Ulasan for "Diabai Ibu Bapa, Kanak-Kanak 3 tahun Ini Akhirnya Maut Akibat Kutu"