Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

CIKGU! MAAFKAN SAYA!

    Kisah menyedihkan ini telah berlaku di negara Korea Selatan pada beberapa tahun lepas. Di Korea Selatan yakni peraturan untuk sekolah menengah, pelajar dikehendaki menyerahkan telefon masing-masing kepada guru kelas hingga selesai waktu kelas persekolahan.

    Dijadikan cerita yakni pada satu hari, ada seorang pelajar perempuan yang hanya dikenali dengan nama Jang (bukan nama sebenar) telah meminta izin daripada guru kelasnya iaitu En. Song untuk menggunakan telefon sebagai bahan tempat rujukan mencari maklumat bagi menyiapkan kerja sekolah. Jang kemudian diizinkan oleh En. Song untuk berbuat sedemikian. 

    Tidak lama selepas itu, En. Song melakukan rondaan di kelasnya sebelum melihat Jang sedang bermain telefon. Dia juga bahkan menggenggam lengan Jang lalu memarahi pelajarnya dengan nada suara yang tinggi. Pada waktu ini En. Song yang sudah pun  berada pertengahan usia sebenarnya terlupa tentang keizinan penggunaan telefon yang dia berikan kepada Jang pada waktu sebelumnya. Disebabkan berasa terlalu malu kerana dimarahi oleh En. Song di depan pelajar-pelajar lain, Jang terus beredar dari sekolah dalam keadaannya menangis teresak-esak.

    Sampai di rumah, Jang berasa takut untuk menceritakan perkara sebenar kepada ibu bapanya tentang kesalahannya yang telah menggunakan telefon pada waktu terlarang di sekolah. Jadi Jang pun mereka-reka cerita kepada ibu bapanya mengenai dirinya yang telah menerima gangguan seksual secara lisan dan fizikal daripada En. Song. Mendengar pengakuan Jang, ibu bapa Jang tidak melengahkan masa membuat laporan polis tentang insiden yang telah menimpa anak perempuan mereka.

    Keesokan hari, pihak polis telah datang ke sekolah untuk menyoal siasat En.Song serta beberapa orang pelajar bagi mengesahkan laporan yang dibuat ibu bapa Jang. Sementara itu, Jang sendiri tidak menyangka apa yang dia adukan kepada ibu bapanya telah melibatkan pihak polis. Maka bermula rasa penyesalan dalam diri Jang kerana En. Song adalah seorang guru yang sangat baik selain begitu disenangi dalam kalangan pelajar di sekolah. Enggan En. Song dikenakan sebarang tindakan, Jang pun menceritakan perkara yang sebenar kepada pihak polis. Susulan pengakuan yang dibuat oleh Jang, pihak polis pun menggugurkan siasatan terhadap En. Song.

    Namun lain pula ceritanya dengan pihak Lembaga Pendidikan yang memilih untuk meneruskan siasatan. Bagi mereka, maruah serta reputasi sekolah tersebut telah tercemar. En. Song ditekan bagi mengakui kesalahan yang dia tidak pernah lakukan itu. Sampai satu masa, pihak yang berkenaan turut menegaskan untuk mengambil tindakan terhadap Jang kerana telah membuat tuduhan palsu. Enggan Jang berdepan dengan sebarang tindakan, En. Song pun terpaksa berbohong untuk mengakui pertuduhan yang dikenakan kepadanya.

    En. Song seterusnya digantung tugas. Jang dan para pelajar turut melancarkan petisyen yang menyatakan sokongan mereka semua terhadap En. Song yang semenangnya tidak bersalah. Petisyen tersebut bagaimanapun langsung tidak membawa makna apa-apa. Pada masa sama, pihak media telah menggunakan tajuk yang menggambarkan En. Song benar-benar bersalah hingga menyebabkan guru itu mendapat kecaman teruk daripada pengguna laman media sosial.

    Pengakhiran kisah ini, En. Song akhirnya telah membunuh diri di rumahnya. Susulan kematian En. Song, keluarganya memfailkan saman terhadap Lembaga Pendidikan akan tetapi kes tidak diteruskan atas sebab tertentu. Dalam kes ini, ada pihak yang telah menyalahkan Jang dan ada juga pihak menuding jari kepada Lembaga Pendidikan sepenuhnya.

Catat Ulasan for "CIKGU! MAAFKAN SAYA!"