Kisah Misteri Kehilangan dan Penemuan Semula Sayaka Nakagawa

Kes kehilangan misteri yang merangkumi penemuan mengejutkan seorang remaja perempuan di Jepun bermula pada 10 Julai 2013 di bandar Mobara, wilayah Chiba. Mangsa yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah atas berusia 17 tahun bernama Sayaka Nakagawa dilaporkan hilang secara tiba-tiba dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya. Pada petang kejadian, Sayaka dilihat menaiki kereta api dari stesen berhampiran sekolahnya selepas selesai menjalankan aktiviti harian sambil membawa sebungkus plastik tomato yang dipetik dari kebun sekolah. Namun selepas tiba di stesen keretapi berdekatan kediamannya dan kelihatan berjalan di pertengahan jalan menuju ke rumah, Sayaka terus lenyap tanpa sebarang jejak.
Selepas beberapa hari gagal pulang ke rumah, keluarga Sayaka membuat laporan rasmi kehilangannya kepada pihak polis. Pada peringkat permulaan, pihak berkuasa menyiasat kes ini di bawah kategori kes kehilangan biasa atau lari dari rumah secara sukarela. Namun setelah tempoh sebulan berlalu tanpa sebarang petunjuk atau perkhabaran, pihak polis Jepun akhirnya menaik taraf siasatan kepada operasi terbuka pada awal Ogos 2013. Risalah mengandungi maklumat peribadi serta gambar Sayaka diedarkan secara meluas ke seluruh kawasan kejiranan, stesen pengangkutan awam dan pusat beli-belah. Pasukan pencari turut menggerakkan operasi besar-besaran di kawasan hutan serta pergunungan sekitar.

Misteri kehilangan tersebut akhirnya menemui noktah pada 26 September 2013 iaitu genap 77 hari selepas Sayaka hilang. Seorang penduduk tempatan yang juga merupakan penjaga kawasan sekitar telah pergi ke Kuil Hieda yakni sebuah kuil kecil dan sunyi yang terletak hanya kira-kira 400 meter dari kediaman keluarga Sayak. Dia pergi ke tempat itu untuk memeriksa keadaan kawasan tersebut selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan. Semasa membuat pemeriksaan di bangunan kecil kuil berkenaan, lelaki tersebut terkejut apabila mendapati kelibat seorang individu dalam keadaan terbaring dan lemah. Setelah diamati, wajah gadis itu seiras dengan poster orang hilang yang selama ini ditampal di serata tempat. Maka lelaki berkenaan segera menghubungi pihak polis.

Ketika ditemui, keadaan fizikal Sayaka amat menyayat hati kerana dia berada dalam keadaan yang terlalu kurus kering akibat susut berat badan hampir separuh daripada berat asalnya hingga tinggal sekitar 25 hingga 31 kilogram sahaja. Sayaka masih mengenakan pakaian seragam sekolah yang sama ketika hari hilang. Walau bagaimanapun, pakaian tersebut sudahpun bertukar menjadi comot, kotor dan terkoyak. Dari segi mental dan psikologi, Sayaka berada dalam keadaan yang sangat tertekan, lemah serta hilang sepenuhnya konsep peredaran masa, selain gagal bercakap dengan normal apabila disoal oleh pihak berkuasa. Sayaka segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut di mana pemeriksaan perubatan mengesahkan gadis itu bahawa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat serangan jenayah atau unsur penculikan paksa.

Meskipun pihak berkuasa merumuskan bahawa tiada anasir jenayah luar yang terlibat dan kes diklasifikasikan sebagai tindakan mengasingkan diri, pelbagai spekulasi serta misteri kekal menyelubungi kes ini. Antara tanda tanya terbesar yang diperkatakan termasuklah bagaimana Sayaka mampu bertahan hidup selama lebih dua bulan di dalam bangunan kuil kecil yang terpencil itu. Tambahan pula di tengah-tengah cuaca musim panas ekstrem di Jepun tanpa kemudahan bekalan air yang mencukupi. Selain itu, punca sebenar mengapa Sayaka memilih untuk tinggal bersembunyi di kawasan yang begitu hampir dengan rumahnya sendiri di samping kehilangan barang peribadi seperti telefon bimbit dan wang tunai yang dibawanya pada hari kejadian terus menjadi teka-teki yang mencetuskan pelbagai teori psikologi.
Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan dan Penemuan Semula Sayaka Nakagawa"