Gara-Gara Suka Pamer Kekayaan di Media Sosial, Wanita Ini Dibunuh Kejam

Mangsa merupakan isteri kepada Bapak Dudung Badrun iaitu seorang tokoh masyarakat yang disegani, pengurus Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kabupaten Indramayu serta seorang peguam senior dan konsultan undang-undang yang sering mengendalikan kes-kes berprofil tinggi termasuk pertikaian pilihan raya di Mahkamah Konstitusi.

Di mata penduduk setempat, Hajah Komariah dikenali sebagai seorang wanita yang periang, ramah serta kerap membantu dan memberikan peluang pekerjaan kepada jiran tetangga untuk pelbagai kerja penyelenggaraan rumah. Namun di sebalik sifat yang dermawan itu, suaminya pernah menasihati dia agar tidak terlalu kerap mempamerkan status kewangan atau kemewahan yang ebih dikenali sebagai amalan menunjuk-nunjuk kekayaan (flexing)di platform media sosial bagi menjaga keselamatan diri daripada ancaman luar.
Kejadian bermula pada pagi hari kejadian apabila Hajah Komariah mendapatkan khidmat seorang tukang rumah yang juga merupakan jiran mereka bernama Fajar, 31 tahun untuk membaiki tiang dan hiasan dinding di rumahnya. Fajar yang sebelum ini sering diberi kepercayaan oleh Hajah Komariah untuk mencari punca pendapatan tambahan, rupanya menyimpan dendam yang dipendam sejak April 2026 berikutan kata-kata Hajah Komariah yang dianggap menyinggung perasaan ketika pembinaan bengkelnya.

Semasa Hajah Komariah sedang memeriksa hasil kerja di ruang solat, Fajar yang hilang pertimbangan akibat dendam kesumat bertindak melibas bahagian belakang kepala mangsa menggunakan tukang besi berkali-kali hingga wanita itu rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Maka dalam keadaan panik, Fajar segera menghubungi rakannya, Wahyu, 28 tahun untuk meminta bantuan melupuskan bahan bukti serta mengalihkan mayat Hajah Komariah.
Kedua-dua pelaku kemudian melarikan pelbagai barangan berharga seperti wang tunai, barangan kemas serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Xpander putih milik Hajah Komariah bersama-sama mayatnya ke kawasan hutan di Desa Cikawung. Bagi melenyapkan segala jejak jenayah, mereka menyimbah bahan api dan membakar kenderaan tersebut bersama-sama mayat Hajah Komariah di dalam hutan pada lewat malam.


Tembelang kedua-dua pelaku bagaimanapun akhirnya pecah apabila gerak-geri mereka dicurigai oleh anggota sukarelawan pertahanan awam dan penduduk setempat yang melihat salah seorang pelaku keluar dari kawasan hutan dengan kesan melecur pada tubuh selain membawa guni yang mencurigakan. Setelah kandungan guni tersebut diperiksa dan didapati mengandungi wang serta barangan berharga, penduduk segera menahan mereka sebelum menyerahkannya kepada pihak polis. Susulan tangkapan pantas kurang daripada 24 jam itu, pihak polis merampas pelbagai bahan bukti seperti tukang besi, sisa kenderaan yang terbakar, wang tunai serta barangan kemas.
Pihak berkuasa kini mengenakan pertuduhan berat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan terancang dan samun bersenjata yang mengakibatkan kematian dengan ancaman hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun. Sementara itu, pihak keluarga terutamanya suami Hajah Komariah berharap agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus di samping menitipkan pengajaran berharga buat orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menjaga privasi serta keselamatan diri.
Catat Ulasan for "Gara-Gara Suka Pamer Kekayaan di Media Sosial, Wanita Ini Dibunuh Kejam"