Kes Bayi Kembar yang Didera Wanita Berpelajaran PhD Hingga Maut

     Pada pertengahan Jun 2024, bertempat di bandar Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pasangan suami isteri iaitu Savannah Roberts dan Ethan Katz baru sahaja menyambut kehadiran bayi kembar lelaki berusia enam minggu, Ari dan Leon. Walau bagaimanapun, kegembiraan mereka sekeluarga tiba-tiba bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang rakan baik yang amat dipercayai dan dihormati yakni seorang pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang psikologi klinikal dari San Diego bernama Nicole Virzi, 30 tahun tergamak melakukan sesuatu di luar jangkaan.

      Kejadian bermula apabila Nicole Virzi datang melawat keluarga tersebut di kediaman mereka di Pittsburgh. Tanpa disedari ibu bapa mangsa, Virzi sebenarnya telah mencederakan bayi kembar pertama, Ari dengan memukul bahagian kemaluan serta abdomen bayi berkenaan. Selepas melakukan tindakan kejam itu, Virzi berpura-pura prihatin dengan menunjukkan kesan lebam dan luka Ari kepada Savannah dan Ethan. Panik serta risau dengan keadaan anak mereka, pasangan ibu bapa itu bergegas membawa Ari ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Memandangkan Savannah dan Ethan terpaksa keluar secara tergesa-gesa, mereka meminta tolong Virzi yang berada di sana untuk memantau kembar kedua, Leon buat sementara waktu.

     Semasa ditinggalkan bersendirian bersama Leon di rumah, tindakan kejam Virzi bertambah parah. Dia melakukan penderaan fizikal yang amat dahsyat ke atas bayi yang tidak berdaya itu sebelum membuat panggilan kecemasan 911. Dalam panggilan tersebut, Virzi mereka cerita dengan mendakwa Leon tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari kerusi semasa dia ke dapur. Pemeriksaan perubatan dan ujian bedah siasat di hospital bagaimanapun membongkar kepalsuan dakwaan tersebut. Pihak doktor mendapati Leon mengalami sekurang-kurangnya 31 kesan kecederaan fizikal, pendarahan otak yang teruk serta patah tulang tengkorak akibat trauma tumpul yang langsung tidak sepadan dengan kecederaan jatuh dari kerusi. Leon akhirnya disahkan meninggal dunia pada 16 Jun 2024.


     Siasatan mendalam pihak polis dan pengakuan Virzi akhirnya merungkai motif sebenar di sebalik kejadian ini yang berpunca daripada gabungan rasa tidak puas hati dan kecelaruan mental yang mendalam. Virzi berasa marah dan terhina kerana mendakwa kehadiran dirinya dipaksa melakukan kerja-kerja menjaga anak semasa melawat yang mencetuskan kemarahan melampau. Pada masa yang sama, Virzi mengaku mempunyai desakan serta dorongan mental yang ganjil dan sadistik sejak kecil lagi untuk melihat kanak-kanak menderita kesakitan. Dorongan destruktif ini memuncak apabila Virzi ditinggalkan bersendirian bersama Leon hingga menyebabkan wanita itu hilang kawalan diri lalu menggoncang dan menghempas bayi tersebut ke lantai semata-mata mahu melihat mangsa berasa kesakitan.

     Walaupun pihak pendakwa raya pada mulanya memohon hukuman mati atas pertuduhan pembunuhan peringkat pertama, kes ini akhirnya diselesaikan melalui perjanjian pengakuan atas permintaan keluarga mangsa bagi mengelakkan trauma perbicaraan berpanjangan. Pada penghujung Oktober 2026, Nicole Virzi mengaku bersalah di mahkamah atas pertuduhan pembunuhan peringkat ketiga serta serangan teruk dan dijatuhi hukuman penjara antara 35 hingga 80 tahun. Pasangan ibu bapa, Savannah dan Ethan kini meneruskan kehidupan di Pittsburgh sambil memulihkan emosi selepas kehilangan tragis yang menimpa keluarga mereka.


Catat Ulasan for "Kes Bayi Kembar yang Didera Wanita Berpelajaran PhD Hingga Maut"