Kisah Pembunuhan Kejam Lima Sekeluarga China di Brooklyn

Zhu Yiling memulakan kehidupannya dengan penuh kesusahan selepas kematian bapanya pada usia muda. Dia berhijrah dengan menanggung hutang yang besar, bekerja di restoran Cina di kawasan pedalaman, hidup dalam asrama yang sempit dan mengamalkan disiplin diri yang ketat. Berkat ketekunan serta usaha berterusan selama sedekad, Zhu akhirnya berjaya melunaskan hutang, mendapatkan status pemastautin tetap, mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Li Qiaozhen lalu membina kehidupan keluarga yang bahagia bersama empat orang anak mereka.

Perjalanan hidup Chen Mindong sebaliknya dipenuhi dengan konflik peribadi dan kegagalan. Selepas tiba di Amerika Syarikat pada tahun 2004, Chen turut bekerja keras di sektor katering tetapi gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial. Sikapnya yang pendiam, pemarah dan kecenderungan melanggar batas disiplin menyebabkannya sering bertelagah dengan rakan sekerja serta gagal mengekalkan pekerjaan yang stabil. Kemuncak kepada kehancuran mentalnya berlaku pada tahun 2013 apabila permohonan suaka politiknya ditolak oleh mahkamah akibat kesilapan prosedur undang-undang sekali gus mengubah statusnya menjadi pendatang haram yang berdepan risiko dihantar pulang ke negara asal.
Dalam keadaan terdesak, tertekan akibat masalah kewangan, ketagihan perjudian, masalah kesihatan mental yang tidak dirawat seperti halusinasi dan insomnia, Chen Mindong akhirnya menumpang di apartmen sempit milik sepupunya, Zhu Yilingndi Sunset Park, Brooklyn pada pertengahan Oktober 2013. Rumah tersebut pada ketika itu didiami oleh Li Qiaozhen serta empat orang anak mereka yang berusia dari 13 bulan hingga sembilan tahun manakala Zhu sendiri bekerja di luar daerah dan hanya pulang pada hujung minggu.
Pada mulanya, keluarga Zhu menerima kehadiran Chen dengan baik dan penuh belas kasihan. Walau bagaimanapun, ruang kediaman yang terlampau sempit ditambah dengan sikap Chen yang semakin terasing mencetuskan ketegangan harian. Chen mula dikuasai oleh perasaan cemburu yang teramat sangat melihat kejayaan sepupunya yang memiliki kerjaya stabil, isteri penyayang serta keluarga yang harmoni berbanding nasibnya sendiri yang muflis, hilang status undang-undang dan tidak mempunyai masa depan.
Pada malam 26 Oktober 2013 yakni ketika Zhu Yiling tiada di rumah kerana bekerja di Queens, Li Qiaozhen telah berhubung melalui panggilan telefon dengan ibu mentuanya di China. Dalam perbualan tersebut, mereka membincangkan rancangan untuk meminta Chen Mindong keluar dari rumah kerana ruang yang semakin terhad serta keadaan mental Chen yang tidak stabil. Tanpa disedari, perbualan itu didengari oleh Chen yang kemudian berasa dirinya dikhianati dan disingkirkan oleh keluarga yang selama ini membantunya. Dikuasai oleh rasa benci dan dorongan psikologi yang terpesong, Chen mengambil sebilah pisau dari dapur lalu melancarkan serangan mengejut yang sangat kejam.


Mangsa pertama yang diserang ialah Li Qiaozhen bersama anak lelakinya yang berusia 5 tahun, Kevin di bahagian dapur rumah dengan tikaman dan kelar bertubi-tubi di bahagian leher serta badan. Li Qiaozhen sempat bergelut untuk menyelamatkan diri hingga jari-jarinya terputus akibat tikaman pisau sebelum dia akhirnya rebah. Selepas menumpaskan mangsa di dapur, Chen bergerak ke bahagian bilik tidur sebelum mencederakan baki tiga lagi anak kecil yang lain secara kejam iaitu anak sulung perempuan berusia 9 tahun, anak perempuan kedua berusia 7 tahun dan bayi lelaki bongsu yang baru berusia 13 bulan, William. Majoriti mangsa mengalami kecederaan parah akibat tikaman dan kelar yang mendalam di bahagian leher. Sebelum meninggal dunia di dalam ambulans, Li Qiaozhen sempat mengangkat tangannya untuk memberi isyarat nombor empat sebagai tanda bertanya tentang keadaan anak-anaknya.
Selepas melakukan pembunuhan kejam tersebut, Chen sempat menukar pakaian bersih manakala kakinya dipenuhi kesan darah. Percubaan Chen untuk melarikan diri gagal apabila dia terserempak dengan pasangan sepupu lain yang bergegas ke lokasi selepas dihubungi keluarga di China lalu berjaya menahanya hingga pihak polis tiba di tempat kejadian. Sepanjang proses perbicaraan yang panjang di mahkamah New York, pihak pembelaan mengetengahkan masalah kesihatan mental suspek namun bukti menunjukkan Chen masih mempunyai kewarasan minimum kerana sempat merancang serangan ketika suami mangsa tiada dan bertindak menukar pakaian untuk melarikan diri. Pada Oktober 2015, Chen Mindong secara rasmi mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara mandatori selama 125 tahun tanpa hak parol.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Lima Sekeluarga China di Brooklyn "