Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kanak-Kanak Dakwa Jadi Mangsa Rogol Tiga Generasi Keluarga

Gambar sekadar hiasan

     ENGLAND – Seorang kanak-kanak perempuan mendedahkan kepada Mahkamah Crown Lewes bahawa dia telah menjadi mangsa rogol dan penderaan fizikal oleh tiga generasi ahli keluarganya termasuk bapa, datuk dan dua orang abangnya sejak berusia enam tahun hingga 12 tahun.

     Mangsa yang identitinya tidak boleh didedahkan memberitahu juri bahawa bapanya bukan sahaja berulang kali merogolnya bahkan turut memukul, membakar tubuhnya dengan rokok serta memaksanya menutup luka dengan solekan.

     Seorang abangnya yang 10 tahun lebih tua pula didakwa mula mendera mangsa sejak usia enam tahun dan mula merogolnya ketika mangsa berusia sembilan tahun. Mahkamah dimaklumkan dia menggunakan ugutan atau kekerasan sekiranya mangsa enggan menurut.

     Lebih menyayat hati yakni selepas mangsa memaklumkan penderaan itu kepada ibunya, dia dipukul, diikat dengan tali, dikurung dalam almari tanpa makanan sehingga dua hari selain dibakar dengan lilin dan pemetik api. Ibunya turut dituduh memukul mangsa dengan objek logam serta kayu, membakar tubuhnya dan menyapu garam ke atas luka supaya ia tidak sembuh.

     Dalam rakaman wawancara polis selama tiga jam, mangsa menunjukkan parut pada lengan dan pergelangan tangan sambil menceritakan penderaan yang dialaminya. Dia memberitahu datuknya turut merogolnya termasuk pada Hari Krismas kerana mengetahui keluarganya tidak menyambut perayaan tersebut.

     Mangsa yang kini berusia 13 tahun ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat selepas memberitahu pihak sekolah bahawa dia terlalu takut untuk pulang ke rumah kerana sering dipukul serta didera.

     Mahkamah turut dimaklumkan bahawa mangsa pada mulanya menarik balik sebahagian kenyataannya kepada polis kerana ingin melindungi keluarganya di mahkamah. Namun pihak pendakwaan menegaskan bahawa kenyataan awal mangsa pada Januari dan Mac lalu lebih konsisten dan dipercayai benar.  

     Enam ahli keluarga kini berdepan pertuduhan rogol, serangan seksual, mencederakan anak, penderaan kanak-kanak, kurungan haram serta mengganggu perjalanan keadilan. Perbicaraan di Mahkamah Crown Lewes di Hove masih berjalan.

Catat Ulasan for "Kanak-Kanak Dakwa Jadi Mangsa Rogol Tiga Generasi Keluarga"