KES BUNUH KERANA DITANYA BILA NAK KAHWIN


      Kes pembunuhan kali ini berlaku pada malam Isnin, 29 Julai 2024, kira-kira jam 8:00 malam bertempat di Kampung Pasar Simundol, Daerah Saipar Dolok Hole (SDH), Wilayah Tapanuli Selatan, Indonesia. Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Asim Siregar (60 tahun). Pelaku pula merupakan jiran berdekatan bernama Parlindungan Siregar yang berumur 45 tahun. Walaupun kedua-duanya mempunyai ikatan tali persaudaraan, hubungan antara mereka bertukar menjadi tegang akibat perbualan harian yang sering kali menyentuh sensitiviti peribadi Parlindungan.

     Berdasarkan hasil siasatan awal pihak polis, motif utama di sebalik pembunuhan ini adalah dendam dan rasa tersinggung yang terpendam dalam diri suspek. Mengikut kenyataan rasmi pihak berkuasa, suspek mengaku sering rasa diejek dan diperlekehkan apabila mangsa berulang kali bertanyakan soalan seperti "Kenapa engkau tak kahwin lagi?" atau "Bila lagi engkau nak kahwin?". Bagi sesetengah orang, soalan sedemikian mungkin dianggap sekadar gurauan atau perbualan biasa. Namun bagi Parlindungan yang masih membujang pada usia pertengahan umur, usikan tersebut dirasakan sebagai satu bentuk tekanan emosi serta ejekan yang merendahkan marudahnya.

      Kejadian sebenar bermula apabila Parlindungan yang sudah tidak mampu menahan kemarahan yang dipendam mengambil keputusan untuk menamatkan konflik tersebut secara kekerasan. Dia mengambil sebatang kayu pemukul dari rumahnya lalu berjalan menuju ke kediaman Asim Siregar. Setibanya di kawasan halaman rumah mangsa yakni tanpa sebarang amaran atau pertengkaran mulut, Parlindungan terus menghayunkan kayu pemukul tersebut dan menyerang Asim. Mangsa yang terkejut cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke arah jalan raya berhampiran. Walau bagaimanapun, suspek terus mengejar dan memukul mangsa secara bertubi-tubi terutamanya di bahagian kepala dan badan sehingga mangsa rebah dan tidak sedarkan diri di atas jalan.

      Jeritan dan kekecohan di lokasi kejadian akhirnya disedari oleh penduduk kampung sekitar yang bergegas keluar untuk meleraikan serangan tersebut. Penduduk tempatan berjaya menahan Parlindungan di tempat kejadian daripada terus bertindak ganas manakala sebahagian lagi warga kampung berusaha memberikan bantuan kecemasan kepada Asim Siregar. Mangsa segera dibawa ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan perubatan. Namun disebabkan kecederaan parah yang dialami pada bahagian kepala akibat pukulan objek tumpul, Asim Siregar disahkan meninggal dunia tidak lama selepas tiba di klinik tersebut.

      Pihak polis yang menerima laporan daripada penduduk setempat terus bergerak ke lokasi kejadian untuk menahan suspek serta mengumpul barang bukti. Selain menahan Parlindungan Siregar, pihak polis turut merampas sebatang kayu yang digunakan sebagai senjata pembunuhan dan pakaian mangsa yang dipenuhi kesan darah untuk analisis forensik. Dalam sesi soal siasat, suspek mengaku secara jujur atas segala perbuatannya dan menyatakan bahawa dia bertindak sedemikian kerana tidak mampu lagi mengawal emosi akibat sering ditanya soalan peribadi yang sama secara berulang kali oleh mangsa.

      Ekoran tindakan jenayah tersebut, pihak polis mengenakan pertuduhan berat terhadap Parlindungan Siregar di bawah Kanun Keseksaan. Dia disiasat mengikut Seksyen 351 ayat (3) berkenaan penganiayaan berat yang mengakibatkan kematian serta Seksyen 338 tentang pembunuhan dengan niat. Sekiranya didapati salah di mahkamah, suspek berdepan dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Catat Ulasan for "KES BUNUH KERANA DITANYA BILA NAK KAHWIN"