Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Insiden Carnival Triumph: Ketika Kapal Mewah Bertukar Menjadi ‘Poop Cruise’


     Pada tanggal 10 Februari 2013, satu insiden luar biasa telah berlaku di atas kapal pelayaran mewah, Carnival Triumph. Kapal tersebut yang dimiliki oleh syarikat pelayaran terkenal Carnival Cruise Lines sedang dalam perjalanan selama empat hari dari Galveston, Texas ke Cozumel, Mexico. Walau bagaimanapun, hasrat lebih 4,000 orang untuk menikmati percutian indah di lautan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila berlaku kebakaran di ruang enjin kapal yang menyebabkan gangguan kuasa elektrik hingga mematikan sistem pengoperasian kapal termasuk sistem saliran, pengudaraan dan sanitasi. Susulan gangguan semua sistem penting tersebut, ribuan penumpang terpaksa berada dalam suasana yang menyeksakan selama hampir lima hari di tengah lautan.

     Selepas insiden kebakaran, kapal tersebut hanyut tanpa kuasa dan terpaksa menunggu bantuan di tengah Teluk Mexico. Berikutan sistem kumbahan serta tandas yang gagal berfungsi, najis mula melimpah keluar dari tandas dan meresap ke dalam kabin serta ruang awam. Bau busuk memenuhi udara, lantai menjadi licin dengan sisa kumbahan dan ramai penumpang terpaksa menggunakan beg plastik serta beg biohazard merah yang dibekalkan kru kapal untuk membuang air. Akibat sistem penghawa dingin yang turut rosak, suhu dalam kabin mencecah tahap tidak selesa hingga memaksa ramai penumpang tidur di dek terbuka bagi mendapatkan udara segar walaupun cuaca panas terik.


     Lebih malang lagi, bekalan makanan yang bergantung pada kemudahan peti sejuk dan dapur moden turut terjejas. Makanan mula rosak dan bekalan air bersih semakin berkurang. Pihak krew kapal cuba mengagihkan makanan ringkas seperti sandwic dan buah-buahan yang dibekalkan melalui helikopter tetapi ,tetap tidak mencukupi bagi menampung ribuan penumpang. Dalam situasi genting ini, kru kapal dilaporkan berusaha sehabis baik untuk menenangkan penumpang, walaupun mereka sendiri berhadapan cabaran mental dan fizikal yang sama. Media sosial dan saluran berita arus perdana mula menyiarkan gambar serta testimoni penumpang secara langsung menyebabkan nama Poop Cruise menjadi tular.

     Setelah lima hari hanyut di laut, kapal Carnival Triumph akhirnya ditunda ke pelabuhan di Mobile, Alabama. Ketibaan penumpang yang keletihan dan trauma mendapat liputan meluas media. Walaupun Carnival Cruise Lines memohon maaf secara rasmi selain menawarkan pampasan dalam bentuk bayaran balik, baucar pelayaran percuma serta wang tunai sebanyak USD 500 kepada setiap penumpang, ramai masih tidak berpuas hati. Sebilangan penumpang memfailkan saman terhadap syarikat dengan menuduh Carnival cuai dalam penyelenggaraan dan keselamatan kapal.


     Namun majoriti tuntutan undang-undang tersebut ditolak oleh mahkamah berdasarkan terma dan syarat dalam kontrak tiket pelayaran. Dalam kontrak itu, dinyatakan bahawa penumpang hanya mempunyai 185 hari untuk memfailkan tuntutan undang-undang dan Carnival tidak menjamin tahap keselesaan atau perkhidmatan sempurna sepanjang pelayaran. Dalam satu keputusan penting, Mahkamah Rayuan Eleventh Circuit menegaskan bahawa Carnival tidak melanggar kontrak kerana insiden tersebut dikira sebagai di luar jangkaan dan penumpang telah bersetuju dengan syarat-syarat kontrak ketika membeli tiket. 

     Hanya sebilangan kecil penumpang yang akhirnya berjaya mendapat pampasan selepas rundingan undang-undangbdan jumlah yang diterima juga sangat terhad yakni antara USD 3000 hingga USD 15000 setelah ditolak kos guaman. Ramai penumpang menyifatkan pengalaman itu sebagai satu bentuk penderitaan yang tidak sepatutnya berlaku dalam industri pelayaran mewah. Laporan media menggambarkan keadaan di atas kapal seperti sebuah neraka terapung. 


     Selepas kejadian itu, Carnival Cruise Lines mengumumkan bahawa mereka akan melabur lebih USD 300 juta untuk menaik taraf sistem kuasa kecemasan dan keupayaan operasi semua kapal dalam armadanya. Carnival Triumph sendiri telah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian besar-besaran dan dinamakan semula sebagai Carnival Sunrise sebagai usaha membersihkan reputasinya. Pada tahun 2025, kisah ini diangkat semula dalam sebuah dokumentari terbitan Netflix berjudul Trainwreck: Poop Cruise yang menceritakan kronologi insiden dari kaca mata penumpang dan anak kapal sendiri. Tayangan dokumentari tersebut mendapat perhatian meluas kerana ia membongkar bagaimana syarikat gergasi seperti Carnival melindungi diri melalui perjanjian kontrak yang tidak berpihak kepada pengguna biasa.

Catat Ulasan for "Insiden Carnival Triumph: Ketika Kapal Mewah Bertukar Menjadi ‘Poop Cruise’"