Kisah Si Ibu yang Lemaskan Anak Sendiri Akibat Paksaan Suami dan Madu


     Kejadian pembunuhan bersiri keluarga yang menyayat hati ini berlaku di kawasan Al-Marj, utara Kaherah, Mesir.  Kisah hitam ini bermula apabila seorang pemuda bernama Ahmed Abdul Qader yang hidup dalam kesusahan dan mencari kestabilan kewangannberkahwin dengan seorang wanita yang 16 tahun jauh lebih tua daripadanya bernama Hala Mustafa. Hala mempunyai kedudukan kewangan yang jauh lebih baik, memiliki sebuah pangsapuri dan menanggung sebahagian besar perbelanjaan hidup Ahmed. 

      Namun selepas bertahun-tahun melayari perkahwinan, pasangan tersebut gagal dikurniakan zuriat, satu perkara yang amat diidamkan oleh Ahmed. Didorong keinginan untuk mendapatkan anak, Ahmed telah berkahwin secara rahsia dengan seorang wanita muda bernama Iman Zakaria pada tahun 2013 tanpa pengetahuan keluarganya. Perkahwinan sulit itu kemudiannya membuahkan hasil apabila Iman melahirkan dua anak perempuan iaitu Malik diikuti setahun kemudian oleh adiknya, Janna.


     Kehadiran dua anak perempuan ini sepatutnya membawa seri. Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya yang berlaku apabila Hala mula dikuasai oleh perasaan cemburu yang teramat sangat melihat kasih sayang Ahmed beralih kepada Iman dan anak-anak kecil tersebut. Hala mula merasakan kedudukannya semakin terancam walaupun dia menyara kehidupan keluarga itu. Hala kemudian merangka satu rancangan kejam dengan menawarkan sebuah unit pangsapuri di kawasan Al-Zawya Al-Hamra berserta sebuah kenderaan utiliti awam kepada Ahmed dengan syarat mutlak bahawa Ahmed mesti menghapuskan nyawa kedua-dua anak perempuan itu. Di bawah tekanan psikologi yang hebat dan hasutan kononnya anak-anak itu bukan darah dagingnya, Ahmed tunduk kepada tawaran harta dunia. Lebih mengejutkan, Iman selaku ibu kandung turut diheret dan dipaksa menyertai pakatan jenayah tersebut akibat tiada tempat bergantung selepas disisihkan oleh keluarganya sendiri.

      Pada tahun 2016, rancangan jahat itu dilaksanakan apabila Malik dan Janna dilemaskan oleh Iman secara bergilir oleh di dalam sebuah bekas air besar di dalam kediaman mereka. Keji dan liciknya, Ahmed merakam keseluruhan proses pembunuhan itu menggunakan telefon untuk dijadikan senjata ugutan agar isteri keduanya itu tidak pernah berani melarikan diri atau menceritakan perkara sebenar kepada pihak berkuasa. Mayat kedua-dua beradik itu kemudian dibungkus dengan beg plastik hitam sebelum dibuang ke kawasan longkang berhampiran sistem kumbahan. 


      Selepas jenayah itu, penderitaan Iman bertambah teruk apabila dia dijadikan tebusan di dalam rumah sendiri, didera secara fizikal, dikurung dan dibiarkan kelaparan. Kemuncak kepada kegilaan itu, penglihatan Iman dicederakan dengan sengaja menggunakan bahan kimia yang kuat hingga menyebabkan dia menjadi buta sepenuhnya, memastikan dia tidak mampu melawan atau melihat jalan untuk melarikan diri. Di tengah-tengah tempoh seksaan yang berpanjangan itu, Iman sekali lagi hamil lalu melahirkan seorang bayi lelaki. Namun hanya beberapa jam selepas dilahirkan, bayi lelaki itu turut dibunuh dengan cara yang sama seperti kakak-kakaknya, sebelum mayatnya dibuang di kawasan pembuangan yang sama.

       Jenayah yang tersembunyi selama bertahun-tahun itu akhirnya terbongkar secara tidak sengaja pada bulan Ramadan 2017. Pemilik baharu bangunan kediaman tersebut mengambil alih premis dan mula merasa curiga terhadap keadaan misteri di rumah Ahmed. Menyedari lingkaran syak andaikata rahsia mereka terbongkar, Ahmed dan Hala menghalau Iman keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membenarkan dia membawa apa-apa. Dalam keadaan buta, fizikal yang hancur dan ditolak pula oleh keluarga kandungnya sendiri akibat perkahwinan silamnya, Iman duduk meratap di hadapan bangunan tersebut selama berjam-jam. Isteri pemilik bangunan yang kebetulan melihat keadaan Iman yang memakai niqab koyak dan meraba-raba dinding menghampirinya. Selepas mendengar bisikan ayat pertama, "Mereka mengambil anak-anak saya dan membunuh mereka di depan mata saya," wanita itu membawa Iman masuk dan segera melaporkan kejadian tersebut kepada Balai Polis Al-Marj.


     Bertindak atas maklumat itu, pihak polis segera menyerbu kediaman Ahmed dan Hala. Ketika penggeledahan dijalankan, pihak berkuasa menemui satu kad memori telefon bimbit tersembunyi yang mengandungi rakaman video jelas detik-detik Malik dan Janna dilemaskan yakni bukti kukuh yang tidak boleh disangkal lagi. Kes itu dibawa ke Mahkamah Jenayah North Cairo melalui proses perbicaraan yang panjang dan kompleks. Pada 28 Februari 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan cara digantung ke atas Ahmed, Hala dan Iman selepas merujuk fail kes kepada Mufti Besar Mesir. Takdir menentukan hukuman ke atas Ahmed terhenti lebih awal apabila dia dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam tahanan sejurus selepas mendengar keputusan mahkamah tersebut. Sementara itu, peguam bagi Iman dan Hala meneruskan proses rayuan sehingga pada 25 Februari 2025, Mahkamah Kasasi Mesir mengekalkan hukuman mati terhadap Iman dan Hala. 

Catat Ulasan for "Kisah Si Ibu yang Lemaskan Anak Sendiri Akibat Paksaan Suami dan Madu"