DOKTOR ENGGAN RAWAT MANGSA ROGOL BERUSIA 4 TAHUN HINGGA HANYA KERANA MANGSA MISKIN

IINDIA - Mahkamah Agung India pada Jumaat membidas keras dua hospital swasta serta barisan doktor mereka di Ghaziabad, Uttar Pradesh atas dakwaan gagal memberikan rawatan segera kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menjadi mangsa rogol hingga mengakibatkan kematiannya.
Dalam prosiding tersebut, panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara India, Surya Kant menempelak pihak pengurusan hospital dengan menyatakan bahawa mereka sengaja mengabaikan mangsa hanya kerana dia datang daripada keluarga miskin yang tidak mampu membayar yuran rawatan. Malah mahkamah yang berang turut menegaskan agar perkataan doktor digugurkan daripada nama mereka kerana telah gagal menjalankan tanggungjawab kemanusiaan yang asas.
"Jika anda mempunyai sebarang rasa sensitiviti dan tidak mempunyai fasiliti yang mencukupi, anda sepatutnya menemani kanak-kanak itu ke hospital lain. Anda mengabaikannya hanya kerana dia miskin," tegas Ketua Hakim Negara itu.
Kejadian menyayat hati ini bermula pada 16 Mac lalu apabila mangsa diperdaya oleh seorang jiran berhampiran rumahnya dengan alasan untuk membelikan coklat. Selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, ahli keluarga mangsa mula melakukan pencarian sebelum menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kawasan berhampiran.
Keluarga mangsa kemudian bergegas membawa kanak-kanak itu ke dua hospital swasta berbeza. Walau bagaimanapun, kedua-dua hospital tersebut didakwa menolak untuk menerima mangsa. Mangsa akhirnya dibawa ke Hospital Daerah Ghaziabad di mana pihak doktor di sana mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia. Bapa mangsa mendakwa bahawa anaknya masih hidup selama dua jam selepas ditemui dan nyawanya pasti dapat diselamatkan jika diberikan rawatan perubatan yang segera.

Siasatan yang dijalankan oleh Pasukan Siasatan Khas (SIT) lantikan Mahkamah Agung mendapati ada asas yang kuat pada dakwaan bapa mangsa mengenai kegagalan pihak hospital memberikan rawatan tepat pada masanya. Sebagai hukuman, mahkamah mengarahkan hospital-hospital terbabit untuk memberikan sumbangan sukarela kepada keluarga mangsa selain memberi amaran bahawa tindakan tegas berserta kos tambahan akan dikenakan jika mereka gagal mematuhinya. Mahkamah turut menegaskan bahawa kes ini bukan sekadar isu pampasan tetapi sebaliknya adalah tentang akauntabiliti yang perlu diperbetulkan.
Selain kecuaian pihak perubatan, peranan pihak polis tempatan kini turut berada di bawah radar penelitian Mahkamah Agung. Sejurus selepas kejadian, keluarga mangsa telah tampil membuat laporan polis. Pihak berkuasa bagaimanapun didakwa bukan sahaja tidak mengambil endah, malah bertindak mengasari ahli keluarga mangsa secara fizikal.
Hanya selepas timbulnya kekecohan dan desakan orang ramai, Laporan Maklumat Pertama (FIR) akhirnya difailkan sehari selepas itu pada 17 Mac yang membawa kepada penangkapan suspek pada 18 Mac. Mengejutkan apabila laporan awal polis tersebut dikesan langsung tidak menyebut tentang Akta Perlindungan Kanak-kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) mahupun Seksyen 376 Kanun Keseksaan berkaitan hukuman rogol.
Terdahulu pada bulan April, Mahkamah Agung telah pun menegur pihak berkuasa Ghaziabad atas sikap acuh tidak acuh mereka dan telah memanggil Pesuruhjaya Polis serta pegawai penyiasat bersama rekod kes. Mahkamah menyimpulkan bahawa perkara paling mengejutkan dalam kes ini adalah sikap tidak peduli dan tidak sensitif yang ditunjukkan oleh kedua-dua hospital swasta berkenaan serta pihak polis tempatan.
Catat Ulasan for "DOKTOR ENGGAN RAWAT MANGSA ROGOL BERUSIA 4 TAHUN HINGGA HANYA KERANA MANGSA MISKIN"