Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN SADIS ALBERTO DAN RICARDO


    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2018 bertempat di negara Mexico. Tahun itu, Ricardo Flores merupakan seorang pemuda berusia 21 tahun yang belajar dalam jurusan undang-undang. Dia yang tinggal bersama dengan neneknya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam berjaya. Jauh di sudut hati Ricardo, dia berharap dapat mencapai cita-citanya supaya dapat membalas jasa kedua-dua orang tuanya yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat demi menyara kehidupan terutama dalam membiayai pelajarannya.

    Diringkaskan cerita pada 29 Ogos 2018, bapa saudara Ricardo yang berusia 43 tahun iaitu Alberto Flores yakni seorang petani telah mengajak Ricardo untuk pergi mengambil barang pembinaan bangunan di sebuah kawasan berdekatan dengan kampung mereka. Alberto dan Ricardo menuju ke lokasi itu dengan menaiki kereta Black Ford berwarna hitam. Selepas tiba di lokasi tersebut, Alberto dan Ricardo pun berehat di sebuah kawasan parkir yang berhampiran dengan sekolah rendah. Maka mereka berdua pun berborak sebentar sambil meminum bir. Namun tanpa pasangan saudara tersebut sedari, gerak-geri mereka telah diperhatikan oleh penduduk sekitar. Perkara ini berikutan tersebarnya satu mesej Whatsapp tentang dua individu yang menaiki Black Ford berwarna hitam sedang mencari kanak-kanak berkeliaran untuk dijadikan sebagai mangsa penculikan. Teks Whatsapp itu bertulis,

    “Diharap semua orang berhati-hati kerana ada penculik kanak-kanak telah memasuki negara kita. Penjenayah ini terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia. Pada beberapa hari lepas, ada kanak-kanak yang berusia 4, 8 dan 14 tahun telah didapati hilang dengan terdapat tanda pada tubuh badan yang menunjukkan organ mereka dikeluarkan. Perut mereka dibelah dan didapati kosong.”

    Bunyi teks mesej Whatsapp tersebut sememangnya menakutkan. Cuma perkara yang sebenarnya, cerita penculikan kanak-kanak itu tidak benar sama sekali. Dalam erti kata lain, teks mesej Whatsapp itu adalah sekadar cerita palsu. Apa yang menjadi masalah, ramai penduduk di kampung berkenaan bena-benar mempercayai cerita penculikan kanak-kanak tersebut. Maka apa yang berlaku kemudian, Alberto dan Ricardo menjadi mangsa keadaan apabila tiba-tiba dikelilingi oleh penduduk kampung itu sebelum diheret keluar dari kereta sebelum dipukul beramai-ramai. Pihak polis yang mendapat makluman mengenai insiden tersebut bergegas ke lokasi kejadian lalu terus membawa Alberto dan Ricardo ke balai polis.

    Situasi menjadi kian parah apabila semakin ramai perusuh yang berasa marah dan geram telah mengerumuni di luar balai polis tempat penahanan Alberto dan Ricardo. Kebanyakan mereka yang berada di situ berniat untuk meminta pihak polis untuk membunuh Alberto dan Ricardo yang disangkakan sebagai penculik dengan serta merta. Lagi menimbulkan kemarahan perusuh, tersebar lagi berita palsu di mana pihak polis akan membebaskan Alberto dan Ricardo. Perkara ini sekaligus menyebabkan perusuh tekad untuk menyerbu masuk balai polis walaupun sudah dijelaskan tentang Alberto dan Ricardo yang sememangnya tidak bersalah.

    Pihak polis yang sudah tidak dapat untuk mengawal keadaan terpaksa membiarkan sahaja Alberto dan Ricardo diheret keluar. Sekali lagi, mereka berdua telah dipukul dengan begitu teruk sekali. Seorang sepupu perempuan Ricardo yang berada di lokasi kejadian cuba menjelaskan perkara sebenar akan tetapi penjelasannya langsung tidak diendahkan oleh perusuh. Akibat pukulan dahsyat yang bertubi-tubi itu, Ricardo akhirnya meninggal dunia. Alberto pula disimbah dengan minyak petrol terlebih dahulu dan seterusnya dibakar secara hidup-hidup. Begitu juga dengan mayat Ricardo. Kematian Alberto dan Ricardo tersebut telah disorak oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian. Malah ada antara mereka yang merakam dan mengambil foto mayat Alberto dan Ricardo kononnya sebagai tanda kemenangan serta kepuasan. Ibu bapa dan nenek Ricardo yang diberitahu tentang insiden tersebut segera ke hospital untuk membuat pengecaman mayat. Hati siapa saja yang tidak sedih melihat anak lelaki kesayangan meninggal dunia hanya kerana menjadi mangsa fitnah. Alberto pergi selama-lamanya meninggalkan isteri dan tiga orang anak perempuannya.

    Dalam kes ini, pihak polis sebenarnya telah dikecam kerana tidak mengawal keadaan mengikut prosedur yang sepatutnya. Ini termasuklah tidak meminta pasukan bantuan datang ke balai polis. Berhubung dengan tertuduh, tidak dapat dipastikan berapa orang yang telah ditangkap kerana rata-rata mereka melarikan diri tidak lama selepas kejadian berlaku. Pengajaran ringkas daripada kisah ini, jadilah pengguna media sosial yang bijak dalam menyebarkan sesuatu berita. Tidak pasti, jangan kongsi. Tersilap sebar, samada diri atau orang lain yang akan merana.           

2 ulasan for "KISAH KEMATIAN SADIS ALBERTO DAN RICARDO"

  1. Penduduk yg kurang otak sehat... Allah itu adil... pasti yg memyebar fitnah itu nanti tersungkur di neraka

    BalasPadam
  2. Allahuakbar..sedihnya baca..kesian 2 beranak tu jd mangsa fitnah..celaka btl org yg menyebarkan berita palsu tu..polis n penduduk situ pon 2x5..bengong..
    Geram aku😡

    BalasPadam