Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

YouTuber Ini Letak Ubat Gigi Dalam Oreo dan Beri pada Gelandangan Namun Akhirnya Terima Padah!

     Pada tahun 2017, satu kejadian tidak berperikemanusiaan berlaku di Sepanyol yang melibatkan seorang YouTuber muda bernama Kanghua Ren. Dia lebih dikenali dalam talian dengan nama salurannya ReSet. Dalam usahanya untuk mendapatkan tontonan dan populariti, Kanghua telah memuat naik sebuah video prank yang kemudiannya dianggap sebagai penghinaan dan kekejaman terhadap insan yang tidak berumah. Video  mendapat kecaman hebat netizen hingga membawa kepada tindakan undang-undang yang akhirnya menjejaskan kariernya sebagai pencipta kandungan.

     Dalam video itu, Kanghua merakam dirinya melakukan satu tindakan yang cukup menjijikkan di mana dia telah membuka bungkusan biskut Oreo, membuang krim asal di dalamnya dan menggantikannya dengan ubat gigi. Setelah selesai menyusun semula biskut tersebut seolah-olah tiada sebarang perubahan, Kanghua kemudian menuju ke kawasan awam di Barcelona, Sepanyol lalu memberikan bungkusan tersebut kepada seorang lelaki gelandangan warga Romania yang tinggal di jalanan. Bagi menambah drama, dia turut menyelitkan wang tunai sebanyak €20 (sekitar RM100) bagi menampakkan seolah-olah tindakannya sebagai satu bantuan kebajikan.

     Namun motif sebenar perbuatan tersebut jelas tergambar daripada reaksi dan kata-katanya dalam video berkenaan. Kanghua berkata bahawa dia mungkin telah membantu lelaki gelandangan itu dengan mengurangkan nafsu makannya selama beberapa hari. Malah dia juga secara sinis menyatakan bahawa lelaki itu mungkin perlukan rawatan gigi tanpa menunjukkan sebarang rasa bersalah atau empati. Lebih teruk lagi yakni selepas mengetahui bahawa mangsa muntah selepas memakan biskut beracun itu, Kanghua tidak memadamkan video tersebut tetapi sebaliknya terus mengaut keuntungan dari jumlah tontonan yang meningkat.

     Video itu mencetuskan kemarahan ramai netizen terutamanya di Sepanyol yang melihat perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap golongan miskin dan gelandangan. Media melaporkan kes tersebut secara meluas dan organisasi kebajikan turut menyuarakan kemarahan mereka dengan mengutuk keras eksploitasi terhadap manusia demi kandungan media sosial. Akibat daripada tekanan awam yang besar, pihak berkuasa Sepanyol menjalankan siasatan terhadap Kanghua dan mengheretnya ke muka pengadilan.

     Pada tahun 2019, Mahkamah Sepanyol telah menjatuhkan hukuman ke atas Kanghua Ren setelah mendapati dia bersalah atas tuduhan merendahkan maruah mangsa dan melakukan penderaan secara psikologi. Hukuman yang dikenakan termasuk penjara selama 15 bulan. Namun disebabkan ini merupakan kesalahan pertamanya dan menurut undang-undang Sepanyol, dia tidak diwajibkan menjalani hukuman penjara secara fizikal. Walau bagaimanapun, mahkamah menetapkan beberapa syarat tambahan yang berat.  Antaranya, Kanghua dilarang menggunakan saluran media sosialnya selama lima tahun dan diarahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak €20 000 (sekitar RM95 000) kepada mangsa gelandangan tersebut.

     Selain hukuman mahkamah, Kanghua juga menerima akibat sosial yang besar. Saluran YouTube miliknya turut  dipadamkan, kerjayanya sebagai pempengaruh musnah dan namanya terus dikaitkan dengan contoh paling buruk penyalahgunaan platform digital untuk tujuan sensasi. Ramai netizen yang pernah menyokong salurannya sebelum ini bertindak berhenti mengikuti kandungannya dan dia menjadi bahan kecaman secara berterusan. 

Catat Ulasan for "YouTuber Ini Letak Ubat Gigi Dalam Oreo dan Beri pada Gelandangan Namun Akhirnya Terima Padah!"