Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dibebaskan Selepas Membunuh Empat Nyawa: Kisah Kontroversi Ethan Couch

     Pada malam 15 Jun 2013, satu kemalangan ngeri telah berlaku di daerah Burleson, Johnson County, Texas, Amerika Syarikat. Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bernama Ethan Couch memandu sebuah trak pikap jenis Ford F-350 dalam keadaan mabuk bersama beberapa orang rakannya. Dalam perjalanan itu, Ethan telah hilang kawalan lalu melanggar sekumpulan individu yang sedang berdiri di tepi jalan. Kejadian tersebut mengakibatkan empat orang maut serta beberapa yang lain cedera parah termasuk salah seorang penumpang yang mengalami kecederaan otak kekal dan kini lumpuh sepanjang hayat. 

     Ethan Couch merupakan anak tunggal kepada pasangan jutawan iaitu Fred dan Tonya Couch yang memiliki syarikat pembinaan berjaya serta menetap di kawasan elit di Texas. Ethan dibesarkan dalam kemewahan melampau di mana dia dikatakan memiliki rumah sendiri pada usia 13 tahun selain mempunyai kebebasan penuh tanpa pengawasan ibu bapa. Malah keluarganya pernah beberapa kali menggunakan kekayaan untuk menyelesaikan masalah dengan pihak berkuasa sebelum ini. Rekod menunjukkan bahawa ibu bapanya sering kali gagal memberi disiplin yang sepatutnya dan Ethan dibesarkan dalam persekitaran yang memanjakan.

     Pada malam kejadian, Ethan dan beberapa rakannya mengadakan parti liar di rumah ibu bapanya. Mereka membeli alkohol secara haram menggunakan identiti palsu dan meminumnya tanpa had. Ethan kemudian memandu trak pikap milik keluarganya bersama tujuh penumpang dengan empat daripadanya berada di ruang belakang terbuka. Ketika itu, di bahu jalan, seorang wanita bernama Breanna Mitchell sedang menunggu bantuan kerana tayar keretanya pancit. Dua orang jiran yang prihatin yang dikenali sebagai Holli Boyles dan anaknya, Shelby telah berhenti untuk membantu. Seorang paderi, Brian Jennings yang juga berada di kawasan itu turut berhenti memberikan bantuan. Namun dalam sekelip mata, semuanya berubah menjadi tragedi apabila trak dipandu Ethan yang sedang meluncur laju dalam keadaan tidak sedar diri merempuh mereka tanpa sempat mereka menyelamatkan diri.

     Breanna Mitchell, Holli Boyles, Shelby Boyles dan Brian Jennings maut di tempat kejadian. Beberapa orang lagi termasuk penumpang belakang mengalami kecederaan serius. Salah seorang remaja lelaki yang berada dalam trak tersebut mengalami kerosakan otak kekal dan kini lumpuh seluruh badan serta tidak lagi boleh bercakap. Ujian darah terhadap Ethan Couch mendapati bahawa kandungan alkohol dalam darahnya adalah 0.24 yakni tiga kali ganda melebihi had undang-undang bagi orang dewasa walaupun dia baru berusia 16 tahun. Ujian turut menunjukkan kesan Valium, sejenis dadah penenang dalam sistem badannya.

     Kes ini sepatutnya menjadi kes jenayah maut yang jelas, seorang remaja memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian ramai orang. Namun semasa perbicaraan yang diadakan pada Disember 2013, pasukan pembelaan Ethan Couch membuat satu hujah luar biasa. Mereka mendakwa bahawa Ethan tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas tindakannya kerana dia mengalami affluenza, satu istilah tidak rasmi yang merujuk kepada keadaan psikologi di mana seseorang tidak mampu membezakan antara betul dan salah akibat terlalu dimanjakan oleh kekayaan. Pakar psikologi pembela menyatakan bahawa Ethan tidak pernah diajar tentang akibat sesuatu perbuatan, tidak pernah dikenakan hukuman oleh ibu bapanya dan hidup dalam persekitaran yang menjadikan dia tidak peka terhadap nilai moral atau sosial.

     Hujah ini mencetus kontroversi terutama dalam kalangan pengamal undang-undang. Affluenza bukanlah satu diagnosis rasmi dalam dunia psikiatri dan tidak diiktiraf oleh American Psychiatric Association. Walau bagaimanapun, Hakim Jean Boyd dari Mahkamah Remaja Texas menerima hujah pembelaan tersebut. Ethan Couch tidak dijatuhi hukuman penjara tetapi sebaliknya diberikan 10 tahun probation (percubaan) dan dihantar ke sebuah pusat pemulihan mewah di California dengan kos rawatan yang ditanggung oleh keluarganya sendiri. Mahkamah juga mengarahkan agar Ethan dijauhkan daripada pengaruh keluarga yang merosakkannya.

     Keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai. Media menggelar Ethan sebagai Affluenza Teen dan menjadi simbol kegagalan sistem keadilan yang berat sebelah kepada golongan kaya. Ramai mempersoalkan bagaimana empat nyawa yang tidak bersalah boleh terkorban tanpa sebarang keadilan sedangkan pelaku hanya dihukum dengan pergi bercuti di pusat rawatan mewah. Ramai beranggapan bahawa jika Ethan berasal dari keluarga miskin, dia sudah pasti akan menerima hukuman penjara yang panjang atau mungkin penjara seumur hidup.

     Kisah ini bagaimanapun tidak berakhir di situ. Pada Disember 2015, satu video tular di media sosial menunjukkan Ethan Couch sedang berparti yang jelas melanggar syarat percubaan yang melarangnya mengambil alkohol. Apabila siasatan dimulakan, Ethan dan ibunya, Tonya Couch telah melarikan diri ke Mexico untuk mengelakkan penahanan. Mereka berjaya dikesan oleh pihak berkuasa Amerika selepas hampir sebulan bersembunyi di Puerto Vallarta dan akhirnya diekstradisi semula ke Amerika Syarikat.

Fred dan Tonya Couch

     Disebabkan melanggar syarat percubaan, Ethan dipenjara selama 720 hari (dua tahun). Namun perlu ditekankan bahawa hukuman ini bukan untuk kesalahan membunuh tetapi hanya untuk melanggar syarat pengawasan mahkamah. Ethan dibebaskan dari penjara pada April 2018 dan masih berada di bawah pengawasan sistem perundangan sehingga tamat tempoh percubaannya.

Catat Ulasan for "Dibebaskan Selepas Membunuh Empat Nyawa: Kisah Kontroversi Ethan Couch"